RAYA SAMA-SAMA, RTM TAMPILKAN PROGRAM TV SYAWAL TERBAIK
Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi keterujaan sambutan Aidilfitri tahun ini bersama-sama penonton dan pendengar setia salurannya dengan susunan program-program terbaik disiarkan sepanjang perayaan ini. Kali ini, RTM menawarkan lebih pilihan program khas termasuklah 29 program baharu bakal disiarkan menerusi tiga saluran utama iaitu TV1, TV2 dan Okey.
Bertemakan Raya Sama-Sama, ketiga-tiga saluran TV RTM berbesar hati menyediakan tujuh kategori termasuklah program berbentuk keagamaan, dokumentari dan majalah, muzikal, sukan, bicarawara dan bual bicara, telemovie juga drama bersiri yang tidak kurang hebatnya.
TV1
Pengisian program saluran utama TV1 membawakan rancangan keagamaan bermula malam raya dengan tayangan ‘Gema Takbir’, pukul 9.00 malam diikuti esoknya Syawal pertama iaitu program ‘Gema Raya’, disiarkan pukul 8.00 pagi. Seterusnya program menemui penonton pukul 6.00 petang iaitu ‘Fikrah Raya’ pada 26 April ini, dan ‘Anda Musykil Raya’ pada 27 April ini.
Hayati program dokumentari dan majalah pilihan yang sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan penonton RTM iaitu ‘Syahadah Raya’, 1 Syawal ini, pukul 6.30 petang dan Tumit Tinggi Raya, 2 Syawal ini, pukul 12.05 tengah hari. Saksikan juga dokumentari khas ‘Baju Melayu’ pada 2 Syawal, pukul 1.30 petang.
Bagi memberi lebih pilihan kepada para penonton, barisan program hiburan untuk tontonan sesi keluarga juga akan dihidangkan 1 Syawal ini dengan program muzikal terbitan RTM Sabah iaitu ‘Ayuh Jamming Raya’ pukul 12.05 tengah hari, berkonsepkan muzikal (jamming) yang mengetengahkan persembahan artis-artis tempatan Sabah dengan lagu raya genre etnik kontemporari hasil ciptaan komposer anak jati negeri di bawah bayu. Diikuti program terbitan RTM Sarawak iaitu ‘Rinduk Raya’, pukul 1.30 petang, memaparkan kemeriahan suasana menyambut raya di Sarawak yang menampilkan penglibatan anak seni lama dan baharu dari bumi kenyalang.
Sebuah program sukan mewarnai 2 Syawal anda iaitu ‘Planet Sukan Edisi Syawal’, pukul 11.00 malam. Turut menemui penonton program bual biacara ‘SPM Edisi Raya’, 2 Syawal, pukul 8.00 pagi dan ‘Pesona XY Raya’, 8 Syawal, pukul 11.05 pagi.
Unit Drama TV RTM menerbitkan sebuah telemovie mengisi slot Panggung RTM bertajuk ‘Durjana Pujaan’, 1 Syawal, pukul 9.00 malam dan esoknya waktu sama disiarkan drama bertajuk ‘Kami Nak Jadi Superstar’. ‘Durjana Pujaan’, menggandingkan pelakon terkenal Sabri Yunus, Zahiril Adzim, Azhan Rani, Kazar, Hanna Aqeela, Amerul Affendi, Ammar Titan, dan Balkisy Semundur Khan. Manakala ‘Kami Nak Jadi Superstar’ pula telemovie dibintangi pelakon komedi popular Mark Adam, Joey Daud, Acong Sweetchild, Ucop Cecupak, Chomatt Samad, Bae Balqis, Octovia Manrose, Fanna Azizan, Kazar Saisi, Noralbaniah, dan Al-Farabi Band.
