STACY UMUMKAN KONSERT “AKU STACY” DI SABAH JUN INI
Satu fenomena luar biasa bakal menlanda Negeri di Bawah Bayu apabila Stacy, bintang pop sensasi tanah air, mengumumkan konsert solo mega pertamanya, “AKU STACY”, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Jun 2025, anjuran Rhythm & Rhyme Entertainment, dan ditaja khas oleh U Mobile. Dikenali dengan persembahan bertenaga, vokal mantap dan gerak tari yang memukau, Stacy berjanji untuk memberikan sebuah pengalaman konsert yang epik dan penuh kejutan!
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan, AKU STACY adalah sebuah penghormatan khas buat peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya sejak awal kariernya lagi. Dengan gabungan lagu-lagu hit, produksi bertaraf antarabangsa, serta elemen kejutan yang bakal dipersembahkan, Stacy bersedia untuk mencipta sejarah di negeri kelahirannya sendiri.
Profil Ringkas Stacy
Ummu Shaikhah Stacy Binti Anam, atau lebih dikenali sebagai Stacy, merupakan penyanyi kelahiran Penampang, Sabah, lahir pada 18 Ogos 1990. Beliau mula dikenali selepas menjuarai musim ke-6 program realiti Akademi Fantasia pada tahun 2008. Dikenali sebagai "Ratu Tari Malaysia", Stacy terkenal dengan lagu-lagu pop yang rancak serta persembahan bertenaga di atas pentas.
Pencapaian Dalam Industri Muzik Malaysia
Sepanjang kerjayanya, Stacy telah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam industri muzik tempatan. Antara pencapaian beliau termasuk:
● Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH): Memenangi Artis Baru Wanita Popular (2009), Artis Wanita Paling Popular Online (2012), Penyanyi Wanita Popular & Artis Duo/Berkumpulan Popular (2014).
● Shout! Awards: Memenangi Anugerah Popstar (2009) & Anugerah Video Muzik bersama KRU (2013).
● Anugerah Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP): Memenangi Kategori Persembahan Tertinggi (2012).
● Anugerah Industri Muzik (AIM): Memenangi Kulit Album Terbaik untuk album “#1” (2015) & Muzik Video Terbaik untuk lagu "Not For Sale" (2016).
● Anugerah Juara Lagu (AJL): Memenangi Naib Juara untuk lagu “Cinta” sebagai komposer (2022) & Tempat ke-3 untuk lagu “Saksama” sebagai penulis lirik (2025).
● Pengiktirafan Negeri Sabah: Dikurniakan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2024 sebagai penghargaan di atas sumbangannya dalam bidang seni.
Konsert "AKU STACY" – Konsep & Keistimewaan Persembahan
Mengulas tentang konsert ini, Stacy menyatakan keterujaannya: “Dulu saya pernah membuat beberapa konsert solo anjuran pihak penganjur, termasuk konsert ‘DFP Presents Stacy’ dua tahun lalu, serta ‘album tour’ di Sabah untuk album pertama saya, ‘Aku Stacy’. Namun, apa yang membezakan AKU STACY di tahun 2025 ini ialah penglibatan saya secara lebih mendalam dalam pemilihan tenaga kreatif yang terlibat serta dalam merealisasikan konsep keseluruhan konsert ini bersama pasukan saya sendiri. Saya memang merancang untuk mengadakan konsert ini di Sabah terlebih dahulu sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang telah menyokong muzik saya sejak tahun 2008.”
Konsert ini bakal menampilkan konsep unik yang menggambarkan perjalanan muzik Stacy sejak awal kariernya. “Konsert AKU STACY menjanjikan muzik dan visual yang menggambarkan pelbagai genre lagu saya, diperkemaskan dengan visual fesyen yang unik, sesuai dengan identiti muzik saya yang sering berkisar dalam genre ‘dance’ dan rock & roll. Persembahan kali ini akan diolah secara khas dari segi muzik, tarian dan fesyen, menjadikannya satu pengalaman yang benar-benar istimewa buat peminat.”
Sebagai seorang artis yang sinonim dengan persembahan penuh aksi, Stacy turut menjanjikan elemen kejutan buat para peminat.
“Konsert ini merupakan durasi persembahan terpanjang saya, dan saya tidak sabar untuk membawa kejutan-kejutan khas buat penonton di Sabah. Dalam 17 tahun berada dalam industri ini, banyak pengorbanan yang telah saya lakukan untuk bertahan dan terus berkembang sebagai seorang penghibur. Saya ingin mengekspresikan segala emosi, seni, dan kreativiti saya melalui konsert ini,” tambah Stacy lagi.
Bagi Stacy, setiap lagu yang bakal dipersembahkan mempunyai nilai sentimental tersendiri. “Saya percaya setiap lagu membawa makna tersendiri dalam kehidupan kita, sama ada melalui lirik atau memori yang berkait dengannya. Saya ingin menyajikan persembahan yang lebih besar dari segi skala muzik dan tarian, termasuk elemen ‘pop culture’ seperti yang pernah saya bawakan dalam program ‘The Hardest Singing Show’ melalui lagu ‘Asmaradana’. Ini adalah momen istimewa buat saya, kerana saya dapat membawa persembahan sebegini ke tanah kelahiran saya sendiri.”
Harapan Stacy Buat Peminat
Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebagai penghargaan buat peminat yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya. Stacy berharap peminat akan memberikan sokongan penuh terhadap konsert ini. “Saya harap mereka semua dapat memberikan sokongan dan kepercayaan yang tulus terhadap konsert AKU STACY. Ini adalah konsert solo berskala besar pertama saya di tanah air sendiri, dan saya mahu menjadikannya satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Ini juga adalah peluang saya untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat yang telah menyokong saya tanpa henti sejak dulu lagi.”
Maklumat Lanjut
Butiran lanjut mengenai konsert “AKU STACY” akan diumumkan dalam masa terdekat. Peminat disarankan untuk mengikuti akaun media sosial rasmi Stacy untuk mendapatkan maklumat terkini, dan ikuti juga saluran U Mobile untuk konten-konten di belakang tabir serta pengalaman konsert yang eksklusif.
Comments
Post a Comment