KONSERT MELETOP TVS BERLANGSUNG MERIAH! MIRI JADI TUMPUAN PENGGEMAR MUZIK SERANTAU DARI BRUNEI & KALIMANTAN HASIL USAHASAMA ASTRO & TVS
Bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend”, bandaraya Miri menyaksikan malam penuh gilang-gemilang apabila Konsert MeleTOP TVS menggegarkan Stadium Tertutup Miri dengan kehadiran ribuan peminat serta barisan bintang terkemuka tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla, dan ramai lagi. Lebih istimewa, ini merupakan kali pertama konsert mega MeleTOP dibawakan ke luar Lembah Klang, dan Miri menjadi pilihan sulung!
Dibawakan oleh gabungan dua gergasi hiburan negara, Astro dan TVS, konsert selama dua jam ini berlangsung penuh kemeriahan dan disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka. Turut memeriahkan suasana adalah kehadiran Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.
Malam dibuka dengan gabungan budaya dan muzik oleh Sada Borneo dan Dion Das, diikuti persembahan memukau daripada dua diva bertenaga, Mimifly dan Stacy, menerusi lagu-lagu seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”.
Wani Kayrie, bintang muda berbakat mencuri perhatian dengan persembahan bertenaga bersama Noki menerusi “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, menyemarakkan semangat anak Borneo di pentas sendiri.
Kemuncak malam menyaksikan penyanyi kesayangan Sarawak, Dayang Nurfaizah, dianugerahkan “Anugerah Khas Borneo MeleTOP”, disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Penghargaan ini merupakan simbol tertinggi pengiktirafan kepada anak jati Sarawak yang berjaya mengharumkan nama negeri dan Borneo di persada muzik nasional.
Dayang meneruskan malam istimewanya dengan persembahan solo penuh emosi menerusi “Seandainya Masih Ada Cinta”, serta duet menggetarkan jiwa bersama Hael Husaini menerusi “Haram” – satu kolaborasi yang benar-benar mencuri tumpuan!
Turut membuat penampilan istimewa ialah Hairee Francis, Marsha Milan, dan Nadeera – penyanyi bersuara emas yang kini menjadi sebutan ramai setelah kejayaan cemerlangnya di pentas AJL39.
Malam kemuncak ditutup dengan penuh gaya oleh Dolla, membawa penonton bangkit menari dengan persembahan penuh glam dan bertenaga.
Celoteh hos-hos popular Meletop seperti Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad yang digandingkan bersama hos TVS seperti Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi, memastikan setiap detik konsert kekal meriah dari mula hingga akhir.
Sorotan Seterusnya: Konsert Berkat Gawai-Kaamatan – 21 Mei 2025
Sambutan tidak berhenti di sini! Bagi meneruskan momentum luar biasa ini, TVS membawakan satu lagi konsert mega yang wajib ditunggu – Konsert Berkat Gawai-Kaamatan!
Bersempena sambutan dua perayaan utama komuniti di Borneo, konsert ini akan berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7.30 malam di Stadium Tertutup Miri. Membariskan ratu rock tanah air, Ella sebagai artis utama, konsert ini turut menghimpunkan nama-nama hebat seperti Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX, serta penampilan istimewa dari Kalimantan, Marina Jara!
Tiket percuma untuk konsert ini mendapat sambutan hangat dan tempahan awal telah habis dalam masa singkat!
Namun, peminat masih berpeluang mendapatkan tiket di laman web TVS (tvsarawak.my) atau terus di pintu masuk konsert, selagi stok masih ada. Orang ramai, khususnya warga Miri dan kawasan sekitar, dijemput hadir beramai-ramai untuk bersama-sama memeriahkan malam penuh warna-warni budaya dan muzik ini!
Miri - Destinasi Strategik Untuk Perayaan & Hiburan
Menurut En. Mohamad Sardon Zainal, “Miri adalah pintu masuk ke utara Sarawak dan sangat dekat dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya adalah masa terbaik untuk meraikan rakyat dan budaya kita dalam skala besar.”
Konsert Percuma, Pengalaman Bertaraf Antarabangsa
Gabungan artis ternama tanah air dan bakat tempatan Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa konsert sebegini bukan sahaja menghibur, malah membina jambatan budaya serta membuka peluang keemasan kepada ramai. Akses percuma yang diberikan membuka ruang kepada lebih ramai pengunjung, termasuk pelancong dari Brunei dan Kalimantan untuk menikmati hiburan berkelas dunia di bumi Borneo.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: tvsarawak.my
Comments
Post a Comment