ZEPP KUALA LUMPUR MEMBUKA PINTU KEPADA RAKYAT MALAYSIA DENGAN PENAMPILAN BUNKFACE


Rangkaian dewan konsert dari Negara Matahari Terbit telah membuka pintunya secara rasmi di Malaysia. Merupakan anak syarikat kepada Sony Music Entertainment (Japan) Inc, Zepp Kuala Lumpur terletak di tengah-tengah pusat bandar dan merupakan sebahagian daripada pembangunan Bukit Bintang City Centre (BBCC). Bertapak di pasaran sekitar tahun 1998, pembukaan terbaharu itu menandakan dewan acara ke-10 rangkaian Zepp Hall, yang mana lapan daripadanya terletak di Jepun dan satu di Taiwan iaitu Zepp New Taipei.

Idea bagi mewujudkan kemudahan yang mendahului industri ini terbit lebih dari 20 tahun lalu. Pada 1998, tidak terdapat ruang konsert berdiri yang sesuai bagi bilangan penonton yang sederhana merangkumi antara 2,000 hingga 3,000 orang. Bagi memenuhi jurang yang ada dan menyediakan tapak alternatif kepada teater-teater dengan tempat duduk yang kebiasaannya digunakan untuk persembahan kumpulan rock, Sony Music Entertainment (Japan) Inc berganding tenaga dengan Zepp untuk membangunkan satu penyelesaian sehenti untuk para artis di seluruh Jepun.


“Zepp telah berkembang pesat sejak penubuhannya. Bermula sebagai satu ruang untuk membantu artis-artis di Jepun, ia kini menjadi satu perniagaan yang menawarkan penyelesaian untuk pelbagai industri serta penganjuran acara, sama ada persidangan korporat, pameran kereta mahupun majlis perkahwinan. Kami amat gembira untuk melancarkan cawangan pertama kami di Malaysia, Zepp Kuala Lumpur, hari ini,” kata Shinichiro Honda, Naib Presiden Divisyen Operasi Dewan, Zepp Hall Network Inc.

“Kami telah meninjau pasaran ruang acara di Malaysia dan mendapati terdapat potensi bagi Zepp untuk menjadi lokasi pilihan ramai untuk penganjuran pelbagai jenis persembahan termasuk konsert serta acara-acara korporat, sosial dan peribadi. Dengan memastikan ruang acara di Kuala Lumpur memenuhi standard tertinggi seperti rangkaian dewan kami di Jepun, kami yakin dapat menyumbang dan membantu merangsang perkembangan industri hiburan dan acara di negara ini ke aras lebih tinggi dengan menawarkan tempat penganjuran konsert dan dewan acara bertaraf dunia,” tambah Honda.


Terletak di tengah-tengah ibu kota dengan ruang yang berkeluasan 6,500 meter persegi serta kapasiti 2,414 pengunjung, Zepp Kuala Lumpur menampilkan kemudahan-kemudahan terbaik yang sinonim dengan jenama global Zepp. Kemudahan terkini Zepp Kuala Lumpur merangkumi lapan buah kotak VIP yang dilengkapi ruang istirahat dan tempat duduk peribadi, peralatan audio dan penataan lampu berkualiti tinggi yang dipasang siap bagi mempermudahkan sesi latihan dan membantu penjimatan kos penganjur acara.

Honda terus menambah, “Dewan acara serba baharu ini juga akan berperanan sebagai pusat pertukaran budaya, bukan sahaja antara Malaysia-Jepun tetapi juga antara Malaysia-Taiwan. Terdapat sinergi kukuh antara muzik tempatan dan Taiwan, malah kami melihat potensi yang amat besar di negara ini. Kami amat berbangga kerana menerusi Zepp Kuala Lumpur, kami akan mampu menggalakkan potensi yang wujud dengan menjadi hab kepada segala peluang kerjasama antara Malaysia dan Taiwan, khususnya daripada aspek muzik.”


Pelancaran rasmi ruang konsert dan dewan acara itu juga telah menyaksikan kumpulan kegemaran ramai di Malaysia - Bunkface, mempersembahkan lagu-lagu hits mereka, seterusnya menghidupkan Zepp Kuala Lumpur! Bagi meneruskan momentum, festival City ROARS!, yang akan diadakan pada 28 Mei, dari pukul 3 petang hingga 11 malam, merupakan satu festival muzik yang bakal memaparkan artis-artis indie Asia dalam satu platform. Zepp Kuala Lumpur juga bakal menjadi hos kepada SEARCH, kumpulan rock lagenda negara, yang dijadualkan memberikan malam penuh epik kepada peminatnya pada 4 dan 5 Jun ini, dari pukul 8.30 hingga 10.30 malam.

Digemari ramai di seluruh dunia kerana bersifat versatil, rakyat Malaysia pasti teruja untuk menganjurkan pelbagai acara di Zepp Kuala Lumpur - baik majlis-majlis korporat, pertunjukan fesyen, rakaman TV dan iklan, acara makan malam, pertandingan eSports mahupun persembahan seni mempertahankan diri. Mari menghidupkan acara anda di Zepp Kuala Lumpur!

Untuk maklumat lanjut berkenaan pelancaran Zepp Kuala Lumpur atau sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila hubungi Shinichiro Honda menerusi inquiry.kl@zepp.co.jp atau layari laman Facebook https://www.facebook.com/ZPKualaLumpur/.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING