'BISIKAN DOSA' SEDIA MENGHANTUI PAWAGAM, SASAR MENJADI FENOMENA SERAM TAHUN INI
Industri perfileman tempatan kembali digemparkan dengan kehadiran filem seram terbaru, “Bisikan Dosa”. Dihasilkan oleh Yusrych Global Sdn Bhd, filem ini bersedia menghantui penonton di seluruh pawagam Malaysia, Singapura, dan Brunei bermula 9 Januari 2025.
Dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, dan Sherry Merlis, “Bisikan Dosa” diyakini mampu menyaingi kejayaan filem seram Islamik Thailand, “Khong Khaek”.
Menurut Yusry Makmor, penerbit dan pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, “Bisikan Dosa” menawarkan plot yang unik dan menarik, dengan sentuhan seram yang mendebarkan. “Filem ini merupakan sebuah naskhah yang sesuai untuk diangkat menjadi sebuah filem seram yang mana ia bakal menjadi satu fenomena buat penonton yang masih dahagakan filem tempatan bergenre seram,” ujarnya.
Mengisahkan tentang Sarimah yang berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baru selepas tragedi yang menimpa dirinya, “Bisikan Dosa” menyajikan kisah misteri dan seram yang penuh dengan kejutan. Kehadiran roh halus yang menghantui Sarimah semakin menambah ketegangan dalam jalan cerita.
Faizul A. Rashid, selaku pengarah, mengungkapkan bahawa “Bisikan Dosa” bukan sekadar sebuah filem seram biasa. “Filem ini mempunyai keunikan tersendiri buat peminat filem-filem hantu atau seram. Penceritaan yang menarik membuatkan penonton perlu menontonnya sehingga habis untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku,” katanya.
“Bisikan Dosa” turut mendapat sokongan padu daripada FINAS dan rakan strategik pemasaran seperti Primeworks Studios, Media Prima Bhd, Empire Film Solution, serta D’ Ayu Pictures sebagai pengedar antarabangsa. Kolaborasi ini diharap dapat meluaskan jangkauan pasaran dan meningkatkan minat penonton terhadap filem tempatan.
Dengan plot yang kuat, lakonan yang memukau, serta sokongan industri yang kukuh, “Bisikan Dosa” bersedia menjadi fenomena baru dalam industri perfileman seram tanah air. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sensasi seram yang berbeza di pawagam pilihan anda bermula 9 Januari ini.
Comments
Post a Comment