CARGILL DAN RISE AGAINST HUNGER MEMULAKAN PROGRAM PEMAKANAN MAMPAN 2 TAHUN BAGI MENYOKONG KOMUNITI B40 MALAYSIA
Ketika Malaysia menuju ke arah pemulihan ekonomi dengan memasuki fasa endemik, komuniti B40 terus menghadapi masalah pemakanan dan cabaran lain yang berkaitan dengan inflasi. Selaras dengan komitmennya kepada Malaysia dan matlamat syarikat bagi menyuburkan dunia dengan cara yang selamat, bertanggungjawab dan mampan, Cargill kini bekerjasama dengan Rise Against Hunger untuk memulakan satu program pemakanan mampan selama dua tahun yang dibentuk bagi menyelesaikan masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan masyarakat yang kurang bernasib baik.
Hari ini, lebih daripada 160 sukarelawan berdedikasi dari Cargill bekerja tanpa jemu untuk menyusun paket makanan berkhasiat tinggi (setiap paket mengandungi makanan untuk empat hingga lima orang dengan bahan makanan seperti nasi, dhal, sayur-sayuran kering, vitamin dan mineral) yang panjang tarikh luputnya. Melalui program ini, Cargill akan membantu dalam pengagihan lebih daripada 60,000 paket makanan untuk hampir 240,000 individu yang tinggal dalam komuniti terjejas, termasuklah masyarakat Orang Asli dan golongan pelarian. Acara tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Lembah Pantai, yang menyatakan sokongan beliau terhadap inisiatif tersebut.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Yang Berhormat Fahmi Fadzil berkata, “Dalam masa di mana sekuriti makanan di Malaysia, seperti di pelbagai negara lain, terjejas oleh masalah rantaian bekalan global dan isu geopolitik, kita mesti mencari alternatif yang boleh dilaksanakan untuk menampung keperluan kita sehingga keadaan menjadi lebih baik. Pada asasnya, penyelesaian makanan seperti yang disediakan oleh Cargill hari ini akan membantu orang yang berada dalam situasi kecemasan. Pada masa yang sama, cara mendekati hal bekalan makanan kecemasan harus diperluaskan, dan saya menjemput agensi kerajaan dan NGO yang berkaitan untuk mempertimbangkan pendekatan ini.”
“Selama 44 tahun yang lepas di Malaysia, setiap apa yang kami lakukan adalah berteraskan tujuan utama kami, dan komitmen kami terhadap negara Malaysia menjadi semakin kukuh dari tahun ke tahun. Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen global kami untuk mencari penyelesaian mampan yang menamatkan masalah kebuluran dan malnutrisi, supaya setiap keluarga yang memerlukan mempunyai akses kepada makanan yang selamat, berkhasiat dengan harga berpatutan. Kami ingin melakukan perkara yang betul bagi masyarakat sekeliling di tempat kami beroperasi. Usaha menamatkan isu kebuluran memerlukan pendekatan sistemik, dan yang lebih penting perlu berdasarkan nilai kemanusiaan. Kami berbangga untuk mengusahakan misi ini”, kata Chandramohan Nair, Pengarah, Cargill Malaysia.
Penghasilan pemakanan mampan merupakan komponen besar dalam inisiatif ini – jadi makanan yang tahan lama dan panjang tarikh luputnya adalah kunci bagi menunaikan janji ini. Malnutrisi bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan mudah, dan memerlukan usaha berterusan melalui penyediaan paket makanan berkhasiat tinggi, tahan lama yang boleh digunakan untuk menyokong keperluan nutrisi untuk kegunaan harian.
"Komitmen Cargill kepada masyarakat sekeliling memang membantu dalam usaha kami untuk menamatkan kelaparan dalam dunia pasca pandemik," kata Tiki Keh, Presiden, Rise Against Hunger Malaysia “Rise Against Hunger mempunyai pengalaman dan pengaruh untuk membuat perubahan sebenar dalam komuniti yang terjejas ini dan kami gembira dapat bekerjasama dengan Cargill, rakan kongsi jangka panjang kami, untuk mengurangkan masalah kekurangan nutrisi dalam komuniti B40, sambil meningkatkan kesedaran pemakanan dalam kalangan rakyat Malaysia.”
Untuk maklumat lanjut, sila layari Cargill.com.
Comments
Post a Comment