1,000 KELUARGA B40 DAPAT BANTUAN DARI AIA CARES COMMUNITY SQUAD
Pada awal tahun 2021, AIA Malaysia telah melancarkan program komuniti AIA Cares Community Squad yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan keluarga-keluarga B40 bandar yang terkesan akibat pandemik.
Program komuniti sepanjang tahun ini adalah kerjasama antara AIA Malaysia dan rakan-rakan NGO syarikat berkenaan iaitu Women of Will (WOW) serta perusahaan sosial Pasar Grub, yang menyumbangkan barangan keperluan harian kepada keluarga-keluarga B40 di sekitar Lembah Klang.
Melalui inisiatif ini, AIA Cares Community Squad telah berjaya mengedar pelitup muka jenis kain dan makanan sihat seperti roti, pastri dan biskut yang dihasilkan oleh pihak WOW serta buah-buahan dan sayur-sayuran lebihan daripada Pasar Grub kepada 1,000 buah keluarga dari 16 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang telah memanfaatkan lebih daripada 5,000 isi rumah.
1,000 keluarga tersebut telah menerima sumbangan barangan keperluan sebanyak tiga kali sepanjang tahun 2021 dengan edaran pertama dilakukan pada bulan Mac, dan seterusnya pada bulan September dan Disember.
Heng Zee Wang, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd. berkata: “Usaha kami untuk menyokong komuniti dan menggalakkan mereka untuk mengamalkan pemakanan sihat ketika pandemik ini direalisasikan melalui inisiatif AIA Cares Community Squad. Kami berharap agar sumbangan ini akan membolehkan para penerima dan ahli keluarga mereka mengutamakan keselamatan dan kesihatan, tanpa perlu bimbang tentang hidangan makanan seterusnya.
“Kami amat berbesar hati dapat menyokong usaha sosial rakan-rakan NGO kami, Women of Will dan Pasar Grub dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan termasuk wakil-wakil penduduk PPR kerana sudi meluangkan masa dan tenaga mereka membantu kami membuat perubahan dalam kehidupan rakyat Malaysia.”
Comments
Post a Comment