LAKONAN HEBAT, FAUZIAH NAWI DAN FAUZIAH AHMAD DAUD, DALAM TELEFILEM ISTIMEWA HARI IBU DI RTM


Sambutan Hari Ibu diraikan penuh bermakna di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan mengajak penonton setia salurannya menyaksikan dua telefilem menarik sarat pengajaran berguna terutama untuk insan bergelar anak.

Lebih menarik lagi kerana penonton dapat menyaksikan kemunculan dua figura hebat dalam bidang lakonan, Datuk Hajah Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud dalam dua drama yang berbeza ‘menghidupkan’ watak sebagai seorang ibu yang berdepan cabaran dalam kehidupan keluarga masing-masing.


Pada 10 Mei ini disiarkan telefilem “Sagon Tumbok”, pukul 9.00 malam, di TV1 yang menyaksikan Datuk Hajah Fauziah Nawi melakonkan watak utama sebagai Nek Pa, ibu tunggal yang tabah, dibelenggu fitnah dan dendam. Lebih malang lagi dia disisihkan oleh anaknya, Murni.

Akibat tekanan, Murni telah bertindak di luar kewarasan dengan mengurung Nek Pa tanpa rasa simpati dan kasihan. Segala kebenaran akhirnya terungkap namun masihkah ada sisa usia Nek Pa untuk diberikan keadilan atas kesalahan yang tak pernah dilakukan? Telefilem ini turut menampilkan lakonan Nad Zainal, Rosnah Johari, dan Puteri Awani.


Diikuti esoknya, 11 Mei 2025, 9.30 malam di saluran Okey, telefilem bertajuk “Cinta Yang Menakluki” yang menyaksikan pula plot kisah lakonan berkesan oleh pelakon berpengalaman Fauziah Ahmad Daud, di samping Rahim Jailani, Nadia Brian, Jay Iswazir, Qisha Hairulzain dan Hawra Jamalullail.

Plot kisahnya mengangkat cerita Mak Jah dan Pak Hamid yang tinggal di desa kecil Kuala Pilah. Mereka berdua sangat disenangi, dan popular kerana air tangan Mak Jah yang sentiasa menjadi kegemaran penduduk kampung. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Nur Amira, jururawat terlatih di sebuah hospital swasta. Amira juga telah berkahwin dengan Halim, yang juga seorang arkitek.

Amira dan Halim memiliki dua orang anak, iaitu Nurul Nuha dan Nurul Hidayah. Mak Jah dan Pak Hamid menawarkan diri untuk menjaga kedua-dua cucunya dengan alasan takut mereka terabai kerana kesibukan Amira dan Halim bekerja. Walaupun berat hati, Amira dan Halim bersetuju memberikan anak-anak mereka kepada Mak Jah dan Pak Hamid untuk dijaga.

Masa berlalu, kasih sayang semakin erat dan utuh, kenangan yang dicipta semakin banyak bersama diantara atok, nenek dan cucu-cucu itu. Suatu hari, Amira dan Halim pulang ke kampung, memberi berita gembira tentang Amira dapat melanjutkan pelajarannya di United Kingdom. Berita ini mendapat tentangan daripada Mak Jah, kerana dia tahu bahawa cucu-cucunya, Nuha dan Hidayah juga akan dibawa ke sana.

Nuha dan Hidayah tidak mahu berpisah dengan nenek mereka. Maka bermulalah drama ai mata dimana Mak Jah terpaksa membuat cucu-cucu membencinya dan mengikut ayah dan ibu mereka ke luar negara. Lalu apakah kesudahannya? Dua drama menarik ini boleh diikuti menerusi RTMKlik.

Comments

Popular posts from this blog

‘BUKAN IPAR SEMPURNA’ SELAMI SISI GELAP PERKAHWINAN YANG TERCEMAR OLEH RAHSIA, DENDAM & PENGKHIANATAN

SIRI MEGADRAMA TERBAHARU ASTRO ‘DIA BUKAN SYURGA’ PAPAR PERJUANGAN WANITA

KRU & ICON ENTERTAINMENT LAKAR SEJARAH TERIMA 2 PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBR)

KEMPEN "SKIN PROTECTION, LIFE PERFECTION" KAO MALAYSIA MEMPROMOSIKAN AMALAN KESIHATAN KULIT SEPANJANG HAYAT, BERMULA DARI ZAMAN REMAJA