Diikuti dengan empat pilihan telemovie berturut-turut mulai 1 hingga 4 Syawal, pukul 10.05 pagi iaitu ‘Nak Salam Boleh?’, ‘Doa Fatihah’, ‘Ikhlas’ dan ‘Aku Tanpa Dia’. Pilihan telemovie terbaik ini menampilkan nama-nama popular seperti Zahiril Adzim, Shera Ayob, Aishah Azman, Jalil Hamid, Sweet Qismina, Erynne Erynna, Rashdan Baba, Fathil Dani, Datin Fadilah Mansor, dan Adam Shah.
TV1 melengkapkan tirai Aidilfitri dengan menyiarkan drama bersiri khas Syawal iaitu ‘Saya Tunggu Awak’ yang mengetengahkan pelakon utama Puteri Sarah Liyana, Azlee Khairi, dan Amar Asyraf. Disiarkan mulai 21 April ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 6.45 petang, Kisahnya tentang Ustazah Hanna Mardhiah dalam mempertahankan kesetiaannya terhadap suaminya Farhan yang serba kekurangan tatkala diuji dengan tawaran cinta dari Rafiq yang punya seribu satu kelebihan.
TV2
Saluran Dunia Ria menyediakan sebanyak 22 program khas termasuklah tiga program baharu istimewa sepanjang Aidilfitri disiarkan pada 22 April ini iaitu ‘Rindok Raya’ terbitan SARAWAKfm, pukul 11.00 pagi. Program hiburan ini memaparkan kemeriahan suasana Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sarawak dengan penglibatan anak seni lama dan baharu dari bumi kenyalang. Turut menampilkan personaliti serta bekas-bekas peserta program anjuran RTM Sarawak.
Diikuti program ‘#inicartaKLraya,’ pukul 8.00 malam diterbitkan KLfm yang menampilkan artis terkenal Bunkface dan Shila Hamzah juga barisan penyampai popular KLfm. Berhibur seterusnya dengan ‘Konsert Glamz Raya,’ pukul 9.00 malam terbitan Unit Hiburan TV RTM yang tidak kurang meriahnya dengan persembahan artis menyanyikan lagu-lagu hari raya lama dan baharu artis popular Ramlah Ram, Siti Nurdiana, Tomok, Dayangku Intan, Azlan Typewriter, Nabila Razali, Reedzwan, Aidilia, Nashrin, Roshini, dan Salamiah Hasan. Dihoskan oleh Raja Azura dan Fikri Ibrahim.
OKEY
Saluran Okey pula membawakan program menjelang raya iaitu ‘Deco VS Deco” pada 21 April ini, pukul 8.30 malam, ‘Borak Dulu Baru Buka #Barakahnya Di Sini’ edisi khas Aidilfitri pada malam raya, pukul 7.00 malam, ‘Fresh Brew’ pada 23 April ini, pukul 11.00 pagi, ‘Versus’ pada 26 April, pukul 3.30 petang dan ‘Steadey!’ pada 27 April, pukul 3.30 petang.
Dua drama bersiri baharu iaitu ‘Alamak Lagi-Lagi Raya’ mulai 24 April, setiap Isnin hingga Sabtu, pukul 2.30 petang dan ‘Sis, Sayang Kamu’ mulai 27 April, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9.00 malam. ‘Alamak Lagi-Lagi Raya’ lakonan Wafariena Roslan, Iman Zulkarnain dan Hariz Hamdan tentang trauma dengan seorang insan bernama Idham Hariz di zaman persekolahannya membuatkan Syafika tidak pernah punya teman lelaki, walau asyik mencari dengan lelaki-lelaki berbeza. Sehinggalah berjumpa dengan Nadim Ammar yang selamba, keras kepala tetapi punya prinsip tersendiri tentang cinta. Nantikan juga tayangan drama bersiri ‘Sis, Sayang Kamu’ dengan barisan pelakon utama Sharifah Sakinah, Husna Mustaffa, Alexis Sue Ann, dan Ranjeetha Sivam.
terima kasih publisitinya...
ReplyDelete