EARTH & ME PERKENALKAN LAMPIN BAYI BERASASKAN BULUH PERTAMA DI MALAYSIA
Earth & Me, jenama baharu produk bayi lestari tempatan, memperkenalkan lampin bayi pakai buang biodegradasi pertama di Malaysia. Dilancarkan bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia, lampin tersebut dihasilkan dengan menggunakan sumber bahan lestari iaitu buluh.
Inovasi Earth & Me ini merupakan satu usaha dalam menangani impak penggunaan lampin pakai buang konvensional yang menjadi salah satu penyumbang terbesar sisa plastik di seluruh dunia. Memenuhi kawasan tapak pelupusan sampah dalam jumlah yang amat besar, lampin konvensional dianggarkan mengambil masa lebih 500 tahun untuk terurai berbanding lampin buluh Earth & Me yang akan terurai lebih 60 peratus dalam masa 75 hari sahaja.
“Misi kami di Earth & Me bukan sekadar untuk menjaga alam sekitar sahaja. Kami menyedari keperluan untuk mendidik pengguna bagi generasi akan datang. Melalui produk ini, kami berhasrat untuk mencetuskan satu anjakan paradigma dalam menggesa para ibu bapa untuk mengamalkan gaya hidup yang mengutamakan nilai kelestarian, seterusnya memupuk gaya hidup yang sama dalam kalangan anak-anak mereka yang akan mewarisi bumi ini nanti,” jelas Michelle Teh, Pengasas Earth & Me.
Michelle Teh, Pengasas Earth & Me |
Lampin buluh biodegradasi, baik untuk alam sekitar dan juga bayi
Menurut Earth & Me, buluh yang menjadi bahan utama lampin biodegradasi ini diperoleh secara selamat dan beretika daripada hutan buluh terpilih di China. Ia dikatakan telah dipilih dengan teliti, selain bebas daripada racun perosak atau racun herba. Dengan ciri-ciri seperti cepat tumbuh, tidak memerlukan air yang banyak serta penjagaan yang lebih senang, buluh menjadi bahan alternatif lestari berbanding sumber tumbuhan lain.
Memanfaatkan ciri lut udara buluh, lampin Earth & Me menyerap lebih banyak cecair daripada gentian kapas, memberikan keselesaan untuk penggunaan sepanjang hari dan semalaman. Dengan ciri lampin yang lembut dan hipoalergenik, gentian buluh yang digunakan mampu menghilangkan lembapan, mengurangkan kerengsaan pada kulit dan juga ruam.
Mengambil kira kesesuaian buat bayi dan kulit sensitif mereka, lampin buluh ini juga tidak mengandungi bahan berbahaya, klorin, pewarna, pencerah atau pewangi tiruan, serta menghalau bau secara semula jadi.
“Sebagai seorang ibu, saya merasakan bahawa penggunaan lampin perlu memberi kesan yang lebih positif kepada kesejahteraan alam sekitar dan juga anak-anak saya. Memandangkan bayi baru lahir akan mengambil masa untuk membina imuniti semula jadi mereka, ianya menjadi keutamaan buat saya untuk memastikan lampin Earth & Me bebas bahan kimia serta mementingkan kesihatan dan keselesaan bayi,” tambah Michelle.
Lampin buluh terbiodegradasi Earth & Me tersedia dalam pelbagai saiz, dari S hingga XL. Lampin ini juga memenuhi keperluan bayi baru lahir tanpa mengira berat atau jenis tubuh badan, meliputi berat dari 2.5kg hingga 20kg. Jenama itu juga kini dalam perancangan untuk menghasilkan variasi seluar latihan, bagi memberikan pilihan tambahan untuk bayi yang sedang membesar.
Selain lampin bayi, Earth & Me turut menawarkan tisu pembersih semula jadi yang mesra bayi. Tisu pembersih ini dihasilkan bebas daripada pewangi tiruan, bahan kimia atau alkohol, dan menampilkan pilihan ekstrak berasaskan tumbuhan — termasuk daun lidah buaya, pegaga, dan limau gedang. Selain itu, tisu Earth & Me dicipta lebih tebal dan lebih lebar berbanding tisu lain di pasaran, dengan tekstur sarang lebah untuk pembersihan yang lebih mudah dan berkesan.
Katalog produk Earth & Me boleh didapati di platform dalam talian mereka. Pengeposan ke seluruh negara turut disediakan. Untuk maklumat lanjut mengenai Earth & Me, layari www.earthnme.co.
Comments
Post a Comment