TRIVIA… BINTANG RTM JUARA BERKUALITI BAKAL KEMBALI DI TAHUN 2024


Program Bintang RTM terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), diterbitkan khas bagi mencungkil bakat-bakat peserta di dalam bidang nyanyian. Sejarah pertandingan ini bermula pada awal 1959 dan dikenali sebagai "Bintang Radio", sebuah program anjuran Radio Malaya. 

Pertandingan Bintang Radio hanya mengetengahkan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa. Pada tahun 1964, Bintang Radio telah memulakan siaran pertamanya di televisyen serta TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baru untuk pertandingan "Bakat TV". 

Bertitik tolak dari itu, Bintang Radio dan Bakat TV menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada peminat seni tanah air saban tahun. Malaysian Book of Records juga pernah menamakan program ini sebagai pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik Malaysia. Pada tahun 1973, istilah "Bintang RTM" mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan serta digabungkan menjadi Bintang RTM. 

Pertandingan Peringkat Akhir yang pertama telah disiarkan pada 26 Februari 1974. Seterusnya, Bintang RTM menjadi acara tahunan sehingga tahun 1986. Melalui pertandingan ini, RTM telah melahirkan ramai nama-nama besar di dalam industri seni hiburan seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Safar Ghafar, Raisuddin Hamzah, Ramlah Ram, Jamilul Hayat, Noraniza Idris, Azian Mazwan Safuan dan Ayai Ilusi. 

Tahun 1999, Bintang RTM kembali diadakan semula dan penganjurannya kali terakhir pada tahun 2018 yang menobatkan Hariz sebagai juara. Seterusnya tahun ini, RTM kukuh mengorak langkah melunaskan tanggungjawab sosial melahirkan penyanyi pelapis berkualiti dalam bidang nyanyian dengan menganjurkan Bintang RTM 2024 bermula Januari ini secara langsung di TV2 dan RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my). Nasionalfm telah dipilih sebagai radio rasmi BRTM 2024. 

TAHUKAH ANDA? 

 Tahun 1977, Rosemaria Abdul Hamid merupakan salah satu penyanyi wanita yang terawal memenangi pertandingan ini. 

 Tahun 1979, Jamal Abdillah hanya berusia 20 tahun tetapi mampu dinobatkan juara mengalahkan enam penyanyi solo yang lain termasuklah finalis Najib Hanif. 

 Juara Bintang RTM 2007 iaitu Ray menyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer- komposer terkenal seperti M. Nasir. 

 Juara BRTM 2009, Ernie Zakri merupakan peserta termuda dan mendendangkan lagu "Kau Yang Istimewa" (nyanyian asal oleh Aishah) dan "Cahaya" (nyanyian asal Krisdayanti).

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?