ANAK PERJANJIAN SYAITAN 2 TERUS MENAKLUK DUNIA DAN BAKAL MENEMUI PENONTON DI PAKISTAN SEBAGAI "GUNAH"!
Selepas kejayaan yang luar biasa di Malaysia dan Brunei dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM3.5 juta, Anak Perjanjian Syaitan 2 siap sedia memasuki pasaran antarabangsa iaitu di Pakistan pada 1 November 2024 ini. Tayangan ini akan menampilkan versi terjemahan dalam bahasa Urdu dengan berjudul baharu iaitu Gunah yang membawa maksud “dosa”.
Filem ini terus mendapat perhatian apabila berjaya kekal dalam senarai Top 10 di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei selama tujuh minggu berturut-turut sejak tarikh tayangannya pada 4 Januari 2024, awal tahun ini. Dengan kisah seram serta kandungan elemen mistik yang mendalam, Anak Perjanjian Syaitan 2 memperlihatkan perjalanan seorang wanita muda bernama Azlinda iaitu lakonan daripada Eyka Farhana yang berhadapan dengan kuasa ghaib sejak kecil. Watak Azlinda disokong oleh pelakon ternama seperti Alif Satar dan Fasha Sandha, bersama barisan pelakon berpengalaman seperti Azlan Komeng, Dian P. Ramlee, Azizah Mahzan, dan Shaharuddin Thamby.
Grand Brilliance Studio mempersembahkan filem sekuel seram Anak Perjanjian Syaitan 2 ataupun Gunah yang kini kembali untuk menuntut janjinya di pawagam berperingkat antarabangsa yang mana ianya bakal ditayangkan di Pakistan pada 1 November 2024 ini! Lebih menarik lagi, filem ini akan mengegarkan seluruh Pakistan dengan tayangan sebanyak 38 pawagam terpilih. Jangan lepaskan peluang menyaksikan fenomena seram ini yang pasti mengujakan dan menggegarkan jiwa para penonton!
Diarahkan oleh Dr. Ahmad Idham, seorang pengarah tersohor yang membuat kemunculan semula dalam arena pembikinan filem selepas empat tahun berehat. Menurut Dr. Ahmad Idham, “Kejayaan filem Anak Perjanjian Syaitan 2, yang akan ditayangkan di Pakistan, adalah kejayaan bersama. Kerjasama antara Grand Brilliance Studios dan Primeworks Studios telah menjayakan filem ini sehingga menarik minat pasaran luar negara. Ini merupakan peluang dan pencapaian besar bagi kami, dan kami ingin berkongsi kegembiraan ini dengan rakan-rakan pembikin filem Malaysia yang lain. Industri perfileman tempatan kita kini telah mula mendapat tempat di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kita harus terus cekal dan memberikan yang terbaik supaya pada masa hadapan kita dapat menembusi pasaran-pasaran dunia yang lain. Harapan kami, semoga filem Anak Perjanjian Syaitan 2 atau Gunah ini akan mendapat sambutan yang baik di Pakistan nanti.’’
“Kami di Primeworks Studios sangat berbangga dengan pencapaian Anak Perjanjian Syaitan 2, yang kini berjaya membuka pintu ke pasaran antarabangsa. Kejayaan ini mencerminkan usaha gigih semua yang terlibat dan kesungguhan kami dalam menghasilkan karya yang dihargai di peringkat global. Kami berharap filem ini dapat memberikan pengalaman baru kepada penonton di Pakistan dan menyemarakkan lagi minat terhadap karya tempatan di arena antarabangsa. Ini hanya permulaan dan kami akan terus berusaha untuk mengukuhkan kehadiran filem Malaysia di persada dunia,” kata Kevin Foo selaku Ketua Pegawai Operasi 8TV, Pengedaran Filem & Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima.
Anak Perjanjian Syaitan 2 mengisahkan tentang perjalanan seorang wanita muda bernama Azlinda (Eyka Farhana) dalam perjuangannya menentang pertarungan mistik yang menghantuinya sejak kecil. Walaupun Azlinda telah didiagnosis secara medikal dengan penyakit “anxiety disorder”, dia yakin bahawa gangguan yang menghantuinya sejak kecil berkait rapat dengan sejarah hitam ibu bapanya, sehinggakan bapanya tidak sanggup lagi untuk membesarkan Azlinda dan tekad menyerahkan Azlinda ke pusat kebajikan. Mampukah Azlinda melawan perjanjian malapetaka yang telah menjadi sebahagian dari darah dagingnya, atau adakah dia akan terus hidup dalam kegelapan sepanjang hayatnya?
“Filem ini berbeza dari pengarahan genre drama dan romantik kerana dengan menggunakan unsur ritual ia mempunyai kekangan yang tersendiri bagi tidak mencetuskan polemik serta menjaga sensitiviti. Saya mengharap garapan saya kali ini dengan penulisan skrip dan kuat didukung oleh barisan pelakon hebat dapat diterima ramai sekaligus menarik penonton ke pawagam. Tambahan pula, Anak Perjanjian Syaitan 1 mendapat sambutan yang baik walaupun pada masa itu kami terjejas oleh pandemik, tetapi ia masih mendapat kutipan yang memuaskan. Dengan sambutan yang lepas, saya yakin untuk menerbitkan naskah terkini bagi kesinambungan dan sekuel terbaru ini”, ujar Dr. Ahmad Idham, Pengarah & Penerbit Filem Anak Perjanjian Syaitan 2.
Gunah diharap dapat memikat hati penonton di Pakistan dengan keunikan kisah seramnya yang mempunyai elemen kerohanian, relevan dengan konteks budaya tempatan. Tayangan ini menandakan satu langkah penting dalam usaha untuk memperkenalkan filem Malaysia ke pasaran antarabangsa dan mengangkat hasil karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Filem ini turut dimeriahkan lagi dengan lagu runut bunyi berjudul Murka atau Cinta nyanyian Puteri Khareeza kerana suaranya yang boleh membuatkan pendengar merinding serta membawa elemen rohani dalam lirik dan melodinya. Lagu tersebut telah mendapat sambutan hangat dan boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Gunah versi Urdu bagi filem Anak Perjanjian Syaitan 2 di pawagam seluruh Pakistan mulai 1 November 2024 ini! Layari laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta saluran YouTube Primeworks Studios untuk berita dan informasi terkini. Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #AnakPerjanjianSyaitan2 #MasanyaSudahTiba bagi berkongsi ulasan tentang filem ini. Gunakan tanda pagar #Gunah #AnakPerjanjianSyaitan2 untuk berkongsi pandangan dan pengalaman menonton filem ini.
Comments
Post a Comment