SINOPSIS DRAMA BERSIRI GEMPAK "THE MAID 2"


Drama bersiri popular terbitan Gempak, ‘The Maid’ berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila ditayangkan pada awal tahun 2021. Bukan sahaja membawakan genre misteri pembunuhan atau ‘whodunnit’ yang jarang dipersembahkan dalam nuansa tempatan, ‘The Maid’ menjadi bualan kerana elemen komedinya yang bersahaja dan diperkuatkan dengan barisan pelakon terkemuka. 

‘The Maid’ bukan sekadar mencuri perhatian penonton Malaysia, malah idea yang dicetuskan oleh Sham Hashim, penulis dari Gempak ini turut menarik minat stesen televisyen terkemuka Filipina, GMA. Stesen penyiar itu kini menayangkan ‘The Maid’ musim pertama yang dialih suara dalam Bahasa Tagalog. 


Kejayaan ini merupakan satu rekod baru untuk industri penyiaran tempatan apabila ‘The Maid’ menjadi drama bersiri pertama Malaysia yang ditayangkan di kaca televisyen Filipina. 

Susulan kejayaan demi kejayaan, ‘The Maid 2’ bakal menemui pengikut setianya dengan pengembaraan terbaru yang lebih dramatik. Peminat bakal menyaksikan kesinambungan telatah Suhana, Nadia dan Fika selepas mereka diceraikan oleh Jay, penulis novel Payung Emas yang kini mempunyai isteri baharu bernama Qina. Jay dituduh merampas kesemua harta milik bekas isteri-isterinya setelah memperdayakan mereka. Ketika Jay dan Qina melancarkan sebuah resort di Pulau Dao, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori mereka dengan hasrat untuk membunuh Jay. 


Namun belum sempat mereka melaksanakan apa yang dirancang, Jay ditemui mati. Kini ketiga-tiga bekas isteri terperangkap di resort tersebut dan menjadi suspek utama pembunuhan. 

Sekuel dengan 12 episod ini mengembalikan semula barisan pelakon asal seperti Sherry Alhadad, Datin Seri Paduka Eina Azman, Ezzaty Abdullah, Ieda Moin, Nabil Aqil dan Norman Hakim. Musim terbaharu ini juga memperkenalkan watak-watak baru lakonan Marsha Milan, Yuna Rahim, Sean Lee, Hazeeq Dean dan Aniq Suhair. 


Masih mengekalkan penulis skrip seperti Sham Hashim dan Nazri Vovinski, ‘The Maid 2’ merupakan arahan bersama dua sutradara popular, Michael Ang dan Hadith Omar. 

‘The Maid 2’ akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 6 Julai 2022 melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel. Khas untuk pelanggan Astro, mereka berpeluang menyaksikan dua episod pertama secara serentak, juga pada 6 Julai 2022 mulai jam 9.30 malam secara strim menerusi On Demand. Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati siri komedi ini di Astro. 

Selain itu, ‘Video Pengakuan The Maid 2’ (Digital Extension) boleh ditonton secara percuma di platform Gempak.com setiap Rabu pukul 10.05 mulai 6 Julai. Video Pengakuan ini menampilkan temubual secara intim dengan karakter-karakter seperti pengakuan Suhana, Nadia, Fika, Qina dan ramai lagi mengenai apa yang berlaku setiap minggu. 


SINOPSIS DRAMA BERSIRI ‘THE MAID 2’ 

Selepas diceraikan oleh Jay, Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori bekas suami mereka ke sebuah resort dengan perancangan untuk membunuh Jay. Namun, Jay telah dibunuh oleh pembunuh misteri sebelum mereka sempat berbuat apa-apa. 

Drama bersiri ini mengisahkan tentang Suhana, Nadia dan Fika yang baru sahaja diceraikan oleh Jay selepas Jay mengahwini Qina, isterinya yang paling baharu dan muda. Situasi mereka bertambah buruk apabila harta mereka telah berpindah milik kepada Jay setelah Jay berjaya memperdayakan mereka untuk menandatangani satu surat. 

Justeru, Suhana, Nadia dan Fika mula berbaik dengan satu sama lain dan merancang untuk membalas dendam kepada Jay. Jay dan Qina pergi bercuti di sebuah resort yang terletak di Pulau Dao. Resort itu baru sahaja diambil alih oleh Qina. Suhana, Nadia, Fika dan Kak Mel mengekori Jay ke resort itu dengan senyap untuk membunuhnya. 

Ketika mereka berada di resort, mereka terserempak dengan Remy yang kini bekerja sebagai Ketua Pengawal Keselamatan. Remy berasa hairan kerana mereka semua check in ke dalam hotel itu menggunakan identiti palsu. Namun, sebelum mereka sempat melaksanakan perancangan untuk membunuh Jay, Jay telah ditemui mati di kolam renang resort itu. Situasi bertambah buruk apabila resort itu diarahkan untuk tutup dan dikawal dengan ketat supaya tiada sesiapa pun dapat melarikan diri ketika siasatan dijalankan. 

Keadaan menjadi lebih bahaya apabila mereka semua turut diancam oleh pembunuh misteri. Siapakah pembunuh misteri pada kali ini?

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO