HONG KONG DIIKTIRAF SEBAGAI SALAH SATU DESTINASI MESRA MUSLIM TERBAIK DI DUNIA
Hong Kong terus menunjukkan prestasi cemerlang sebagai destinasi mesra Muslim yang selamat dan mampu milik, menarik lebih ramai pelancong dari Asia Tenggara dan seluruh dunia. Dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2025 oleh CrescentRating (CR) dan MasterCard, Hong Kong berjaya menduduki tempat ketiga dalam kalangan destinasi bukan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) bagi pelancongan mesra Muslim, serta menerima anugerah Destinasi Mesra Muslim Paling Berpotensi Tahun Ini.
Hong Kong juga memperkukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pelancong Muslimah, dengan meraih tempat kedua dalam kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslimah (Bukan OIC). Selain itu, bandar ini mencatat kejayaan besar sebagai destinasi nombor satu dalam sub-indeks baharu, Destinasi Pelancongan Boleh Akses dan Mesra Muslim (Bukan OIC), yang menekankan kesediaan bandar tersebut dalam menyediakan pengalaman pelancongan inklusif bagi pengunjung Muslim.
Majlis penganugerahan GMTI 2025 turut menyaksikan penyampaian anugerah Most Promising Muslim-friendly Destination of the Year, diterima oleh wakil Hong Kong. Dari kiri ke kanan: Umair Hameed, Naib Presiden Produk dan Penyelesaian, Asia Tenggara, Mastercard; Liew Chian Jia, Pengarah Serantau Asia Tenggara, Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB); dan Fazal Bahardeen, Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating & HalalTrip.
Selain itu, beberapa organisasi dan premis perniagaan di Hong Kong turut menerima pengiktirafan atas usaha mereka dalam mempertingkatkan pengalaman pelancongan Muslim. Antara penerima anugerah utama adalah:
- Hotel Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini: Kowloon Shangri-La, Hong Kong
- Hotel Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini: The Mira Hong Kong
- Tarikan Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini: Ngong Ping 360 Limited
- Pusat Konvensyen & Pameran Mesra Muslim Terbaik Tahun Ini: Hong Kong Convention and Exhibition Centre
Permintaan terhadap pelancongan mesra Muslim di Hong Kong turut menunjukkan trend positif, dengan ketibaan pelancong Malaysia meningkat sebanyak 9.8% tahun ke tahun pada suku pertama 2025. Peningkatan penginapan semalaman sebanyak 4.6% turut menjadi bukti bahawa Hong Kong semakin mendapat perhatian sebagai destinasi mesra Muslim yang menawarkan pengalaman unik dan menyeluruh.
Pengiktirafan ini mengukuhkan kedudukan Hong Kong sebagai destinasi yang bukan sahaja mesra Muslim, tetapi juga menawarkan keselamatan dan kemudahan yang menarik untuk pelancong global.
Comments
Post a Comment