WOMEN:girls RAIKAN GRADUAN ‘KEJAR KERJA’ DALAM ACARA BERSEJARAH
WOMEN:girls meraikan satu lagi kejayaan bersejarah dengan satu majlis graduasi di Kuala Lumpur setelah berakhirnya sesi terbaharu program Kejar Kerja. Program perantisan ini, yang direka khas untuk membentuk laluan kerjaya berstruktur untuk wanita muda dalam industri kreatif, merupakan usaha kerjasama antara WOMEN:girls, NIVEA dan Watsons.
Program ini bukan sahaja berkesudahan dengan memperkayakan pengalaman untuk para peserta tetapi juga mengukuhkan kerjasama yang bermakna, memberi impak yang besar kepada semua yang terlibat. Program Kejar Kerja merangkumi tiga fasa utama – pengambilan, orientasi dan perantisan telah bermula dengan program pemilihan yang ketat. 10 peserta yang dikenal pasti mempunyai kualiti bakat luar biasa telah dipilih untuk latihan selama dua bulan dalam industri kecantikan.
Program ini secara unik menggandingkan peserta dengan para mentor yang terkemuka daripada bidang persolekan, fesyen dan kecantikan yang akan memberikan bimbingan serta ilmu yang berharga sepanjang tempoh perantisan tersebut. Tertumpu kepada usaha menyiap dan melengkapkan peserta untuk masa hadapan, program ini menawarkan latihan kemahiran yang direka khusus, sejajar dengan trend dan keperluan yang berkembang pesat dalam industri kecantikan dan kreatif kontemporari.
Pengalaman perantisan yang mengujakan ini melangkaui teori dan pelajaran dalam kelas semata-mata, tetapi turut mendedahkan peserta kepada aspek praktikal industri, dari operasi sehari-harian hinggalah ke penyertaan langsung dalam pelbagai acara perniagaan dan gaya hidup. Peserta-peserta program dibimbing oleh tokoh-tokoh industri yang terkenal: Kim May Chee (pengasas COCOdry), Adlina Nadirah (pengasas Velvet Vanity Cosmetics), Nadia Halim (pengasas Blip by Nadia Halim), Nelissa Hilman (pengasas dan pengarah kreatif Nelissa Hilman), KF Bong (jurusolek selebriti), Melinda Looi (pereka fesyen), Warnabilla (jurusolek), Jastina (jurusolek dan pengasas J Beauty Shop), Sereen Eng (pakar rias kuku dan pengasas POSH Malaysia) dan Ummi Nasir (jurusolek dan pencipta kandungan), yang telah terlibat dalam menyampaikan ilmu dan kemahiran yang berharga bagi membentuk pertumbuhan profesional para perantis.
Izza Izelan, Pengarah Eksekutif WOMEN:girls, dalam menggambarkan impak ketara program Kejar Kerja telah berkata, “Berteraskan kepercayaan kami bahawa setiap wanita muda berhak merealisasikan aspirasinya dan menjamin masa depan yang sejahtera, WOMEN:girls memulakan program Kejar Kerja pada tahun 2016, dan setelah bertahun-tahun, inisiatif ini telah berkembang pesat bersama rakan strategik dan mentor kami yang berdedikasi. Kami telah menyaksikan ramai wanita muda muncul daripada program perantisan ini menjadi lebih bermotivasi, berkemahiran dan keyakinan untuk membantu diri mereka sendiri dan juga komuniti mereka. Perkembangan yang luar biasa dan daya tahan para perantis kami adalah bukti masa depan cerah yang sepatutnya layak mereka miliki. Harapan kami adalah untuk mereka membina dan mengekalkan momentum yang dicapai walaupun selepas tamatnya program ini.”
WOMEN:girls telah berjaya memberi impak positif kepada lebih 20,000 individu sejak sedekad yang lalu. Pencapaian hanya mampu dicapai dengan sokongan daripada rakan-rakan strategik seperti NIVEA dan Watsons, yang telah memainkan peranan penting dalam memperkasa dan memperkayakan kehidupan wanita muda di Malaysia.
Acara graduasi ini bukan sahaja meraikan pencapaian perantis tetapi juga melambangkan usaha kolektif dan dedikasi setiap yang terlibat dalam menjadikan program Kejar Kerja sebagai platform untuk memacu peluang dan menjana pemerkasaan.
“Kerjasama dengan NIVEA dan Watsons adalah penting dalam merealisasikan visi program Kejar Kerja. Menyamai dedikasi NIVEA terhadap pemerkasaan individu dan perubahan positif, sokongan jenama terkenal ini telah memainkan peranan penting dalam memupuk generasi baru wanita muda yang berkeyakinan dan berkemahiran dalam kecantikan dan industri kreatif. Sementara itu, penglibatan Watsons Malaysia menonjolkan komitmen mereka untuk memupuk pemimpin masa depan dalam sektor kesihatan dan kecantikan, sejajar dengan matlamat syarikat tersebut untuk menjana impak sosial yang positif dan menggalakkan pertumbuhan profesionalisme di Malaysia. Perkongsian ini telah menjadi sebahagian daripada misi bersama kami dalam memajukan lagi pembangunan sosial di negara ini,” kata Izza.
Kejar Kerja adalah salah satu platform utama daripada pelbagai program yang ditawarkan oleh WOMEN:girls yang direka khusus untuk menghubungkan masyarakat dengan peluang yang mungkin selama ini terhad atau sukar diperoleh.
Bagi mereka yang berminat untuk meneroka inisiatif lain atau bekerjasama dengan WOMEN:girls, maklumat terperinci tersedia di laman sesawang www.womengirls.org.
Untuk maklumat lanjut serta sebarang pertanyaan, hubungi WOMEN:girls melalui platform media sosial, Instagram (@womengirls), Twitter (@WOMENgirls_), Tiktok (@_womengirls) dan Facebook (@WOMENgirlsInspire).
Comments
Post a Comment