“LA LUNA”, DRAMA AKSI LAKONAN ZAHIRAH MACWILSON DI TV2


Lari daripada watak yang mahukannya berpenampilan lemah lembut dan terlibat dengan cerita cinta, pelakon cantik Zahirah Macwilson muncul menghidupkan watak seorang peguam bela yang tegas dalam kerjayanya.

Menerusi drama bersiri diberi tajuk “La Luna” yang telah pun bersiaran episod pertamanya pada 13 Februari lalu, Zahirah bergandingan dengan pelakon Azrel Ismail, Nasha Aziz, Julia Ziegler, Elisha Sandha, Afiq Muiz, Steve Yap, Adam Corrie dan Esma Danial dalam 13 episod drama yang turut menjalani penggambaran di Eropah, Bosnia dan Batam ini.

Dalam drama aksi yang disiarkan setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 8.00 malam mengisi slot Drama On 2 di TV2 ini, plot ceritanya bermula dengan sepasukan polis menyerbu sebuah rumah pelacuran di kediaman mewah dan menangkap gadis-gadis yang menjadi mangsa pelacuran.

Muncul watak utama iaitu Luna yang menjadi peguam bela kepada seorang gadis yang menjadi mangsa sindiket. Melalui gadis ini Luna berjaya mendapat maklumat berkaitan gerakan sindiket ini yang diketuai lelaki dikenali sebagai Juan.

Namun malangnya gadis yang memberi maklumat penting ini telah mati dibunuh oleh orang suruhan Juan. Kejadian itu membuatkan Luna rasa bersalah kerana gagal memberi perlindungan dan jaminan keselamatan kepada gadis terbabit.

Setelah itu Luna kemudiannya dipanggil sebagai saksi pendakwa kes perbicaraan Juan, ketua sindiket pemerdagangan manusia dan pelacuran. Juan menyimpan dendam terhadap Luna lalu mengarahkan orang-orangnya mengekori Luna.

Dengan cara yang paling selamat, orang-orang suruhannya mengirimkan sejambak bunga dengan mesej ugutan kepada Luna. Dalam perjalanan ke pejabat, kereta Luna juga diekori oleh seorang lelaki yang kemudiannya cuba menembaknya.


Lalu apakah kesudahan jalan cerita Luna? Mampukah dia membongkar rahsia dan menyeret Juan dan orang-orang suruhannya hingga ke muka pengadilan? Ikuti kesudahannya di TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.


Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI