BUKAN SEKADAR HIBURAN, FILEM "MEREKA YANG TERTEWAS' MENGAJAK PENONTON MERENUNG MAKNA KEHIDUPAN
Diadaptasi dari novel terkenal karya Hasanuddin Md Isa, film 'Mereka Yang Tertewas' arahan Dato' Zulkeflie M. Osman menampilkan sebuah kisah yang kaya akan nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan.
"Mereka Yang Tertewas" mungkin bukan filem yang akan membuat anda terpegun dengan efek visual meletup atau alur cerita yang penuh kejutan seperti filem-filem Hollywood. Namun, jangan salah sangka, filem ini hadir dengan misi yang jauh lebih dalam.
Di era di mana filem-filem bergenre fantasi dan penuh aksi mendominasi layar lebar, "Mereka Yang Tertewas" hadir sebagai sebuah karya yang menyegarkan. Filem ini tidak hanya menghibur, tetapi juga mengajak penonton merenung makna kehidupan.
Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon ternama seperti Zaidi Omar, Fiza Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Adam Shahz, Mubarak Majid dan turut dibantu oleh Dato’ Hilal Azman.
“Mereka Yang Tertewas” mengetengahkan sebuah cerita yang lebih berlatarbelakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa dari Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah.
Tapa mengembara mencari penghidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya. Tapa berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah anak murid tok gurunya serta menyebarkan syiar Islam.
Kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut.
Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak-anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat.
Usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin. Tohmahan demi tohmahan dilemparkan kepada Lebai Pa sebagai usaha untuk menggagalkan hasratnya menyebarkan agama tetapi pegangan hidup Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. dalam menyebarkan agama menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar.
Akhirnya Lebai Pa mampu mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam dan sedar atas kesalahan yang pernah mereka lakukan ke atas Lebai Pa.
Filem ini akan mula ditayangkan ke layar perak bermula pada 7 NOVEMBER 2024, mari sama-sama kita beri sokongan dan penghargaan penuh dengan menonton filem ini di pawagam berhampiran.
Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT) dengan kerjasama Tujuh Pelangi Maju Sdn. Bhd. akan mengadakan Tayangan Amal filem ‘Mereka Yang Tertewas’(MYT), sebuah filem yang diadaptasi daripada novel karya Hasanuddin Md Isa terbitan DBP, di bawah pembiayaan Dana Kandungan Digital(DKD) FINAS.
Comments
Post a Comment