ANUGERAH ALUMNI STUDY UK 2024 MENUTUP TIRAI SAMBUTAN GEMILANG ULANG TAHUN KE-75 BRITISH COUNCIL MALAYSIA


British Council Malaysia meraikan barisan penerima Anugerah Alumni Study UK 2024 pada majlis makan malam gala yang berlangsung di W Hotel, Kuala Lumpur. Acara tersebut menghimpunkan alumni cemerlang sistem pendidikan UK dari pelbagai industri, pihak-pihak berkepentingan dari sektor awam dan korporat serta wakil-wakil universiti yang bertemu untuk menjalinkan rangkaian dan meraikan alumni UK yang memberikan impak positif kepada pembangunan negara. Majlis makan malam gala itu juga menjadi acara penutup sambutan ulang tahun ke-75 British Council Malaysia.

Anugerah tersebut, yang memasuki edisi keenam penganjuran, disambut dengan lebih bermakna pada tahun ini. Ia merupakan acara kemuncak kepada sambutan ulang tahun ke-75 British Council Malaysia, sebuah acara selama setahun bagi merayakan hala tuju masa depan hubungan dua hala UK-Malaysia dalam bidang sains, pendidikan, dan kesenian.

Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh berkata: ‘Kami memanfaatkan sambutan ulang tahun ke-75 British Council Malaysia dengan mengiktiraf dan menghargai pencapaian alumni UK Malaysia serta impak sumbangan mereka kepada komuniti, masyarakat dan negara. Kami berbangga dengan kesemua mereka yang menghayati semangat inovasi dan kepimpinan.

Kata Goh lagi: ‘Acara ini juga menyorot peranan penting yang dipikul alumni UK dari Malaysia. Mereka bertanggungjawab sebagai duta dalam memupuk hubungan berteraskan kepercayaan dan kerjasama antara UK dan Malaysia yang mendasari hubungan kedua-dua negara ini selama ini.’

Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia, Puan Yang Terutama Ailsa Terry CMG, sewaktu merasmikan Anugerah Alumni Study UK 2024 berkata: ‘Pendidikan ialah salah satu tonggak penting dalam hubungan UK-Malaysia di mana ribuan rakyat Malaysia menamatkan pengajian di institusi pendidikan UK yang bertaraf dunia pada setiap tahun. Dalam tempoh 10 tahun lalu sahaja, 80,000 rakyat Malaysia menerima pendidikan tinggi dari UK. Mereka ini berupaya untuk memanfaatkan pengetahuan, kepakaran dan rangkaian yang dimiliki untuk terus mengukuhkan asas sedia ada dan membentuk kerjasama baharu ".


“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada British Council Malaysia sempena sambutan ulang tahun institusi ini serta semua sumbangan yang diberikan dalam tempoh 75 tahun yang lalu bagi mempromosi pendidikan dan bahasa Inggeris, serta menyokong kerjasama dalam bidang kesenian dan sains. Semoga British Council terus mengorak langkah cemerlang dengan memanfaatkan rangkaian alumni sedia ada,” katanya.

Anugerah Alumni Study UK meraikan impak dan sumbangan sektor pendidikan tinggi UK serta pencapaian alumni UK di seluruh dunia. Seramai 12 orang calon di Malaysia menerima pengiktirafan di atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada kerjaya dan masyarakat dalam empat kategori berikut: Sains dan Kelestarian, Perniagaan dan Inovasi, Kebudayaan dan Kreatif, serta Tindakan Sosial.

Kategori Sains dan Kelestarian mengiktiraf pencapaian alumni UK dalam memajukan bidang sains dan kelestarian. Anugerah tersebut disampaikan kepada Prof Dr Abhi Veerakumarasivam yang kini merupakan Provos Sunway University dan mengetuai kerjasama pendidikan transnasional terbesar UK-Malaysia bersama Lancaster University. Graduan University of Cambridge ini memberikan sumbangan besar kepada ribuan pengkaji di serata Asia Tenggara menerusi tugasnya sebagai pendidik, ahli genetik, dan komunikator sains yang tersohor pada peringkat global.

Kategori Perniagaan dan Inovasi, khusus bagi meraikan alumni UK yang memberikan impak kepada usaha menggalakkan pendekatan perniagaan yang inovatif, dianugerahkan kepada graduan University of The West of England, Sr Vicky How. Jurunilai hartanah merangkap ketua pegawai eksekutif dan pengasas Propedia Group ini dikenali ramai kerana kesungguhannya dalam memartabatkan pasaran hartanah Malaysia. Sumbangannya menerusi pelbagai entiti terkemuka seperti Propedia Consultancy, Propedia Academy, Propedia Management, dan Benefits Malaysia memberikan impak kepada sektor hartanah negara.

Kategori Budaya dan Kreatif pula mengiktiraf alumni UK yang mempamerkan pendekatan inovatif dan berinspirasi dalam bidang kesenian, kebudayaan dan kreativiti. Wendy Teo Boon Ting, graduan University College London dan University of Cambridge merupakan penerima anugerah ini. Beliau ialah arkitek perintis dan pendukung budaya di Malaysia, yang memperjuangkan komuniti kraftangan tempatan dan membangunkan aplikasi reka bentuk yang inovatif. Impak yang dicetuskan beliau melangkaui sempadan dan dilakukan menerusi inisiatif penyelidikan kraf di seluruh Borneo, usaha memperkasakan komuniti di serata Sarawak, Sabah dan Kalimantan serta komitmen dalam memelihara warisan dan memperkayakan landskap budaya di seluruh Asia Tenggara.

Kategori Tindakan Sosial, yang meraikan alumni UK yang memberikan sumbangan cemerlang dalam mencetuskan perubahan sosial yang positif, dianugerahkan kepada graduan London School of Economics & Political Science dan London School of Hygiene & Tropical Medicine, Dr Murallitharan Munisamy. Sebagai pengarah urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, beliau mengetuai usaha transformasi dalam menyediakan akses yang saksama kepada penjagaan pesakit kanser untuk semua rakyat Malaysia. Beliau juga menerajui usaha untuk melaksanakan reformasi sistem kesihatan yang mampan dan bermanfaat dari segi sosial dengan tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

Sambutan ulang tahun ke-75 British Council Malaysia bermula pada tahun lalu menerusi penganjuran Simposium Alumni UK dan Pesta Kerjaya Alumni UK. Beberapa acara dan aktiviti berlangsung kemudiannya, dan tirai acara dilabuhkan dengan penganjuran majlis makan malam gala Anugerah Alumni Study UK pada malam ini.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila ikuti British Council di:
Instagram: @my.british
Twitter: @my.british
atau kunjungi laman web British Council Malaysia di www.britishcouncil.my



Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM