ARA JOHARI LAGUKAN KISAH SNOW WHITE DALAM ‘SUMPAHAN SALJU’


Baharu sahaja empat bulan single ‘Keliru’ ciptaan rapper tersohor, Mr. General aka Malique dilancarkan, penyanyi serta pelakon wanita popular yang pernah menyandang gelaran naib juara di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33, Ara Johari kembali menjelma ke industri muzik tanah air dengan single terbaharunya yang berjudul ‘Sumpahan Salju’ hasil ciptaan Ziin, manakala lirik oleh Jerry dan diterbitkan oleh label terkemuka negara, Rocketfuel Entertainment.

“Terima kasih buat semua yang telah menyokong lagu Keliru nyanyian saya bersama Lil’ J yang menerima sambutan cukup memberangsangkan.

“Kini, saya bersedia untuk memulakan langkah secara solo semula dengan terlancarnya lagu Sumpahan Salju,” kata pemilik nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari memula bicara.


Walaupun sedang sibuk menguruskan perniagaan masakan miliknya, Ara Kitchen, Ara masih lagi memperuntukkan waktu untuk merakamkan lagu baharu kerana baginya bidang nyanyian adalah keutamaan.

“Alhamdulillah perniagaan saya semakin berkembang dengan tertubuhnya cawangan di Klang, tidak menang tangan dibuatnya!

“Namun begitu, kerjaya sebagai penyanyi tetap nombor satu. Ceritanya begini, ketika itu saya berada di studio muzik bagi mendengar ‘material’ baru daripada abang Zimi (Ziin) dan terus terpikat dengan melodi Sumpahan Salju yang memaparkan muzik tradisional Jawa yang dimodenkan.

“Setelah itu, kami memulakan sesi rakaman dalam kadar yang agak pantas, ia mengambil tempoh kurang dari tiga jam sahaja, manakala selebihnya abang Zimi yang bertanggungjawab melakukan proses adunan bagi mempercantikkan lagi bunyi lagu tersebut,” jelas Ara.

Kalau didengari, lagu yang berdurasi 3:31 minit ini ibarat sebuah storytelling kisah dongeng masyhur seantero dunia yang dilatari muzik tradisional Jawa, namun ia diberi nafas moden yang diperkemaskan lagi dengan adunan nuansa pop rancak dalam elemen ‘trap’ yang menambah rasa saspéns buat pendengar.


“Sumpahan Salju adalah sebuah adaptasi dari cerita dongeng kanak-kanak yang popular iaitu ‘Snow White’, dan kalau pendengar amati bait-bait liriknya, pasti mengerti dengan jalan cerita lagu ini.

“Saya sebenarnya gemar dengan melodi-melodi yang unik, dan lagu ini nyata berbeza daripada ‘genre’ yang pernah saya bawakan sebelum ini. Cuma pada kali ini, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu serta berbeza dan tidak pernah terjangka oleh sesiapa,” ulasnya dalam nada teruja.

Selain selera muzik yang berbeza, penampilan Ara baharu-baharu ini turut menjadi perhatian kerana mengalami transformasi, perubahan tersebut dapat dilihat melalui video muzik (MV) yang turut dilancarkan bersama-sama single Sumpahan Salju.

“Saya sentiasa cuba memperbaiki penampilan diri dari segi berfesyen agar sejajar dengan perkembangan muzik yang saya bawakan. Bukanlah berubah seratus peratus, saya masih Ara, cuma lebih ‘up-to-date’.

“Bersesuaian dengan jalan cerita kisah dongeng serta konsep ‘single’ Sumpahan Salju, MV-nya juga memaparkan sesuatu yang istimewa dengan menerapkan konsep tradisi Jawa dan Barat yang tidak pernah terlihat sebelum ini.

“Saya juga memainkan tiga watak yang berbeza dalam MV ini, dan kalau hendak tahu lebih lanjut, kena lah tonton!” katanya.


Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment, En. Erick Yew berkata, “Ara Johari telah melalui transformasi yang pelbagai, dari awal kemunculan di Akademi Fantasia sehingga melayakkan diri ke pentas berprestij AJL dan kini bergelar pelakon pula, banyak yang telah dikecapinya.

“Dengan terlancarnya single Sumpahan Salju ini, ia lebih menguatkan lagi kedudukan Ara sebagai salah satu pelapis anak seni yang boleh dibanggakan. Dan saya harap agar lagu baharu nyanyiannya dapat diterima baik oleh semua.

Akhiri pelakon utama telemovie komedi, Cinta Hati Ayam ini, “Banyak lagi yang ingin saya lakukan sebagai anak seni dan saya juga ingin dikenali sebagai seorang artis yang versatil kerana kita harus terus mencuba semua cabang seni, dan terus berusaha sehingga berjaya.

“Saya berharap agar lagu Sumpahan Salju ini akan pergi jauh dan mendapat sambutan daripada semua pihak, semoga peminat terhibur mendengarnya dan teruskan menyokong saya sampai bila-bila.

Lagu ‘Sumpahan Salju’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Comments

Popular posts from this blog

SEARCH UMUMKAN KONSERT BERSEJARAH ‘ENDEMIK’ YANG BAKAL BERLANGSUNG DI ZEPP KUALA LUMPUR