SEMPENA BULAN KESEDARAN HAID, MARILAH KITA SAMA-SAMA MERUNGKAI 5 MITOS TERHADAP HAID


Dengan jolokan seperti ‘datang bulan’ , ‘Aunt Flo’, ‘Sharks Week’ atau ‘dai yi ma’, haid masih dianggap topik yang tabu dalam banyak budaya. Kaum hawa bukan sahaja perlu berhadapan dengan stigma, malah mereka sering ‘disajikan’ dengan maklumat tidak tepat tentang haid. Sungguhpun haid merupakan proses semula jadi yang dialami oleh kebanyakan wanita, ia masih diselubungi pelbagai mitos pada zaman serba moden ini.

Menurut laporan Kumpulan Bank Dunia, sekurang-kurangnya 500 juta wanita dan gadis di seluruh dunia menghadapi ‘kemiskinan haid’, yang bermaksud kekurangan atau ketiadaan kelengkapan sanitasi bagi menguruskan haid. Kesannya, mereka bukan sahaja kurang pengetahuan tepat tentang haid, tetapi juga kurang cakna tentang cara terbaik untuk menguruskan kebersihan haid.

Justeru, sempena Bulan Kesedaran Haid anjuran Aurelius Healthcare, Dr. Azizah binti Rusly, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Hospital Aurelius Nilai ingin merungkai beberapa mitos tentang haid yang biasa kedengaran.

#1 “Kata ibu, wajib membasuh tuala wanita kerana darah itu najis dan akan ‘menjemput’ kedatangan jin dan makhluk halus!”

Sebenarnya, darah haid tiada beza dengan darah lain dalam badan kita, dan sudah tentunya tidak kotor! Ia terdiri daripada darah, membran rahim, lapisan mukus, dan bakteria. Sungguhpun ia kadangkala kelihatan bergumpal atau lebih gelap, kejadian sedemikian adalah normal.

Tuala pakai buang hendaklah dibungkus rapi dan dibuang selepas digunakan. Namun, sekiranya anda menggunakan tuala boleh guna semula atau cawan haid, rendamkannya dengan air sejuk dan basuh dengan detergen biasa, soda penaik atau cuka. Pastikan ia kekal kering bagi mencegah jangkitan kuman.

#2 “Ada yang kata, meletakkan tuala yang telah dibasuh pada muka dapat memberikan kulit yang cantik.”

Tidak benar sama sekali, kerana sisa atau produk haid harus dibuang dengan cara yang betul!

Hakikatnya, cara memperoleh kulit yang jelas bergantung pada jenis kulit seseorang. Amalkan diet yang sihat lagi seimbang untuk menjadi versi terbaik anda. Tingkatkan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran, dan minum air mencukupi dan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu!

#3 “Tampon akan merosakkan selaput dara saya.”

Meskipun tampon boleh menyebabkan sedikit regangan atau koyakan pada selaput dara atau himen, namun ini juga boleh berlaku apabila anda melakukan aktiviti lasak.

Pada mulanya, sebilangan wanita mungkin akan mengalami ketidakselesaan ketika memasukkan tampon. Namun, keadaan ini adalah sementara dan akan bertambah baik!

#4 “Saya harus mengelakkan makanan atau minuman sejuk kerana ia akan memburukkan lagi pendarahan dan senggugut”

Hakikatnya, tiada kajian yang dapat membuktikan atau menyangkal kaitan antara minuman/makanan sejuk dengan senggugut. Haid merupakan sebahagian daripada sistem pembiakan manakala aktiviti makan atau minum berkait rapat dengan sistem pencernaan. Jadi, kedua-dua sistem ini berfungsi secara berasingan dan tidak menjejaskan satu sama lain.

Sungguhpun demikian, sesetengah wanita lebih sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk, yang mungkin akan mencetuskan atau memburukkan lagi senggugut. Jadi, anda haruslah cakna badan anda sendiri dan bertindak sewajarnya.

#5 “Saya pernah menyorokkan produk sanitari saya kerana tidak sopan untuk menunjukkannya di khalayak ramai”.

Sama seperti tisu dan ubat gigi, produk sanitari merupakan produk gaya hidup yang membantu wanita berasa lebih selesa dalam tempoh haid. Oleh itu, setiap wanita harus mempunyai hak dan kebebasan untuk membeli produk kebersihan tanpa rasa malu, kerana haid semata-mata satu proses fisiologi semula jadi yang berlaku setiap bulan.

Untuk maklumat lanjut tentang kepentingan kebersihan haid, ikuti kempen #RespectMyCycle anjuran Aurelius Healthcare di Facebook, Instagram, dan LinkedIn.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!