WARNER BROS. DISCOVERY DAN UNIFI MEMPERLUAS KERJASAMA DENGAN PELANCARAN PEK HBO DAN HBO GO DI UNIFI TV

 

Warner Bros. Discovery dan Unifi hari ini mengumumkan kerjasama mereka yang seterusnya di Malaysia, dengan pelancaran empat saluran HBO dan perkhidmatan penstriman HBO GO. HBO, HBO Family, HBO Hits dan Cinemax akan dilancarkan di Unifi TV, menawarkan penonton akses kepada beberapa siri TV dan filem terbaik dunia. 

Semua pelanggan pek Unifi TV akan dapat menikmatinya melalui pratonton percuma selama 30 hari mulai 1 September. Dengan pertambahan HGTV dan Cartoon Network di Unifi TV pada bulan Ogos, WBD kini menawarkan sembilan salurannya serta perkhidmatan penstriman serantau, HBO GO, yang akan tersedia pada bulan Oktober. 

Shonali Bedi, Ketua Affiliate Distribution & Digital Partnerships – Warner Bros. Discovery, Asia Tenggara & Hong Kong, berkata: “Portfolio kandungan WBD dengan Unifi berkembang dengan baik. Dengan penambahan saluran HBO di Unifi TV dan HBO GO, lebih ramai peminat di Malaysia akan dapat menikmati jenama unik hiburan premium HBO berbanding sebelum ini. HBO GO menawarkan pelanggan peluang untuk memuat turun dan menstrim pelbagai penceritaan terhebat untuk semua lapisan masyarakat, dengan filem dan siri merentas genre – drama, komedi, kanak-kanak, fakta, gaya hidup dan banyak lagi – pada bila-bila masa, di mana sahaja.” 

Anand Vijayan, Naib Presiden Eksekutif Unifi, berkata, “Kami gembira dapat sekali lagi bekerjasama dengan Warner Bros. Discovery untuk memperluas pilihan saluran antarabangsa kami untuk semua pelanggan Unifi TV. Saluran filem ini akan menjadi penambahan hebat yang kini menjadikan tawaran kami kepada sebanyak 77 saluran. Melalui kerjasama ini kami memperkukuh saluran antarabangsa Unifi TV dan tawaran bersama rakan penstriman global, dan meningkatkan pilihan kandungan dan hiburan dalam talian pada harga yang berpatutan untuk semua rakyat Malaysia. Sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan setia kami, kami akan menawarkan pratonton percuma untuk saluran ini selama 30 hari kepada semua pelanggan pek Unifi TV mulai 1 September.” 

HBO ialah salah satu jenama hiburan yang diiktiraf dan inovatif di dunia, yang terkenal dengan rancangan seperti Game of Thrones, The Last of Us, House of the Dragon dan The White Lotus – serta banyak filem blockbuster terbesar Hollywood, termasuk pemenang anugerah drama Emmy® - Succession dan Barry. 

Pelanggan Unifi TV akan mendapat akses kepada tajuk popular terkini, termasuk musim kedua Winning Time: The Rise of the Lakers Dynasty, HBO Asia Original MarkKim + Chef, dan tayangan perdana filem baharu di HBO pada bulan September termasuk Shazam! Fury of the Gods, Tár dan Dungeon & Dragons: Honor Among Thieves. 

Mulai Oktober dan seterusnya, HBO GO juga akan tersedia kepada pelanggan Unifi TV memberikan mereka akses penstriman yang tiada tandingan kepada siri dan filem DC, HBO Originals, Wizarding World, Looney Tunes, Tom & Jerry dan banyak lagi merentasi pelbagai peranti.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!