FUTUREMAKERS DAN MEREKA MENGUMUMKAN PENERIMA PEMBIAYAAN AWAL WOMEN IN ENTREPRENEURSHIP


Lima organisasi telah dipilih untuk menerima pembiayaan awal sebanyak AS$20,000 setiap satu pada majlis penyampaian anjuran Futuremakers by Standard Chartered dan Mereka Innovative Education (Mereka) di bawah program Women in Entreprenuership (WiE). 

Majlis itu, yang diadakan pada malam sebelum Hari Wanita Antarabangsa, telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, menekankan kepentingan untuk memperkasakan usahawan wanita. 

“Program WiE telah membuktikan keberkesanannya dalam membantu menutup jurang ketidaksamaan, serta mempamerkan kepentingan sumbangan sektor swasta dalam membantu kerajaan memperjuangkan agenda wanita. Semua wanita ini telah menunjukkan ketabahan serta keazaman yang luar biasa, dan saya berharap kisah mereka akan membuka jalan kepada rakyat Malaysia yang lain untuk mengikuti jejak langkah mereka,” kata Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. 

Selepas menerima pembiayaan itu, lima organisasi tersebut Early Minds by Ripple Community, LJD Corporation, Enable OKU Solutions (ENOKU), Edulab ream Academy dan Conscious Choice Group (Keto Mall Asia) masing-masing akan mula menjalani program bimbingan selama enam bulan dengan pakar industri dan Mereka. 

Kesemua organisasi itu akan menerima bimbingan yang meliputi aspek penting dalam pembangunan organisasi, merangkumi operasi perniagaan asas dan pengintegrasian teknologi hinggalah kepada taktik pemasaran dan perhubungan awam yang berkesan. 

“Kami amat berbangga dengan program ini yang berada di bawah naungan Futuremakers by Standard Chartered. Dengan kepercayaan bahawa semua orang mempunyai potensi untuk berkembang maju, tanpa mengira jantina dan latar belakang, Futuremakers telah memperkasakan lebih daripada 2.1 juta golongan muda di seluruh dunia, di mana 68% daripadanya adalah wanita serta gadis, dengan pendidikan, kebolehpasaran, dan kemahiran keusahawanan. Ini mengukuhkan komitmen kami untuk memupuk generasi pembuat perubahan wanita akan datang kerana kami yakin bahawa mereka memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi dan memupuk inovasi di Malaysia. Dengan inisiatif seperti WiE, kami berharap untuk memperkasakan lebih ramai wanita dengan alatan, sumber, dan bimbingan penting yang diperlukan untuk merangsang perubahan bermakna dan memacu kemajuan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien. 

Program Women in Entrepreneurship (WiE) Pada September 2023, Futuremakers dan Mereka telah melancarkan WiE di Malaysia bagi memperkasakan organisasi yang dipimpin oleh wanita tempatan. Program itu bermula dengan empat bengkel yang menumpukan kepada tema perniagaan kritikal, di mana 450 individu telah membentangkan idea masing-masing. 20 organisasi kemudiannya dipilih untuk mengikuti kem latihan pada Februari 2024. Fasa ini menyediakan bimbingan yang diperibadikan untuk mengukuhkan usaha niaga mereka, membawa kepada satu lagi kem latihan lain yang menawarkan peluang pembelajaran dan pembinaan rangkaian yang mendalam. 

“Perjalanan setiap wanita adalah unik dan program ini komited untuk melengkapkan usahawan wanita di Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk membuka potensi penuh mereka. Program WiE bukanlah penamat kepada misi kami untuk memperkasakan wanita Malaysia. Kami berbangga kerana mempunyai Futuremakers by Standard Chartered sebagai rakan kongsi, dan kami berharap untuk mencapai tahap kejayaan baharu dalam usaha kami di masa depan bersama mereka dan berkongsi matlamat untuk memberikan sokongan yang amat berharga, memupuk keyakinan serta keupayaan usahawan wanita sebagai individu yang memberi impak besar dalam masyarakat,” kata Pengarah Mereka dan Ketua Pegawai Eksekutif Biji-biji Initiative, Juliana Adam. 

Maklumat lanjut mengenai WiE boleh didapati di https://wie.mereka.my/

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!