TUAH DINOBATKAN SEBAGAI JUARA MIC ON! MUSIM KEDUA


Selepas 10 minggu bersiaran, program realiti berkonsepkan pertandingan pencarian bakat yang menggabungkan elemen nyanyian dan komedi di Awesome TV, MIC ON! melabuhkan tirainya dengan konsert pentas akhir pada Jumaat, 1 April 2022, 9.00 malam, yang mana telah menyaksikan peserta kegemaran ramai, 

Tuah, dinobatkan sebagai juara untuk musim kedua ini! Tuah atau nama penuhnya Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini, 29 tahun, telah berjaya memenangi hati ketiga-tiga Juri Tetap, Dato’ Awie, Dato’ Hattan dan Mas Idayu dengan kedua-dua persembahan beliau, “Cintaku 100 persen”, nyanyian asal Mas Idayu bagi segmen “Tribute Untuk Juri” dan “Salam Terakhir”, nyanyian asal Allahyarham Sudirman Hj. Arshad untuk segmen “Bebas”. Dengan markah keseluruhan sebanyak 521 / 600*, Tuah membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai sejumlah RM15,000 dan sebuah trofi sumbangan Awesome TV.

Dato’ Hattan selaku Juri Tetap berkata, “Kebolehan Tuah untuk mempersembahkan lagu-lagu yang ditugaskan kepada beliau dengan baik dan kurang memperlihatkan kesilapan sepanjang berlangsungnya konsert ini selama 10 minggu ia bersiaran mengesahkan bahawa Tuah sebenarnya sudah bersedia untuk berada dalam industri seni tanah air. Kebolehan beliau menyampaikan persembahan terutamanya dengan lagu-lagu bergenre rock perlu diakui ramai, dan beliau ini layak ditawarkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai vokalis untuk kumpulan-kumpulan rock terhebat tanah air.”

Dato’ Awie turut menambah, “Saya sarankan Tuah untuk bersama dengan Din dan Kid, menjadi vocalis kumpulan tersebut! Tuah adalah bukti kita mempunyai ramai bakat-bakat tempatan yang hebat dan boleh diketengahkan seterusnya menyerikan lagi industri seni tanah air. Pada masa yang sama, kebolehan Tuah untuk bermain instrumen muzik memberi beliau kelebihan untuk terus menyerlah dalam bidang ini. Mungkin kali ini, rezeki betul-betul di pihak Tuah”

Dalam pada itu, “Manager” Tuah, Fad Bocey yang ditugaskan untuk membimbing dan memberi tunjuk ajar dari minggu ke minggu diumumkan sebagai “Best Manager” untuk musim ini seterusnya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi. Ini merupakan kemenangan berganda buat Fad kerana beliau juga berjaya mengungguli kategori yang sama pada musim pertama tahun lalu.

Di tempat kedua pula ialah Bulan, dengan markah keseluruhan sebanyak 443, dan beliau telah mempersembahkan lagu “Dari Kekasih Kepada Kekasih” nyanyian Dato’ Hattan dan “Segalanya Ku Terima” (Ilusi), masing-masing untuk kategori “Tribute Untuk Juri” dan “Bebas”. Bulan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. Haze terpaksa akur di kedudukan ketiga dengan markah terkumpul sebanyak 425. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 dan sebuah trofi. Namun begitu, kejayaan malam tersebut dilihat berganda buat Haze kerana beliau juga diumumkan sebagai pemenang “Talent Terbaik MIC ON! Musim Kedua Pilihan Awesome TV”. Kemenangan ini berpihak kepada Haze kerana tahap persembahan beliau yang ditampilkan dari minggu ke minggu dilihat meningkat dan potensi yang ditunjukkan ternyata berjaya memenangi hati barisan juri. Haze telah membawakan lagu “Memburu Rindu”, nyanyian asal Dato’ Hattan dan “Suratan Atau Kebetulan”, oleh Kenny, Remy & Martin.

Zakir pula berada di tempat keempat dengan markah keseluruhan sebanyak 392 dengan lagu “Hukum Karma” (Wings) dan “Jangan Khianati Aku” (Azlan Typewriter). Finalis tunggal wanita, Yulia, berada di kedudukan kelima dengan 353. Beliau mempersembahkan lagu “Selangit” (Mas Idayu) dan “Gemilang” (Jaclyn Victor). Dua lagi peserta, Hafiy dan Aiman terpaksa akur dengan kedudukan masing-masing di tangga keenam dan ketujuh.

Pentas akhir MIC ON! edisi kali ini turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran empat artis popular kesayangan ramai, Black, Tomok, Naqiu dan Hazama yang mana masing-masing diberi tanggungjawab untuk menduduki kerusi SuarNet, mewakili suara warga netizen. Tidak terhenti di situ sahaja, mereka turut menyampaikan persembahan penutup yang cukup memukau audiens di dalam dewan mahupun di kaca TV, sehingga menerima ‘standing ovation’ dari juri dan penonton dengan lagu akhir, “Bujang Senang”.

MIC ON! musim kedua dikendalikan oleh Issey Fazlisham dan susunan muzik sepanjang berlangsungnya konsert mingguan pula dikemudikan oleh Hashridz Murshim atau lebih dikenali dengan nama Dato’ Acis yang bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing di konsert mingguan ‘MIC ON!’ musim kedua bagi merebut gelaran juara. Kesemua mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku ‘Manager’ untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta.

Setiap minggu peserta akan diberikan tugasan mengikut tema yang ditetapkan. Penjurian adalah 100% oleh barisan juri tetap yang telah dilantik berdasarkan tiga kriteria pemarkahan utama iaitu daripada segi vokal (40%), kreativiti (30%) dan persembahan (30%).

Musim ini menyaksikan penglibatan ramai selebriti tanah air yang hadir sebagai Juri Jemputan, Hos Bersama dan menggalas tanggungjawab sebagai figura “SuarNet”. Mereka seperti Dato’ DJ Dave, Elly Mazlein, Adibah Noor, Naqiu, Black, Tomok dan ramai lagi.

MIC ON! musim pertama yang bersiaran pada tahun lalu, 2021, menyaksikan peserta, Jiwa Firdaus dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM 10,000.00 beserta trofi.

MIC ON! musim ini bersiaran selama 10 minggu dan menemui penonton pada setiap hari Jumaat, 9.00 malam dari 28 Januari lalu. Ulangsiar program MIC ON! boleh ditonton di saluran YouTube rasmi dan laman sesawang Awesome TV di www.awesometv.my. Penonton juga boleh mengikuti perkembangan terkini program ini menerusi akaun media sosial Awesome TV.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA