TV3 TEROKA DUNIA DIGITAL DENGAN DRAMA BERSIRI VERTIKAL PERTAMANYA, ‘BENCI JADI CINTA’


Apabila dunia Syahmie Thsaqeef yang serba ringkas bertembung dengan dunia Harissa Adlynn yang penuh warna-warni, konflik yang tidak disangka-sangka mula tercetus di tempat kerja sebagai saksi utama. Namun, di sebalik ketegangan dan perbezaan yang berlaku, adakah benih cinta mampu tumbuh dan menyatukan dua jiwa ini dalam harmoni?

Satu revolusi digital, TV3 kini membawa Benci Jadi Cinta, drama bersiri vertikal pertama mereka, terus ke skrin kecil anda! Bermula 9 Disember 2024 ini, saksikan 20 episod berdurasi 2 minit bagi setiap episod yang akan disiarkan setiap hari pada jam 12 tengah hari di TikTok Drama Sangat! Dibintangi oleh Syahmie Thsaqeef dan Harissa Adlynn sebagai pasangan utama, drama ini menjanjikan jalan cerita yang menarik, hiburan santai, dan keserasian romantis yang memikat, sesuai untuk generasi penonton masa kini.

Mengangkat genre cinta dan romantik komedi kegemaran ramai, Benci Jadi Cinta mengisahkan hubungan antara Orked (Harissa Adlynn) dan Syah (Syahmie Thsaqeef), dua rakan sekerja yang sering bertentangan pendapat. Dengan personaliti yang berbeza bagaikan langit dan bumi, pertengkaran demi pertengkaran terjadi di antara mereka. Sungguhpun begitu, apabila takdir mengatur mereka untuk bekerjasama bagi sebuah projek besar, hubungan mereka mula berubah ke arah yang tak terjangka.

Syah, yang selalu kelihatan dingin, teratur, dan berpakaian serba hitam putih, sangat lain dengan Orked yang sering kali kelam-kabut dan gemar mengenakan pakaian berwarna-warni. Pertemuan pertama mereka sudah bermula dengan ketegangan apabila Orked secara tidak sengaja membaling tumit kasutnya yang patah ke arah Syah, menyebabkan Syah berang. Namun, oleh kerana tuntutan kerja, mereka terpaksa belajar untuk berkomunikasi secara profesional meskipun tertekan apabila melihat antara satu sama lain.


Di kala penuh cabaran dan hati membara, satu malam membawa mereka untuk membuka diri, berkongsi cerita tentang impian, ketakutan, dan pengalaman cinta lalu tanpa disedari. Momen-momen manis dan kekok, seperti minum kopi bersama secara spontan atau saling membantu dalam kesulitan, mula berlaku lalu menyemai perasaan sayang yang perlahan-lahan berkembang antara mereka.

Seiring berjalannya waktu, hubungan yang dimulakan atas dasar kerja dan kebencian semakin kabur dengan perasaan cinta yang mulai tumbuh. Mampukah mereka menurunkan ego dan mengakui perasaan yang mereka pendam sebelum terlambat? Dapatkah lisan cinta terungkap dalam kisah hidup Orked dan Syah ini? Lebih mengejutkan lagi, bakal adakah kehadiran orang ketiga yang akan merumitkan hubungan mereka?

Memperkenalkan drama bersiri vertikal pertamanya, Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3 berkata, “TV3 sentiasa komited untuk mengikuti trend semasa, menggunakan TikTok sebagai platform yang memperluaskan produk TV3. Dengan keupayaan platform ini mencetuskan fenomena, ia adalah langkah strategik untuk bergerak seiring dengan permintaan masa kini sebagai penyiar utama di Malaysia. Selari dengan peralihan kepada media sosial, terutama dalam kalangan generasi muda, kami yakin ini adalah langkah yang tepat. Dengan Benci Jadi Cinta sebagai drama bersiri vertikal pertama TV3, kami berharap siri ini mampu memikat hati penonton sebaiknya.”


Selaku watak utama, Syahmie Thsaqeef turut meluahkan keterujaannya tentang siri ini, "Saya amat bersyukur kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk memegang watak hero pertama saya dalam drama bersiri vertikal sulung terbitan TV3. Memang ada tekanan dalam membawa watak Syah ini, namun saya melihatnya sebagai cabaran untuk menyerlahkan sisi terbaik saya sebagai pelakon. Saya percaya penonton bukan sahaja akan jatuh hati dengan watak Syah, tetapi juga dengan watak-watak lain yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Benci Jadi Cinta membawa semula aura romantik komedi klasik yang mempunyai sentuhan baru, warna, dan keunikan yang menjadikannya sesuatu yang segar dan menyeronokkan untuk ditonton."

Bersiap sedia untuk saksikan drama bersiri vertikal pertama eksklusif di TikTok Drama Sangat minggu hadapan! Ia dapat menyerikan hari anda dengan babak-babak yang pasti membuatkan anda tersenyum dan ketawa, memastikan penonton terus menantikan setiap detik perkembangan cerita sekali gus menawarkan pengalaman menonton yang sangat mudah diikuti serta mengujakan!


Jadi, adakah anda #TeamBenci atau #TeamCinta? Jangan lupa saksikan episod pertama Benci Jadi Cinta pada 9 Disember ini di TikTok Drama Sangat, setiap hari tepat jam 12 tengah hari hingga 28 Disember ini! Untuk mendapatkan info terkini tentang Benci Jadi Cinta dan drama lain kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.



Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3