SENARIO KEMBALI MENERUSI FILEM JAGA-JAGA SENARIOUNION DI ASTRO FIRST


Kumpulan komedian otai tanah air, Senario kembali membuat comeback selepas lebih sedekad menerusi filem JAGA-JAGA SENARIOUNION. Kumpulan Senario bukan satu nama asing dalam dunia komedi tempatan. Mereka juga tidak sahaja mencipta fenomena luar biasa di platform televisyen menerusi ‘punchline’ yang menghiburkan serta melalui deretan lagu-lagu yang menguasai platform radio ketika itu, tetapi turut menggegarkan dunia perfileman Malaysia mereka melalui filem-filem box office suatu masa dahulu. 

Jadi, kemunculan semula ahli Senario yang mengumpulkan semula buat pertama kali gandingan Azlee, Saiful Apek, Wahid, Yassin, Hamdan dan Illya sememangnya bakal mengubat rindu buat peminat serta penonton.


Jaga-Jaga Senariounion yang sudah pastinya mengetengahkan genre komedi, bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 21 April ini. Menariknya, filem ini memperlihatkan komedi dan lawak yang segar oleh kumpulan otai ini, namun masih mengekalkan identiti Senario. Bukan itu sahaja, filem arahan Aziz M Osman ini turut mengembalikan wajah-wajah yang pernah mewarnai filem-filem Senario terdahulu, seperti Syanie Hisham, Mas Said, Badrolshah, Bobby Kiran serta pelakon baru, Amm Raja Lawak dan Nur Farisha Amira.


Penceritaan dan perjalanan plot filem ini mengangkat subjek yang sangat dekat dengan masyarakat iaitu kenduri kahwin. Kisahnya bermula di hari majlis pernikahan anak Dato Hamdan dan Azlee, di mana keluarga Dato Hamdan telah disamun ketika dalam perjalanan ke rumah bakal besannya. Apa yang peliknya, perompak-perompak tersebut hanya merompak barang-barang hantaran sahaja. Setibanya di rumah pengantin, setiap seorang daripada mereka tidak kira keluarga pengantin lelaki atau pengantin perempuan telah disyaki merancang untuk sabotaj majlis tersebut. Semuanya menjadi teka-teki.


Menurut Penerbit dan selaku Pengarah Jaga-Jaga Senariounion, Aziz M Osman berkata, “Kredibiliti saya sebagai pengarah turut diperkukuhkan menerusi filem-filem Senario, jadi Senario sudah menjadi sebagaian dalam karier dan hidup saya. Saya percaya ramai yang membesar dengan komedi dan sitkom lakonan Senario dan pasti ada yang merinduinya. Apabila ramai yang bertanyakan dan meminta kemunculan semual kumpulan ini dengan kehadiran semua ahli, jadi saya dan pihak Penerbit tidak teragak-agak untuk merancang menghasilkan filem Senario. Jadi Jaga-Jaga Senariounion adalah buah tangan terbaru daripada Senario buat peminatnya. Bagi sudut pengarahan pula, tidak banyak cabaran besar yang dilalui, tetapi apa yang istimewanya ketika di set, semuanya rasa seperti dahulu kala. Buat penonton dari generasi baru, saksikan filem ini dan kenali kumpulan pelawak legend yang pernah menggamatkan suasana satu ketika dahulu. Saya menjanjikan elemen ‘wow’ dan komedi yang terkini menerusi Jaga-Jaga Senariounion. ”


Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro amat dikenali dengan program-program mencungkil dan mengetengahkan bakat pelawak-pelawak di Malaysia, dan selaras dengan itu kami rasa amat berbesar hati dapat membawakan sebuah filem yang mengangkat kumpulan pelawak otai tanah air di platform Astro First. Lebih menarik, filem ini merupakan kemunculan semula mereka setelah lebih sebelas tahun dan tambah istimewa buat pertama kali menghimpunkan hampir kesemua ahlinya. Kami percaya kehadiran Jaga-Jaga Senariounion mampu mengembalikan nostalgia tersendiri dalam kalangan peminat dan para penontonnya. Jadi kami harap para penonton dapat berhibur dan bergelak ketawa dengan filem komedi ini bersama insan tersayang mahupun sahabat handai.”


Langgan dan saksikan Jaga-Jaga Senariounion Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 21 April 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING