KENANGAN MANIS DI URLA: PERCUTIAN SEMPURNA BERSAMA IBU TERSAYANG
Sekiranya anda ingin mencipta kenangan manis bersama ibu tersayang, anda boleh memilih percutian ke Urla, sebuah bandar pantai di İzmir, Türkiye. Dikelilingi dusun pohon zaitun, kebun buah-buahan dan ladang anggur yang serba indah, ia ternyata menjanjikan percutian bermakna yang akan menjadikan perjalanan ini begitu istimewa buat anda dan ibu. Lokasi yang tenang ini menawarkan momen unik yang menggembirakan dalam keempat-empat musim. Sama ada anda bersiar-siar di jalanan berbatu bundar, mengagumi rumah batu bertingkap bay, menginap di hotel butik yang elegan, meneroka ladang anggur yang indah dan merasai tanaman istimewanya, articok mastic, segalanya bersama ibu tersayang. Kemaskan beg dan bersedia untuk mengembara di bandar yang serba mempesona ini dengan jalinan alam semula jadi, sejarah, budaya dan gastronomi!
![]() |
Jalanan Berbatu Bundar, Urla |
Menghayati Keindahan Pantai
Urla yang terletak kurang daripada satu jam pemanduan dari pusat bandar, merupakan sebuah bandar kecil dan menawan di İzmir yang terkenal dengan gaya hidup berkualiti tinggi dan semangat Aegean. Lokasi yang indah di Semenanjung Çeşme ini bakal mengalu-alukan kehadiran anda dengan tarikan tersendiri, tiupan bayu disulami keharuman pohon zaitun serta suasana mesra masyarakat setempat. Urla mempunyai banyak hotel butik cantik menghadap hamparan lautan luas yang menawarkan penginapan sempurna seiring dengan suasana bandar ini. Keluar sahaja dari hotel butik ini, anda secara semula jadi melangkah ke tempat seperti Pasar Malgaca di mana terdapat banyak produk tempatan dan organik, atau ke Urla Art Street yang dipenuhi dengan rumah bersejarah yang dipulihara dengan cantik, kini dijadikan kafe selesa dan kedai kecil menarik. Urla juga memiliki banyak pantai berpasir lembut sepanjang 40 kilometer persisiran pantainya. Jika anda bangun awal, bersiar-siarlah dengan ibu di pantai terkenal seperti Pantai Kum Denizi yang berstatus Bendera Biru untuk menatap keindahan matahari terbit. Memandangkan Urla mempunyai iklim Aegean yang cerah dan hangat, anda juga boleh menyelam di lautan jernihnya untuk renangan yang menyegarkan di tengah hari atau berehat di pantai sambil menghayati pemandangan yang begitu epik.
![]() |
Pantai Kum Denizi |
Jamu Selera di Urla
Lantaran iklim yang nyaman dan sokongan daripada tanahnya yang subur di rantau ini, Urla juga merupakan bandar yang menyaksikan keajaiban kulinari. Cita rasa unik bandar ini merupakan teras kepada sajian masakan Aegean dengan minyak zaitun, herba, makanan laut segar dan wain enak. Tarikan gourmet tersebut, daripada restoran mewah sehinggalah kilang wain, bakal menjadikan hari istimewa ibu anda lebih menarik di sini. Memandangkan iklim mikro Urla sesuai untuk penanaman anggur, ia sudah menjadi pusat penghasilan wain sejak zaman dahulu. Anda boleh memilih Urla Vineyard Route untuk bersiar-siar di sekitar ladang anggur, melawat kilang wain dan merasa pelbagai jenis wain, terutama yang diperbuat daripada anggur asli seperti Bornova Misketi, Sultaniye dan Boğazkere. Malah jenis anggur yang pernah dilupakan termasuk Urla Karası, Foça Karası dan Gaydura, telah dihasilkan semula di sini, sekali gus menambah catatan sejarah dan keaslian untuk setiap hidangan. Pembuat wain terus mencari, berkongsi dan menghidupkan semula jenis wain lama, justeru memberi nafas baharu kepada dunia wain di Urla. Berkesempatan mendengar secara langsung kisah mereka tentang penemuan anggur ternyata pengalaman yang benar-benar tidak dapat dilupakan.
![]() |
Ladang Anggur di Urla, İzmir |
Melangkah di sepanjang laluan ladang anggur itu, anda juga akan menemui restoran mewah yang menghidangkan sajian daripada limpahan hasil bumi ini dengan pendekatan dari ladang ke meja makan. Cef muda yang menjadi tunjang di dapur memberi tafsiran hidangan istimewa Urla dengan sentuhan moden dan mengubah bahan tempatan untuk dijadikan resipi yang tidak dapat dilupakan. Lantaran kehebatan kulinari ini, restoran di bandar berkenaan turut dianugerahkan Bintang Michelin yang sememangnya layak dimiliki. Urla juga mempunyai restoran yang menerima Bintang Hijau Michelin dan anugerah Sommelier. Di restoran sebegini, anda dan ibu boleh menikmati pelbagai pilihan sayur-sayuran bermusim yang terkenal di rantau ini seperti thistle, herba arapsaçı dan paling terkenal, articok mastic, diiringi dengan segelas wain berkualiti tinggi.
![]() |
Restaurant di Urla, İzmir |
Melangkah ke Masa Silam bersama Ibu
Urla juga boleh dijadikan laluan untuk mendekati sejarah tersohor tanah Anatolia. Anda boleh mengunjungi banyak tapak purba bersama ibu anda untuk menambah pengalaman bermakna. Sejarah Urla bermula pada tapak Zaman Gangsa Liman Tepe, di mana penggalian bawah air pertama dijalankan di Türkiye. Klazomenia yang terletak di bahagian utara bandar ini, merupakan salah satu pelabuhan penting zaman dahulu. Kota purba ini menceritakan kisah mendalam tentang buah zaitan di tanah ini yang disertai dengan bengkel pembuatan minyak zaitun yang pertama di dunia.
Tapak UNESCO Ephesus yang terletak berhampiran pula menjanjikan perjalanan berlatarkan masa silam dengan peninggalan mengagumkan seperti Perpustakaan Celsus. Selain itu, Ephesus dibuka untuk lawatan pada waktu malam di bawah gemerlapan sinaran bintang pada musim panas sekali gus menawarkan pengalaman unik sebagai sebahagian daripada projek Muzium Malam.
![]() |
Perpustakaan Celsus |
Comments
Post a Comment