GENTING MALAYSIA BERHAD SUMBANG RM500,000 KEPADA MISI KELUARGA MALAYSIA EVEREST 2022

YBhg Dato’ Sri Kay Atisha Parasuraman, Naib Presiden Komunikasi Korporat & Perhubungan Awam menyerahkan replica cek kepada YBhg Tan Sri Dr Salleh bin Mohd Nor, Chef De Mission Misi Keluarga Malaysia Everest 2022, disaksikan oleh YBhg Tan Sri Acryl Sani bin Abdullah Sani, Ketua Polis Negara. Turut hadir YBhg Dato' Pahlawan Sum Chang Keong, Naib Presiden Keselamatan, Genting Malaysia Berhad.

Selaras dengan konsep Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri kita yang berasaskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, Kelab Eksplorasi Altitud menganjurkan misi khas pendakian Gunung Everest dari 14 April hingga 5 Jun 2022. 

Misi khas ini terdiri daripada 10 rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan latar belakang etnik yang merangkumi Melayu, Cina, India, Iban dan seorang “OKU” (Orang Kurang Upaya) yang pekak dan bisu. Tiga anggota komando dari Unit Komando 69 dan seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga merupakan sebahagian daripada pasukan ini, dan mereka akan menjadi anggota beruniform pertama dari Malaysia yang cuba mendaki puncak tersebut. 

Pasukan ini kini berada di Everest Base Camp (EBC) (paras ketinggian 5,364 meter atau 17,598 kaki dpl) setelah berlepas ke Nepal pada 14 April 2022. Ketua pasukan, Azim Afif, yang telah mencapai puncak Gunung Everest pada tahun 2016, memaklumkan bahawa pasukan ini kini berada dalam semangat yang baik walaupun ada yang mengalami batuk dan keletihan. Mereka telah menjalani proses penyesuaian yang diperlukan dan berlatih memanjat permukaan batu berais. 

Menurut Tan Sri Dr Salleh bin Mohd Nor, Chef de Mission ekspedisi ini, “Rancangan pasukan untuk maju lebih jauh telah terhalang akibat kekurangan dana. Dan hari ini kami berbesar hati dan bersyukur kerana Genting Malaysia Berhad telah tampil untuk membantu kami dengan sumbangan sebanyak RM500,000. Dengan sumbangan ini, ia amat membantu pasukan untuk terus maju dengan penuh semangat dan berita ini telah disampaikan kepada mereka di EBC. Mereka sangat gembira dan ingin merakamkan setulus penghargaan kepada Genting Malaysia Berhad atas sokongan segera dan tepat pada waktunya.” 

Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan beliau yang telah mendapatkan penaja-penaja lain. 

Kami berharap semua rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan pasukan ini dan selamat kembali ke tanah air. Gunung Everest adalah puncak tertinggi di dunia dengan ketinggian 8,849 meter atau 29,032 kaki dpl. Ia menjadi sasaran pendaki sejak Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay berjaya menawan puncak tersebut pada tahun 1953. 

Rakyat Malaysia tidak terlepas daripada semangat pengembaraan ini dan sehingga kini hanya 21 rakyat Malaysia telah mencapai puncaknya.


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!