‘NARSIS’ - LAGU POP DANSA ALA KPOP GABUNGAN PADU ELIZABETH TAN FEAT. ZYNAKAL

 

Penyanyi serta pelakon cantik popular tanah air, Elizabeth Tan dan rapper terkenal, Zynakal bergabung buat pertama kalinya dalam sebuah single baharu beritma pop dansa ala Korea yang diberi judul ‘Narsis’ terbitan label berpengaruh negara, Warner Music Malaysia.

Finalis Anugerah Juara Lagu pada tahun 2017 yang lebih mesra disapa Lizzy ini memula bicara, “Setelah lama tidak muncul dengan mana-mana single serta baru sahaja selesai penggambaran drama, barulah saya berpeluang untuk masuk ke studio untuk merakamkan lagu.

“Sebenarnya saya banyak menerima tawaran berlakon dan kebanyakkan proses penggambaran selalunya memakan masa yang lama, selain itu saya juga lebih fokus dengan keluarga setelah berumah tangga pada tahun lepas.

Kolaborasi mantap di antara Lizzy dan Zynakal merupakan idea bernas dari pihak pengurusan Warner Music Malaysia sendiri yang mahukan gabungan baharu dan segar dalam memenuhi selera pendengar masakini yang pelbagai.



Menurut Zyn, “Saya dengan Lizzy sememangnya sebumbung, jadi pihak Warner yang mencadangkan agar kami dipadukan dalam sebuah single pop dansa ala Korea yang popular tatkala ini.

Tambah Lizzy, “Setelah mendengar demo yang diberikan oleh pihak MFMF, saya rasakan ada ‘sesuatu’ yang kurang, jadi Raqeem Brian (Pengarah A&R Pemasaran Domestikyang mencadangkan agar dimasukkan rangkap rap yang dinyanyikan oleh Zynakal, maka terhasillah Narsis.

Lagu pop rancak yang berdurasi selama 2:24 minit ini menceritakan tentang perihal manusia bersifat narsistik yang sememangnya wujud di kalangan masyarakat kita sejak dahulu lagi.

“Lirik lagu ini sebenarnya sangat straightforward, kalau diamati ia tentang seorang lelaki ‘narsis’ yang mementingkan diri dan tidak memperdulikan orang lain selain dirinya.

“Lagu ini juga agak peribadi bagi saya kerana saya pernah mengalami situasi berdepan dengan insan sebegini di mana saya diperlakukan dengan teruk dan tidak adil,” kongsi Lizzy.


Proses rakaman yang memakan masa selama beberapa jam berlangsung di Studio MFMF, manakala proses pengubahsuaian dan suntingan single ini berlanjutan selama seminggu.

“Bagi saya, Lizzy adalah seorang artis yang berbakat dan sangat komited, dia tahu apa yang diperlukan untuk menaikkan sesebuah karya sehingga betul-betul menjadi.

“Untuk rangkap rap dalam lagu ini, saya sendiri menulis liriknya serta menambah flavour Zynakal melalui nyanyian rap saya,” ulas Zyn.

Selain single yang diluncurkan, sebuah video muzik (MV) turut dimuatnaik serentak di laman YouTube dengan konsep yang artistik dan punyai jalan cerita yang menarik.

“Dalam MV Narsis nanti yang diilhamkan oleh pengarah, kesemua yang berlaku hanyalah imaginasi semata-mata, dan tiada orang disekeliling menggambarkan betapa traumanya perasaan itu,” kata Lizzy.

Lizzy yang memulakan kariernya sebagai penyanyi kini lebih cenderung dalam lakonan, jelasnya, “Saya memang minat berlakon dan menulis lagu, bidang nyanyian pula mungkin jatuh nombor dua, namun jika disuruh memilih, rasanya sukar untuk saya membuat keputusan.

“Bagi saya bidang lakonan memberi kepuasan yang berbeza di mana saya berpeluang membawa watak yang berlainan serta ada cabarannya kerana setiap watak yang saya bawakan ada keistimewaannya tersendiri.

“Melalui penulisan lagu pula, saya dapat menghiburkan dan menginspirasikan pendengar, seperti lagu ‘Tabah’ yang saya nyanyikan dahulu, peminat memberitahu lagu tersebut membantu mereka yang sedang kemurungan untuk bangkit semula. Itulah istimewanya muzik, sebuah alatan luar biasa yang dapat menyembuhkan seseorang dari pengalaman yang memberikan trauma.

Zyn yang sedang dalam perancangan menghasilkan album pertamanya pada tahun ini berharap, “Semoga peminat semua mengerti apa yang kami cuba sampaikan menerusi lagu ini, nikmati rentak khas dari kami, ulangi dan kongsikannya pada semua.

Akhiri Lizzy, “Saya berharap agar peminat semua sukakan Narsis, sebagaimana lagu-lagu saya terdahulu, walaupun pendek, mesejnya terpampang jelas.

“Terima kasih di atas sokongan anda selama ini, saya sayangkan kamu semua dan jangan lupa untuk menonton MV-nya nanti!

Lagu ‘Narsis’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV pula boleh ditonton secara eksklusif pada tarikh yang sama hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3