FESTIVAL MUZIK SOUND CIRCUS BAKAL MERIAHKAN ULANG TAHUN KE-10 ART OF SPEED MALAYSIA


Acara kemuncak Art of Speed Malaysia (AOSM) dibawakan oleh NASTY yang amat dinanti-nantikan saban tahun iaitu ‘Sound Circus Festival’ merupakan sebuah festival muzik istimewa seumpamanya yang menghimpukan nama-nama besar pemuzik underground dan band tanah air serta bertaraf legendaris seperti kumpulan Hujan, bakal beraksi pada 2 dan 3 Julai 2022 ini bermula jam 4 petang sehingga lewat bertempat di lokasi Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurut Encik Asep Ahmad Iskandar, selaku Pengarah Festival, Art of Speed Malaysia, “Saban tahun, AOSM berjaya menghimpunkan ramai penggiat serta peminat motosikal, pengubahsuaian automatif, dunia seni, pengkarya muzik dan pengumpul vintaj serta hobi peringkat dewasa dalam mahupun luar negara pada skala yang besar.

“Pada tahun ini, selain menyediakan platform buat penggiat dan peminat, AOSM juga akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 dengan menghidupkan kembali semangat dan minat para pengunjung menerusi acara yang ditunggu-tunggu iaitu Sound Circus Festival.

“AOSM juga turut mendapat sokongan Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 yang dilancarkan oleh YB Dato' Sri Hajjah Nancy Shukri dengan tema ‘Cuti-Cuti Malaysia 2022’ dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik.

AOSM telah ditubuhkan dengan tujuan menyediakan ruangan bertaraf dunia buat peminat lifestyle alternatif dan indie yang bukan dari kalangan arus perdana.

“Pada tahun 2017, Sound Circus Festival bermula sebagai sebuah gig kecil yang kemudiannya bertukar menjadi acara tumpuan sepanjang berlangsungnya pameran AOSM di MAEPS.

“Kemudian, pada tahun 2019, lokasinya diubah ke luar dewan utama bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung seramai 5,000 orang,” kata Asep.

Pada tahun ini, jenama NASTY iaitu pengeluar produk Global ENDS turut bersama sebagai penaja utamanya.

“Kami merupakan peminat tegar AOSM sejak dari mula dan apabila dipelawa untuk bekerjasama bagi meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya, ia merupakan sebuah penghargaan besar yang tidak harus kami dipersiakan,” jelas Encik Shariffudin Bujang, selaku Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif NASTY.

Festival ini diwujudkan bertujuan menyediakan sebuah ruangan khas buat pengunjung untuk menikmati hujung minggu mereka bersama rakan sambil berhibur dengan muzik yang berkualiti dan bertemu pengunjung lain yang mempunyai minat yang sama.

Pada kali ini, Sound Circus Festival akan menyediakan dua lokasi yang berbeza, di dalam dan luar dewan MAEPS dengan membariskan nama-nama hebat seperti Kumpolan Tangan Hitam, Late Night Frequency, Prasasti, Sweetass, King I Balok People, Iqbal M, Sekumpulan Orang Gila, Hujan, Monotones, Budak Nakal Hujung Simpang, Kugiran Di Tepi Pantai, Akeem Jahat, Ical Mosh, Armpunk Sindicate, Jemson dan The Times.

“Pemilihan band adalah berdasarkan suara kolektif komuniti yang telah disenaraikan pendekkan oleh pegawai AOSM dalam lingkungan 20 dan 30-an yang peka dengan perkembangan muzik semasa.

“Mereka (artis atau band) dipilih berdasarkan trend lagu semasa, profil band, kesesuaian lagu dengan tema acara, dan yang paling penting, cara penyampaian lagu semasa persembahan,” terang Asep.

Tujuan utama AOSM menganjurkan Sound Circus Festival adalah untuk membina platform khusus bagi penggiat dan karyawan muzik untuk mempersembahkan hasil karya dan bakat mereka terutamanya buat artis atau band underground yang tidak berpeluang langsung untuk membuat persembahan di pentas utama yang sama dengan artis terkenal.

“Kami sentiasa menyokong karya-karya tempatan dari pelbagai latar belakang kerana tidak semua artis underground berpeluang untuk mempersembahkan bakat mereka.

“Kami menjangkakan ramai pengunjung bakal hadir yang rata-ratanya terdiri dari peminat muzik indie sehingga hip-hop berumur di antara lingkungan 18 sehingga 40 tahun, dan paling istimewa adalah reunion kumpulan Hujan yang telah lama tidak membuat persembahan secara bersama,” ujar Asep.

Baharu beberapa hari sahaja Sound Circus Festival diwar-warkan di media sosial, tiket berharga RM90 telah pun habis dijual, pesan Asep: “Jangan risau, tiket yang masih ada adalah kombo yang berharga RM110, di mana pengunjung berpeluang melihat pameran AOSM bertempat di dalam dewan MAEPS serta acara Sound Circus Festival.

“Dan bagi yang ingin menyaksikan pameran dan persembahan dalam dewan sahaja, tiket berharga RM35 dan RM55 untuk kemasukan sejam awal masih lagi dijual.

“Kami (AOSM) berharap semoga acara festival muzik ini kembali seperti biasa dengan lebih ramai pengunjung, dan apa yang penting SOP tetap diberikan keutamaan.



Maklumat lanjut:

Pautan Pembelian Tiket : aos2022.qtic.my

Comments

Popular posts from this blog

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3