COVID DAN INFLUENZA: CARA MENGHADAPI KESAN JANGKA PANJANG DI RUMAH


Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan kira-kira 290,000 hingga 650,000 orang meninggal dunia akibat sakit yang berpunca daripada selesema setiap tahun di seluruh dunia. Apabila Influenza kembali melanda di Malaysia, ditambah pula dengan peningkatan jumlah kes COVID, perkara ini telah mencetuskan kebimbangan kesihatan awam yang utama. Sekurang-kurangnya, adalah melegakan apabila mengetahui kadar kematian di Malaysia lebih rendah berbanding negara lain, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Hal ini mungkin disebabkan kebolehcapaian yang tinggi terhadap suntikan selesema dan vaksin yang memainkan peranan penting dalam proses pemulihan pesakit.

Selepas sembuh daripada jangkitan, pesakit COVID-19 dan Influenza mungkin akan mengalami gejala yang berlarutan seperti keresahan, keletihan dan masalah pernafasan selama beberapa minggu. Kebanyakan pesakit akan bertambah baik selepas beberapa ketika, namun ada juga yang mengambil masa berbulan-bulan, atau dalam kes yang teruk, sehingga bertahun-tahun. Oleh itu, adalah penting bagi setiap pesakit untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa proses pemulihan jangka panjang mereka dengan mendapatkan bantuan daripada pengamal penjagaan kesihatan sebelum terlambat.

Simptom Long COVID/Influenza

Kajian menunjukkan terdapat sejenis protein dalam virus Influenza yang membantu ia membiak dan merosakkan sel epitelium paru-paru, sekali gus menyebabkan pengumpulan cecair di dalam paru-paru. Sebaliknya kes teruk COVID-19 pula boleh menghasilkan parut dan masalah kekal lain di dalam paru-paru.

“Kebanyakan pesakit Long COVID terdiri daripada warga emas kerana mereka memiliki imuniti yang lemah. Tambahan pula, orang dewasa yang menghidap sakit jantung atau paru-paru lebih terdedah kepada penyakit respiratori kerana saluran pernafasan mereka lebih sempit,” kongsi Dr Kow Ken Siong, Pakar Perunding Respiratori di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

Gejala penyakit pernafasan adalah berbeza bagi setiap orang, antaranya:
  • Rasa letih yang berlanjutan
  • Kabut otak (brain fog)
  • Sakit kepala yang berterusan
  • Sakit dada
  • Kesukaran bernafas atau sesak nafas
  • Batuk berpanjangan

Gejala seperti ini boleh dirawat, tetapi ia akan mengambil masa. Tisu paru-paru akan beransur sembuh daripada parut, tetapi ia akan mengambil masa selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun sebelum fungsi paru-paru seseorang dapat kembali seperti sedia kala. Perlu diingatkan juga bahawa paru-paru yang sembuh daripada penyakit respiratori akan tetap menghasilkan set gejalanya sendiri! Pesakit akan mengalami ketidakselesaan apabila proses penyembuhan bermula. Semasa menjalani rawatan dan terapi barulah doktor dapat menentukan tahap pemulihan seseorang pesakit itu.

Senaman di rumah untuk menguatkan sistem respiratori

Berjalan kaki

Walaupun ia merupakan antara senaman yang paling mudah dilakukan, namun berjalan kaki adalah cara terbaik untuk mendapatkan semula kekuatan anda. Tetapkan matlamat realistik pendek, dan mula berjalan dengan perlahan di rumah anda selama 10 hingga 15 minit. Jika anda berasa selesa tanpa sebarang sesak nafas, anda boleh meningkatkannya secara beransur-ansur sebanyak 5 minit. Berjalan meningkatkan peredaran darah dan menguatkan tisu di sekeliling paru-paru anda, sekali gus membantu mereka berfungsi.

Menguap sambil tersenyum (Latihan pernafasan)

Senaman ini membantu meningkatkan koordinasi dan membina kekuatan pada otot lengan dan bahu. Ia juga akan membantu membuka otot di dada untuk membolehkan diafragma mengembang sepenuhnya.
  1. Duduk tegak dengan belakang yang lurus. Ini boleh dilakukan di tepi katil atau di kerusi yang kukuh.
  2. Depa tangan anda sehingga paras bahu, dan naikkan sehingga melepasi kepala. Kemudian buka mulut anda dengan lebar seperti sedang menguap besar.
  3. Turunkan tangan anda dan ubah menguap itu menjadi senyuman selama tiga saat.
  4. Ulangi proses tersebut selama satu minit.
Berdengung (humming) (Latihan pernafasan)

Berdengung membantu meningkatkan pengeluaran nitrik oksida. Nitrik oksida membantu memberi keplastikan saraf (pembinaan dan pembaikan sistem saraf), mengembangkan saluran darah serta menarik lebih banyak oksigen ke dalam paru-paru dengan setiap nafas. Berdengung juga boleh mengurangkan tekanan kerana ia dapat menenangkan fikiran.
  1. Duduk tegak dengan belakang yang lurus dan letakkan tangan anda di sekeliling sisi perut anda.
  2. Pastikan bibir anda tertutup dan letakkan lidah pada lelangit di dalam mulut.
  3. Tarik nafas dalam-dalam dan secara perlahan melalui hidung dan regangkan jari anda semasa anda berbuat demikian.
  4. Pastikan badan anda dalam keadaan tenang dan apabila paru-paru anda penuh, hembus nafas sambil mendengungkan bunyi "hmmm".
  5. Ulangi langkah ini dengan menarik dan menghembus nafas melalui hidung anda sambil berdengung.
  6. Lakukan gerakan ini beberapa kali.
Rawatan dan Pemulihan

Simptom setiap pesakit mungkin berbeza-beza, jadi adalah penting untuk mendapatkan nasihat daripada doktor tentang gejala yang anda alami. Penilaian haruslah dibuat oleh pengamal perubatan berikut:
  • Pakar Perubatan Pemulihan
  • Pakar Fisioterapi
  • Ahli Terapi Carakerja
  • Pakar Nutrisi
  • Pakar Psikologi Klinikal

Selepas dinilai, doktor akan membuat susulan dengan sesi pemulihan yang melibatkan Pakar Fisioterapi atau Terapi Carakerja. Penilaian komprehensif dan rawatan pemulihan ini bertujuan supaya pesakit boleh mendapatkan semula kekuatan, daya tahan dan fungsi kognitif mereka yang terjejas selepas dijangkiti COVID atau Influenza. Pusat Perubatan Sunway menyeru pesakit untuk mendapatkan pasukan pemulihan pelbagai disiplin dan komprehensif untuk membantu mereka dalam pemulihan. Pasukan itu perlu terdiri daripada pakar yang akan menjalankan penilaian komprehensif dan merangka pelan khusus untuk membantu pesakit dalam perjalanan mereka ke arah mencapai pemulihan yang optimum.

Pusat Perubatan Sunway terletak di Bandar Sunway, Petaling Jaya. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway, sila layari www.sunwaymedical.com.my.


Feature photo: Image by benzoix on Freepik

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM