DATO’ SRI SITI NURHALIZA SERLAHKAN EMOSI PILU DALAM 'SESAL' LAGU TEMA FILEM ‘TELAGA SURIRAM’


Industri perfileman tempatan sekali lagi dikejutkan dengan kolaborasi mantap antara pengarah terkenal, Osman Ali, dan penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Kali ini, Dato’ Sri Siti diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema bagi filem terbaru Osman Ali yang berjudul ‘Telaga Suriram’.

Lagu yang diberi judul ‘Sesal’ ini dijangka bakal mengusik jiwa para penonton filem tersebut. Dengan sentuhan magis Nurzaidi Abd Rahman sebagai komposer dan penulis lirik, yang sebelum ini berjaya menghasilkan lagu tema ikonik untuk filem ‘Ombak Rindu’, ‘Sesal’ hadir dengan melodi yang syahdu dan lirik yang sarat dengan emosi.

‘Sesal’ diinspirasikan sepenuhnya oleh jalan cerita dramatik dan menyayat hati dalam filem ‘Telaga Suriram’. Nurzaidi Abd Rahman berjaya menyelami penderitaan seorang ibu yang terperangkap dalam kegelisahan mencari anak perempuannya yang hilang, dan menterjemahkannya ke dalam bait-bait lagu yang menusuk kalbu.

Menurut Osman Ali, beliau terpukau sebaik sahaja mendengar lagu ‘Sesal’ dan yakin sepenuhnya bahawa lagu ini adalah ‘nyawa’ bagi filem ‘Telaga Suriram’. Pihak penerbit filem, Odissi Creative Sdn Bhd yakin bahawa tiada penyanyi lain yang lebih layak untuk menyampaikan emosi yang mendalam ini selain daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza.


Susunan muzik yang digarap dengan teliti oleh Eddie Slam, bersama alunan seruling yang menyentuh oleh Mohar, menambahkan lagi dimensi emosi dalam lagu ini. ‘Sesal’ bukan sekadar lagu tema, tetapi ia adalah cerminan kuat mainan emosi yang bakal disajikan dalam filem ‘Telaga Suriram’. 

Proses rakaman video muzik (MTV) untuk lagu ‘Sesal’ telah dijalankan dengan jayanya di Studio Kayangan, di bawah arahan Shuhaimi Zulkefli. Pihak produksi turut menghargai peranan penting penerbit bersekutu, En. Wan Farid Wan Abdullah dan Julian Tan, yang telah menjadi tulang belakang dalam merealisasikan kehadiran Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi lagu tema untuk filem ‘Telaga Suriram’ ini.

Bagi anda yang tidak sabar untuk merasai sendiri keindahan dan kekuatan emosi lagu ‘Sesal’, ia kini sudah boleh didengari di semua platform penstriman muzik (DSP) kegemaran anda. Jangan ketinggalan juga untuk menonton video muziknya di saluran YouTube Universal Malaysia.

Dengan pelancaran lagu tema yang begitu menyentuh hati ini, ‘Telaga Suriram’ dijangka akan menjadi salah satu filem yang wajib ditonton tahun ini. Nantikan tayangannya di pawagam berdekatan!

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

ASTRO DAN SUN NXT BEKERJASAMA BAWAKAN HIBURAN INDIA TERBAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA

BERMULANYA ‘ASTRO SHAW CINEMATIC UNIVERSE’ : KELUANG MAN MENGAKTIFKAN PENGALAMAN PERTAMA SUPERHERO MALAYSIA MELANGKAUI LAYAR