RASAI ‘TAMPARAN’ ELITE LIVE 25 DI PLENARY HALL, KUALA LUMPUR 20 SEPT INI


Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyuman mu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G milik Elite selama 10 tahun kebelakangan mungkin hanya didengar menerusi corong radio atau dimainkan penstriman digital serta tayangan YouTube.

Hanya generasi tahun 90-an yang beruntung pernah menonton banyak persembahan Elite secara langsung.

Namun nampaknya zaman kegemilangan menikmati persembahan Elite yang dianggotai Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza secara langsung buat pertama kalinya dalam sebuah konsert berskala besar akan menjadi realiti.

Tentu sahaja kembalinya Elite menerusi persembahan secara langsung disokong oleh penganjur yang berkaliber iaitu Icon Entertainment. Tambahan pula tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 keberadaan Elite dalam industri seni hiburan tanah air.

Manakan tidak, sebahagian gegak gempita di Axiata Arena sewaktu Konsert genKRU berlangsung selama empat malam, Elite adalah sebahagian darinya.

Mereka bukan sahaja mendapat tepukan yang cukup gemuruh atas kemunculan tetapi juga dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan akan keberadaan mereka usai dari persembahan yang menarik hati ramai sewaktu genKRU.

Dan Icon Entertainment meneruskan kecemerlangan serta mengukuhkan kredibiliti sebagai penganjur yang mencetak sejarah demi sejarah apabila berjaya membawa Elite kembali ke panggung besar selepas dua dekad pembabitan mereka.

Dinamakan sebagai ELITE LIVE ‘25, peminat buat julung kali akan menikmati karya-karya popular Elite di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 September 2025.

Di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 September 2025 bakal tercipta sejarah baharu buat Elite bersama peminat.


Bercakap mengenai penganjuran ELITE LIVE ‘25, Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang menyifatkan semua perancangan yang disusun sehingga bakal terlaksananya konsert pada 20 September 2025 ini akan menjadi satu momen penting bukan sahaja buat Elite tetapi industri muzik tempatan.

“Penganjuran ELITE LIVE ’25 di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 September ini adalah sebuah projek yang telah melalui beberapa fasa penelitian, perancangan dan perlaksanaan yang semuanya tidak dilakukan secara sambil lewa.

“Sebagai penganjur, Icon Entertainment sedar bahawa kami sendiri telah menganjur banyak konsert. Industri hiburan tempatan dan Nusantara juga jadi meriah dengan banyaknya konsert dalam kalangan rakan penganjur saya yang lain dan ini menunjukkan betapa sihatnya industri kita.

“Jadi penganjuran ELITE LIVE ‘25 bukan penganjuran tangkap muat kerana saat ini konsert sedang hype tetapi melihat betapa relevan girl band ini untuk melakukan konsert berskala besar yang sepadan dengan kewujudan mereka.

“Penganjuran ELITE LIVE ‘25 akan menjadi sejarah penting bukan hanya kepada kumpulan ini tetapi industri muzik amnya kerana karya-karya hebat yang diciptakan pada tahun 90-an misalnya masih menjadi kegemaran ramai,” ujar Iman Tang.

Buat Elite, lamaran Icon Entertainment untuk mewujudkan mimpi mereka melakukan konsert dalam skala besar adalah sebuah peluang yang hadir bersama kegusaran. Apatah lagi kelima-lima anggotanya sudah lama mempunyai kehidupan masing-masing dan sangat jarang berkumpul untuk mengisi kekosongan panggung sebagai penghibur.

“Sejujurnya kami gusar mengenangkan banyak perkara kerana seperti semua tahu, Elite sudah lama tidak melakukan persembahan pentas apa lagi dalam skala besar. Jadi apabila menerima lamaran Icon Entertainment, perasaan kami bercampur baur.

“Bagaimanapun kami memutuskan untuk bersetuju dan akhirnya ELITE LIVE ‘25 akan dilaksanakan pada 20 September 2025 di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre.

“Keputusan ini mengambil kira tentang karya-karya yang diciptakan buat Elite masih digemari, masih relevan dan Elite mahu berpesta dengan peminat lama serta meraikan peminat yang baru mengenali kami nanti,” ujar Linda mewakili Elite.



Untuk menjadi salah seorang saksi ELITE LIVE ‘25, jangan terlepas membeli tiket mengikut kategori yang telah disediakan, GIG (RM1088- with Meet & Greet and refreshment), MANISNYA SENYUMANMU (RM588), CATWALK (RM268), TAMPARAN WANITA (RM268). Tiket boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.com.my/elite mulai Khamis, 26 Jun 2025 pukul 2 petang.

Inilah masanya untuk berpesta dengan girl band yang telah mencetuskan fenomena tersendiri sejak pembabitan mereka pada tahun 1996. Confirm tak trauma dan pulang dengan senyuman manis.


Comments

Popular posts from this blog

ADAM LEE DAN SITI KHADIJAH BERSATU DALAM DI SEBALIK REDA BAKAL MENGUSIK JIWA PENONTON MULAI 30 JUN 2025

GELAGAT JANNA NICK DAN DINI BAKAL MENCUIT HATI PENONTON DALAM DRAMA ‘SELAMAT PENGANTIN HARU!’

HOLISTIC WAY PERKENAL EMPAT PRODUK BAHARU UNTUK GAYA HIDUP LEBIH SIHAT & CERGAS

PANDUAN RINGKAS UNTUK WANITA KEKAL KONSISTEN DEMI MENCAPAI MATLAMAT KESIHATAN