MARI TERJAH 7 BAZAR RAMADAN TERBAIK DI SELANGOR!
Bazar Ramadan terbaik di Negeri Selangor yang menyediakan seleksi makanan dan juadah berbuka puasa yang unik dan popular
Bulan Ramadan kali ini disambut dengan meriah dan antara waktu yang amat dinanti-nantikan untuk semua rakyat Malaysia. Negeri Selangor yang mempunyai 9 daerah menawarkan pelbagai bazar ramadan yang sememangnya memberikan seleksi makanan dan juadah serta tapak bazar yang selesa untuk dikunjungi. Ianya juga menjadi pilihan para pelancong dalam dan luar negara untuk merasai makanan lokal yang menjadi sebahagian identiti dan kunikan negeri Selangor. Pastinya membuatkan anda rambang mata dengan pelbagai juadah tersedia!
Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Shah Alam
Dengan ruang parkir yang banyak serta kawasan bazar ramadan yang luas, Bazar Ramadan Stadium Shah Alam ini sentiasa menjadi pilihan dan sudah tidak lazim lagi bagi penduduk di kawasan Shah Alam. Dengan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa seperti sotong bakar boroi, ayam madu dan sata, semestinya menjadi buruan di bazar ini! Untuk yang menginginkan makanan dari Timur Tengah, nasi mandi oleh chef terkemuka, Chef Ammar juga ada di sini. Memang beratur setiap kali bulan Ramadan!
Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya
Untuk yang menetap di kawasan Subang, Bazar Ramadan di USJ 4 ini semestinya menjadi buruan. Dibuka seawal jam 3.00 petang, sebanyak 160 gerai di bazar ini menyediakan pelbagai juadah bulan puasa yang dicari setiap tahun, seperti nasi briyani, mango ice cream float dan martabak. Terletak bersebelahan dengan SMK USJ 4, Bazar Ramadan USJ 4 ini amat mudah dikenalpasti, memandangkan ianya mudah dilihat dari tepi jalan.
Bazar Ramadan Padang Perbandaran, Petaling Jaya
Terletak bersebelahan dengan Padang Perbandaran MPAJ, bazar ramadan ini merupakan antara kawasan tumpuan di Petaling Jaya. Dengan kawasan pejalan kaki yang luas, pengunjung boleh mencari hidangan berbuka puasa walaupun pada lewat petang! Terdapat pelbagai juadah di 114 gerai yang ditawarkan di sini seperti sup gearbox, sayap madu Tawau, kuih peneram dan kuih akok.
Bazar Ramadan Taman Sri Andalas, Klang
Merupakan antara bazar ramadan yang paling dinanti-nanti oleh penduduk Klang, Bazar Ramadan Taman Sri Andalas ini merupakan antara bazar yang telah lama bertapak di kawasan Klang setiap kali menjelangnya bulan Ramadan. Tongmo bakar, ayam percik dan pelbagai jenis kebab juga terdapat di sini. Semestinya salah satu bazar yang boleh anda terjah untuk mendapatkan juadah yang enak untuk berbuka puasa!
Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam
Terletak hanya bersebelahan dengan bangunan PKNS, bazar Ramadan ini adalah antara bazar yang paling ramai dikunjungi seawal jam 3 petang. Setiap gerai menjual hidangan-hidangan yang mendapat permintaan ramai dan amat popular kerana keenakannya, seperti popiah basah, daging salai masak lemak, nasi kerabu tumis, kebab kambing dan pelbagai lagi! Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di bangunan berdekatan seperti Plaza Shah Alam atau di PKNS juga.
Bazar Ramadan Jalan SS6/1, Kelana Jaya
Bazar Ramadan di Seksyen 6 Kelana Jaya ini merupakan antara bazar tumpuan, terutamanya untuk para pelajar dari Universiti Malaya dan MAHSA. Terletak di hadapan Jaya One, bazar ini menawarkan harga yang berpatutan kepada pengunjung dengan sebanyak 197 gerai terdapat di sini. Pelbagai juadah unik di sini seperti seleksi minuman yang unik seperti air kasturi asam boi, ayam percik dan karipap gergasi. Juga menawarkan makanan antarabangsa seperti sushi, pizza, pasta, dan ayam goreng korea.
Bazar Ramadan LOTUS, Kuala Selangor
Terletak berhadapan Lotus Kuala Selangor, bazar ini mengumpulkan juadah-juadah berbuka puasa yang menarik dan hanya boleh didapati pada bulan Ramadan seperti roti john, tepung pelita dan ayam golek. Anda juga boleh mendapatkan makanan tradisi jawa seperti Nasi Ambeng dan Pecal. Pengunjung dinasihati untuk melawati bazar ini seawal jam 3 petang, memandangkan bazar ini merupakan antara bazar yang agak padat dengan pengunjung sepanjang bulan Ramadan!
Bazar Ramadan merupakan antara budaya yang sangat sinonim dengan rakyat Malaysia. Ini adalah masa yang terbaik untuk kita menyokong peniaga-peniaga kecil tempatan.
Untuk lebih banyak inspirasi pelancongan ke Selangor, layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel, atau ikuti akaun media sosial rasmi Tourism Selangor; Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan saluran YouTube Tourism Selangor. #PusingSelangorDulu
Comments
Post a Comment