MADAM TAMPILKAN KELAINAN DALAM SINGLE BAHARU 'NONA'


Band rock pertama Rocketfuel Entertainment, MADAM, yang dianggotai empat pemuzik muda penuh bakat, Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (gitaris) kembali merancakkan persada industri muzik tempatan dengan kelahiran single terbaharu mereka berjudul ‘Nona’. Istimewanya pada kali ini, lagu tersebut dihasilkan sepenuhnya oleh mereka sendiri.

“Buat pertama kalinya, MADAM muncul dengan single cetusan ilham kami sendiri tanpa penglibatan mana-mana komposer luar.

“Saya sendiri yang menulis lirik Nona manakala melodinya pula disempurnakan oleh kami berempat” jelas Putera.

Single terakhir MADAM berjudul Kekasihku telah diriliskan hampir setahun yang lepas, setelah itu band tersebut agak sepi tanpa kehadiran single baharu.

“Selepas muncul dengan tiga single hasil ciptaan komposer lain sebelum ini, kami berbincang dengan pihak Rocketfuel untuk menghasilkan karya sendiri, dan setelah beberapa kali perbincangan dilakukan serta beberapa lagu dicadangkan, barulah proses rakaman Nona dapat dimulakan.

“Memandangkan ini pertama kali kami menghasilkan sebuah lagu secara langsung dari awal sehingga akhir, sedikit masa diperlukan untuk memastikan karya yang kami ciptakan adalah memuaskan dan sesuai dengan selera pasaran masa kini,” kata Azuan.

Lagu berjudul Nona ini menceritakan tentang sebuah kisah bagaimana seorang lelaki yang bertemu dengan seorang wanita lalu jatuh cinta dengan keindahan paras dan peribadi wanita itu.


“Nona yang merupakan panggilan buat gadis-gadis yang belum berkahwin merupakan lagu tentang cinta yang ingin dibawa ke akhir hayat,” terang Herman.

Masih mengekalkan genre rock yang merupakan ‘trademark’ MADAM, namun menariknya lagu Nona ini, ia diberikan kelainan dengan suntikan elemen muzik nusantara atau ‘Kemelayuan’ dalam paduan moden yang lebih rancak.

“Kami sengaja membawa ‘mood’ yang lebih gembira dalam lagu ini berbanding sebelumnya, kerana single-single kami terdahulu hadir dengan nada yang sedih, dan dengan terlahirnya Nona, ia menanda kematangan MADAM dalam membawa muzik rock yang pelbagai.

“Hampir sebulan tempoh yang diperuntukkan untuk menyiapkan Nona. Proses rakaman memakan masa selama tiga hari saja, manakala proses pengubahsuaian serta mixing mengambil masa yang lama demi mencari dan membentuk muzik mengikut citarasa kami,” tambah Fadhil.

Video muzik (MV) MADAM pada kali ini keluar dari imej kebiasaan mereka sebelumnya, dengan menampilkan sesuatu yang baharu, tema estetika Jepun dipilih dengan menggambarkan Nona sebagai seorang gadis geisha.

MADAM yang bermaksud ‘Men of Another Day Another Music’ semakin berkembang secara muzikal sebagai sebuah band rock dengan menampilkan pendekatan tersendiri.

“Banyak perubahan yang kami rasakan sejak awal kemunculan hingga sekarang. Kini, kami lebih terbuka untuk menerima genre muzik lain, dan dengan munculnya Nona, kelainan yang kami terapkan adalah dari segi pemilihan bunyi, instrumen dan elemen,” ujar Putera.

Kata Encik Erick Yew, selaku Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment, “Sejak kemunculan MADAM dengan single pertamanya, kami lihat band ini semakin berekembang dan mula mengukuhkan tapaknya di industri muzik Malaysia.

“Syabas saya ucapkan buat mereka dan semoga single Nona hasil ciptaan mereka sepenuhnya ini menguatkan lagi pengaruh MADAM terhadap penggemar muzik rock tempatan.

Akhiri Putera, “Setelah jurang masa yang agak lama dengan single sebelum ini, MADAM berharapan agar single Nona dapat mengubati rindu buat peminat dan mendapat tempat di hati pendengar, bukan sahaja peminat bahkan pendengar baru yang belum mengenali MADAM seterusnya menaikkan lagi nilai muat turun dan jumlah tontonan.

“Semoga karya seperti ini diharapkan mampu mengukuhkan lagi kedudukan MADAM dalam memeriahkan industri muzik tanah air.

Lagu ‘Nona’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?