NICOL DAVID BERI INPIRASI DALAM ACARA #AIASQUASHTHESTEREOTYPES


Ia merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan buat 20 orang wanita yang meluangkan petang Sabtu mereka beramah mesra bersama legenda skuasy dan duta AIA Malaysia, Datuk Nicol David dalam suatu sesi klinik skuasy, eksklusif untuk wanita yang diadakan di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, baru-baru ini. 

Klinik skuasy tersebut adalah acara kemuncak bagi kempen media sosial #AIASquashTheStereotypes oleh AIA Malaysia yang berlangsung dari 8 – 20 Mac 2022, bersempena dengan Hari Wanita Sedunia tahun ini.

Kempen yang menampilkan legenda sukan negara ini bertujuan mengetengahkan bagaimana isu stereotaip jantina masih menjadi cabaran buat wanita di Malaysia, dan pada masa yang sama ingin memperkasa dan mendorong kaum wanita dari semua lapisan masyarakat untuk mengatasi masalah stereotaip tersebut agar dapat menjalani Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.


Kesemua 20 peserta yang berusia antara 21 dan 42 tahun berjaya menempah tempat dalam klinik skuasy yang buat pertama kalinya dikendalikan oleh Nicol sejak persaraan beliau, dengan berkongsi kisah inspirasi tentang bagaimana mereka mengatasi stereotaip jantina dalam kehidupan mereka. Klinik tersebut telah dijalankan dalam dua sesi berasingan (10 peserta dalam satu sesi) yang menyaksikan Nicol berkongsi tip dan teknik bermain skuasy, pengalaman beliau bergelar Juara Dunia sebanyak lapan kali dan bagaimana beliau menghadapi pelbagai cabaran stereotaip jantina sepanjang kerjaya beliau.

Mengulas lanjut tentang perasaan beliau yang sangat berbesar hati dapat menyertai sebuah kempen yang memberi inspirasi dan dilancarkan tepat pada masanya, Nicol berkata, “Sepanjang kerjaya profesional saya, ramai yang meragui kemampuan saya untuk berjaya sebagai seorang atlet wanita. Saya tidak pernah membiarkan kata-kata negatif mematahkan semangat saya untuk merealisasikan impian saya. Kerana itu juga saya berbangga dengan AIA dan pendirian mereka untuk membangkitkan semangat wanita untuk melepaskan diri dari stereotaip-stereotaip ini dan terus yakin dengan kebolehan diri supaya dapat menjadi sesiapa sahaja yang mereka inginkan. Saya gembira kerana dapat mengendalikan klinik seperti ini bersama AIA untuk berkongsi pengalaman saya dengan wanita-wanita yang hebat disamping dapat bersenam dan berseronok!”

Hari Wanita Sedunia tahun ini yang bertemakan “Gender Equality for a Sustainable Tomorrow - #BreakTheBias” amat bertepatan dengan AIA sebagai sebuah organisasi yang komited dalam memupuk budaya kesaksamaan dan keterangkuman jantina. Ia juga mengukuhkan lagi strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) AIA yang menitikberatkan pewujudan persekitaran kerja yang menyokong dan kolaboratif buat tenaga kerjanya.

Menurut Heng Zee Wang, Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia, syarikat tersebut percaya bahawa pemupukan kesaksamaan jantina adalah penting dalam komitmen ESG syarikat. “Para wanita memberi sumbangan yang sangat signifikan dari segi ekonomi, sosial dan kebudayaan untuk manfaat semua, setiap hari. Sama seperti AIA Malaysia yang mana 68 peratus daripada tenaga kerja kami terdiri daripada wanita yang hebat dan berkebolehan. Menerusi kempen ini, kami bukan sahaja ingin meraikan pencapaian dan sumbangan wanita di negara ini, malah ingin mengetengahkan segala cabaran yang terpaksa mereka lalui sepanjang hidup.

Kami bangga kerana dapat bekerjasama dengan Nicol untuk memperjuangkan perubahan tingkah laku yang positif, mencapai kesaksamaan bersama dan membantu mengubah set minda komuniti. Tiada individu lain yang lebih baik untuk menyampaikan kisah tersebut selain daripada Nicol, yang telah berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi walaupun terpaksa menghadapi pelbagai stereotaip jantina. Harapan kami adalah semoga semangat positif dan pengalaman beliau dapat memberi inspirasi kepada para wanita untuk terus melangkah maju ke hadapan demi mencapai Kehidupan yang Lebih Sihat, Berpanjangan dan Bermakna.”

Untuk menonton video kempen #AIASquashTheStereotypes yang menampilkan Datuk Nicol David, sila layari https://fb.watch/bCzkr6d5dA/.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO