HARI OBESITI DUNIA 2022: SEMUA ORANG PERLU BERTINDAK SEGERA


Hari Obesiti Dunia jatuh pada 4 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran tentang dan mengambil tindakan terhadap obesiti. Tahun ini, tema “Semua Orang Perlu Bertindak” menyeru agar usaha segera dilakukan untuk mendorong tindakan dan kerjasama yang lebih menyeluruh untuk memperbaik kehidupan mereka yang berisiko dan hidup dengan obesiti di seluruh dunia dan di Malaysia.

Walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengklasifikasikan obesiti sebagai penyakit kronik dan epidemik, ramai orang masih tidak menganggap obesiti sebagai sejenis penyakit dan lebih ramai yang tidak mengambil serius tentang obesiti. Obesiti merupakan salah satu daripada cabaran kesihatan awam terbesar di Malaysia, yang mencatatkan kadar prevalen tertinggi di kalangan orang dewasa di Asia Tenggara. Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, 50.1% populasi dewasa di Malaysia dilaporkan mengalami berat badan berlebihan (30.4%) atau obes (19.7%).

Obesiti juga dikaitkan dengan lebih daripada 200 penyakit kronik lain, termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes, penyakit muskuloskeletal dan barah, serta meningkatkan risiko diabetes jenis 2 sebanyak tujuh kali ganda untuk lelaki dan 12 kali ganda untuk perempuan. Pandemik COVID-19 juga telah menunjukkan bahawa mereka yang mengalami obesiti mempunyai 240% peningkatan risiko menghadapi jangkitan COVID-19 yang lebih parah. Obesiti bukan sahaja memudaratkan kesihatan individu dan komuniti malah turut mengakibatkan implikasi yang meluas kepada sistem kesihatan dan ekonomi. Pada 2017, kos berat badan berlebihan dan obesiti mencecah 13.3% daripada jumlah kos kesihatan dan 0.54% daripada KDNK Malaysia atau 1.7 bilion dolar Amerika – dan ini tidak termasuk kos berkaitan dengan pengurangan produktiviti, kehilangan upaya dan ketidakhadiran dari kerja.

Di samping peningkatan kadar obesiti di kalangan orang dewasa, prevalens obesiti di kalangan kanak-kanak turut meningkat pada kadar yang membimbangkan di Malaysia, dengan 29.8% kanak-kanak berumur 5 hingga 17 mengalami berat badan berlebihan (15.0%) atau obes (14.8%)3. Keadaan ini memberikan kesan yang meluas kepada kanak-kanak, komuniti di sekitar mereka, serta sistem kesihatan secara umumnya, disebabkan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan diabetes dari usia yang muda. Selain itu, terdapat juga impak sosial dan perkembangan yang negatif untuk kanak-kanak yang mengalami obesiti, seperti pencapaian akademik yang lebih rendah di sekolah dan keyakinan diri yang lebih rendah akibat dibuli.


Feature photo by: Fat child photo created by jcomp - www.freepik.com

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI