SIRI MINI ANIMASI LU PIKIR LA NABIL, TUUDEH..! KINI DI ASTRO WARNA


Siri mini animasi di Astro Warna kali ini mengambil kampung selebriti Nabil Ahmad sewaktu kecil di Kampung Kayu Ara, Mambau, Negeri Sembilan sebagai backdrop dan jalan ceritanya. Animasi pendek terbitan Astro dan Ed Online Technologies Sdn Bhd bersama selebriti Nabil Ahmad ini merupakan animasi selebriti pertama di Malaysia dan juga kesinambungan kepada musim pertamanya yang telah mendapat sambutan baik daripada para peminat.

Penceritaan menerusi lima episod pendek yang berdurasi tujuh hingga sebelas minit ini mengisahkan Nabil, seorang kanak-kanak yang penuh dengan angan-angan dan seringkali menimbulkan kekecohan di kampungnya dengan tidak sengaja. Dan kerana hal itu, dia berdepan dengan pelbagai masalah, tambahan pula dengan kehadiran budak baharu bernama Syasya sehingga menggugat persahabatan dengan kawan-kawan karibnya, Mok serta Fahmi. Hidupnya serba tidak kena dengan pelbagai masalah yang timbul ketika Ramadan yang mengakibatkan kekecohan berlaku ketika sambutan Hari Raya di kampungnya.


Animasi musim kedua ini menggambarkan suasana sambutan Ramadan dan Raya Nabil sewaktu kecil di kampungnya. Penceritaan animasi ini juga mengetengahkan dialek tempatan iaitu dialek Negeri Sembilan sebagai dialog utama yang menjadikan animasi tersebut lebih menghiburkan. Siri mini animasi ini mengekalkan tempo penceritaan padat dan padu dengan pengisian-pengisian yang boleh dijadikan pengajaran dalam hidup seisi keluarga walaupun berdurasi pendek.

Animasi bergenre komedi keluarga ini merupakan arahan juruanimasi berpengalaman, Syukur Majid dengan idea asalnya oleh Nabil Ahmad, juga sebagai pelakon suara watak utamanya. Animasi ini turut didukung oleh barisan pelakon suara seperti Shahril Fahmey dan Haefizul Yusof, iaitu kawan baik Nabil dari kecil yang dijemput khas untuk membuat alih suara bagi watak Fahmi dan Mok serta Amanda Amry, pelakon yang sedang meningkat naik.

Siri mini animasi ‘Lu Pikir La Nabil, TuuDeh..!’ musim kedua ditayangkan setiap Khamis, mulai 7 April 2022, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna HD (107) dan ulangan di saluran Astro Ceria HD (611) pada setiap Ahad, jam 3.00 petang. Animasi ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Comments

Popular posts from this blog

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

ASTRO MEMACU PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL YANG SELAMAT DAN BERETIKA DALAM KALANGAN REMAJA MENERUSI SIRI TEKNOTHRILLER ‘MAARA’

JOM MERIAHKAN EVERSE 2026: ALAMI GABUNGAN UNIK PELANCONGAN, TEKNOLOGI DAN HIBURAN MENARIK!

TV ALHIJRAH LANCAR BINCANG NIAGA 2026 BAGI MEMPERKASA USAHAWAN DAN SME TEMPATAN

FESTIVAL WARISAN SELERA SELATAN 2026 KEMBALI LEBIH MERIAH, BAWAKAN HAMPIR 200 HIDANGAN ISTIMEWA TRADISI JOHOR, MELAKA & NEGERI SEMBILAN