KUMPULAN WANITA 'SUARA' MUNCUL DENGAN LAGU ‘BAYANG-BAYANG SAYANG’
Suara, merupakan nama kumpulan penyanyi wanita yang sedang meningkat naik di dalam dunia seni hiburan tanah air. Mereka dianggotai oleh lima orang iaitu Eeza, Ifa, Liliz, Fitri, dan Wady. Kumpulan ini terbentuk setelah cover lagu ‘Putus Terpaksa’ oleh Ziana Zain, viral di media sosial dengan capaian tontonan lebih daripada 6.6 juta di platform TikTok, diikuti dengan sebuah lagi cover lagu berjudul ‘Madah Berhelah’ juga oleh Ziana Zain yang meraih capaian tontonan 3.3.juta di platform TikTok.
Kini, Suara muncul dengan single pertama mereka iaitu ‘Bayang-Bayang Sayang’. Lagu ini telah dipilih sebagai runut bunyi untuk drama TV3 berjudul ‘Hati Tercarik Luka’ di slot Samarinda. Menurut Eeza selaku ketua kumpulan, “Kami berlima sangat suka dan jatuh cinta dengan lagu yang dihasilkan oleh Omar K ini kerana liriknya membawa maksud yang amat mendalam. Ini merupakan kali pertama kami menghasilkan album sendiri tentunya kami berhadapan dengan beberapa cabaran ketika pembikinan lagu ‘Bayang-Bayang Sayang’ ini. Cabaran kami apabila sampai pada bahagian bridge dan acapella yang merupakan klimaks dalam lagu dan memerlukan kekuatan vokal paling maksima daripada kami semua. Bukan senang nak mencapai key notes tinggi. Selepas latihan beberapa kali, Alhamdulillah kami semua rasa sangat berpuas hati begitu juga dengan komposer dan penerbit kami.”
“Setiap orang mempunyai vokal yang berlainan, begitu juga dengan kumpulan kami yang mempunyai kekuatan tersendiri. Kelainan ini yang kami tonjolkan kepada pendengar dan pastinya penonton akan dapat mendengar perbezaan suara kami. Ini satu tanggungjawab yang berat buat kami untuk memastikan pendengar dapat menghayati setiap bait-bait lagu yang kami sampaikan serta keunikan karya yang dihasilkan pencipta lagu ini,’ jelasnya lagi..
Pengalaman emas ini semestinya bukan mudah untuk dimiliki, jadi Suara menggunakan masa yang sebaik mungkin untuk menjayakan lagu ‘Bayang-Bayang Sayang’ ini. Pencipta lagu dan penulis lirik juga membuka ruang untuk Suara memberi idea dalam karya mereka. Jika diberi peluang pastinya Suara ingin bekerjasama lagi dengan pencipta karya ‘Bayang-Bayang Sayang’ kerana pengalaman pertama kali yang sangat selesa dan proses yang memudahkan semua pihak dalam menjayakan lagu ini memberi semangat untuk Suara terus menerajui industri seni Malaysia.
Bayang-Bayang Sayang dihasilkan oleh oleh Omar K, manakala penerbit terdiri daripada Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat. Menurut Omar K, “Lagu ‘Bayang-Bayang Sayang’ ini diilhamkan dari situasi semasa yang tular di media sosial, yang terjadi kepada seorang selebriti terkenal ini. Pemilihan anggota kumpulan adalah sangat tepat kerana setiap ahli sangat professional, berbakat dan berpotensi tinggi untuk berkembang lebih jauh dalam industri seni. Selain itu keunikan Suara juga ialah semua ahli mempunyai ‘power vocals’ dan setiap ahli mempunyai keunikan dan stail tersendiri yang membuatkan kumpulan ini amat menyerlah. Suara juga sangat komited dan memberikan sepenuh kerjasama ketika pembikinan rakaman dijalankan.”
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu bakat muda dan 'fresh' dari kumpulan Suara kerana mesej lagu ini sangat memberi inspirasi kepada pendengar iaitu, “Setiap perhubungan ada cabarannya. Teruskan berjuang untuk mencapai kebahagian dalam sesuatu perhubungan.”
‘Bayang-Bayang Sayang’ kini boleh didapati di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, Tidal dan Deezer dari 10 Disember 2023. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
Comments
Post a Comment