TINJAUAN AGODA MENUNJUKKAN PELANCONG MALAYSIA LEBIH MENGUTAMAKAN KELESTARIAN DI TAHUN 2025


Menurut Tinjauan Pelancongan Lestari 2025 yang dijalankan oleh platform pelancongan digital Agoda, Malaysia muncul sebagai pasaran pelancongan yang keempat paling prihatin terhadap kelestarian di Asia, dengan hampir empat daripada lima pelancong Malaysia (80%) mengambil kira faktor kelestarian dalam rancangan perjalanan mereka untuk tahun 2025, melebihi purata keseluruhan pelancong Asia (68%).

Tinjauan ini, yang melibatkan lebih daripada 6,000 responden di 11 buah pasaran Asia, mengetengahkan landskap pelancongan lestari yang semakin berkembang di rantau ini, di mana pengalaman autentik, perjalanan bermatlamat, dan pelancongan luar musim semakin mendapat perhatian.

Impak Terhadap Komuniti Mendorong Pilihan yang Lebih Lestari

Pelancong Malaysia semakin mengutamakan kelestarian dengan memberi fokus kepada kesan positif terhadap komuniti serta pengalaman perjalanan yang bermakna. Apabila ditanya mengenai sebab utama mereka memilih pelancongan lestari, lebih satu perempat responden (28%) menyatakan bahawa menyokong komuniti dan ekonomi tempatan adalah faktor pendorong utama. Sementara itu, hampir satu daripada empat pelancong (24%) merujuk kepada nilai dan kepercayaan peribadi, manakala peratusan yang sama (24%) mementingkan keinginan untuk pelancongan yang autentik dan bermatlamat. Ini mencerminkan trend yang semakin berkembang ke arah perjalanan yang bukan sahaja bermakna tetapi juga memperkayakan pengalaman pelancong dan membawa manfaat kepada destinasi yang dikunjungi.


Pelancongan Bertanggungjawab Semakin Mendapat Sambutan di Kalangan Warga Malaysia

Tinjauan ini juga mendapati bahawa ramai pelancong Malaysia kini membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Hampir satu perempat (24%) memilih untuk melancong pada musim luar puncak dengan tujuan mengurangkan kesesakan. Selain itu, 19% memilih penginapan yang mempunyai pensijilan kelestarian, manakala 18% secara aktif menyokong perniagaan berskala kecil dan sederhana serta usaha pemeliharaan budaya tempatan.

Fabian Teja, Pengarah Negara bagi Malaysia dan Brunei di Agoda, berkongsi, "Sungguh menggalakkan melihat semakin ramai pelancong Malaysia ingin memberikan impak positif, dan Agoda sentiasa bersedia untuk menyokong matlamat perjalanan mereka. Dengan kelestarian menjadi fokus utama kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, ia amat memberangsangkan untuk melihat lebih ramai pelancong membuat pilihan yang bertanggungjawab. Menerusi Program Eco Deals kami, para pelancong boleh menikmati diskaun hebat di tempat-tempat penginapan yang menyertai program ini sementara Agoda menyumbangkan satu dolar AS untuk membantu usaha pemuliharaan tempatan bagi setiap tempahan yang dibuat melalui program ini. Kami teruja untuk membantu pelancong Malaysia meneroka dunia dengan kos yang lebih rendah, sambil memberi peluang kepada mereka untuk memulihara destinasi yang mereka lawati.

Sejak pelancaran edisi 2025 baru-baru ini, program Eco Deals Agoda telah menawarkan diskaun sehingga 15% di hotel yang mengambil bahagian di 10 buah pasaran Asia. Tahun ini menandakan penyertaan pertama Jepun dan Korea Selatan dalam Kempen Eco Deals yang memberikan lebih banyak peluang kepada pelancong yang menuju ke destinasi Asia untuk menyokong destinasi kegemaran mereka. Untuk setiap tempahan Eco Deals, satu dolar akan didermakan kepada projek pemuliharaan WWF yang bertujuan untuk melindungi hidupan liar dan memelihara habitat kritikal di seluruh Asia. Maklumat lanjut boleh didapati di www.agoda.com/ecodeals.

Agoda menawarkan lebih daripada 5 juta penginapan percutian, lebih daripada 130,000 laluan penerbangan, dan lebih daripada 300,000 aktiviti, yang semuanya boleh digabungkan dalam satu tempahan. Muat turun aplikasi mudah alih Agoda atau layari Agoda.com untuk mendapatkan tawaran terbaik bagi perjalanan anda yang seterusnya.

Feature Image by jcomp on Freepik

Comments

Popular posts from this blog

BIASISWA SISWI SAFI MENYOKONG WANITA MALAYSIA MEMACU MASA DEPAN

4 TIPS BERGUNA UNTUK MELANCONG OLEH UNIVERSAL TRAVELLER

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!