PAVILION KUALA LUMPUR DAN NICOL DAVID ORGANISATION BERGANDING BAHU MEMPROMOSIKAN KELESTARIAN DAN KESIHATAN BELIA
Kempen ‘Pavilion Loves Sustainability’ kembali semula tahun ini di Pavilion Kuala Lumpur sehingga 13 Julai, dengan tumpuan yang lebih mendalam terhadap pemerkasaan belia dan kesejahteraan komuniti. Inisiatif tahunan anjuran Pavilion REIT ini turut memperkenalkan kerjasama strategik bersama Nicol David Organisation, sebagai usaha memperkukuh peranan sosial melalui pendekatan lestari.
Sebagai sebahagian daripada strategi ESG menyeluruh Pavilion REIT, ruang Centre Court pusat beli-belah tersebut telah diubah menjadi hab interaktif untuk mendidik masyarakat tentang amalan kehidupan lestari. Empat zon khas di Spanish Steps dibina dengan tujuan menggalakkan pengunjung Pavilion Kuala Lumpur untuk meneroka cara hidup yang lebih mesra alam.
Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Lembaga Pengarah Pavilion REIT, Puan Nor Rejina, berkata bahawa kempen ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap impak persekitaran dan sosial yang bermakna.
“Setiap tahun, ‘Pavilion Loves Sustainability’ terus berkembang sejajar dengan prinsip ESG kami. Tahun ini, tumpuan diberikan kepada aspek Kesihatan, menekankan bahawa kelestarian bukan sahaja tentang penjagaan alam sekitar, tetapi juga kesejahteraan rakyat. Usaha ini adalah demi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam aspirasi kami untuk menjadi organisasi perniagaan yang benar-benar lestari,” ujar beliau.
Pengunjung berpeluang mengenali lebih lanjut tentang agenda ESG Pavilion REIT melalui pelbagai panel interaktif yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (UN SDG). Antara ciri utama termasuk Panel Baja yang menunjukkan cara sisa makanan ditukar menjadi baja, lengkap dengan pek baja percuma untuk pengunjung. Dinding Tenunan pula menampilkan aktiviti interaktif menggunakan kain kitar semula daripada jenama tempatan Variante, manakala Stesen ReBag menggalakkan penggunaan beg boleh guna semula sebagai alternatif kepada plastik sekali guna.
Di luar zon interaktif, Centre Court juga menjadi lokasi pelbagai bengkel dan aktiviti dari penyewa dan rakan kongsi yang mengamalkan prinsip ESG. Jenama penjagaan kulit Kiehl’s mengisi separuh ruang Centre Court dengan inisiatif Mission Renewal yang didorong oleh tiga tonggak kelestarian: pemulihan sumber semula jadi, reka bentuk sifar sisa dan pemerkasaan komuniti. Pengunjung boleh mendapatkan pemeriksaan kulit secara percuma dan mengambil bahagian dalam kempen kitar semula yang menggabungkan kecantikan dengan kelestarian.
Jo’s Cha membuat penampilan sulung di Lembah Klang melalui kempen ini dengan menyajikan minuman berasaskan bahan segar, selain menawarkan barangan edisi terhad. Royal Selangor pula menyambut ulang tahun ke-140 komitmennya terhadap kelestarian melalui aktiviti kraf tangan pewter “Hard Knock” yang boleh disertai pengunjung. Bengkel kreatif berasaskan kelestarian turut ditawarkan oleh National Geographic dan Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM), manakala Florism De Art menganjurkan bengkel tanaman hiasan harian menggunakan baja Pavilion sebagai sokongan kepada aktiviti berkebun yang lestari.
Sebagai sokongan kepada Bulan Harimau WWF, Pavilion Kuala Lumpur turut menganjurkan kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ di Tingkat 3, Connection sehingga 13 Julai. Program ini merangkumi permainan interaktif, cabaran kesedaran dan aktiviti seni bagi menyebarkan mesej pemuliharaan habitat dan spesies terancam.
Kemuncak kempen tahun ini adalah kerjasama rasmi antara Pavilion REIT dan Nicol David Organisation yang selari dengan tonggak ‘Kesihatan dan Kesejahteraan’ dalam agenda ESG. Diasaskan oleh bekas jaguh skuasy negara, Datuk Nicol David, pertubuhan ini bertujuan membina keyakinan diri, ketahanan mental dan amalan sihat dalam kalangan belia Malaysia yang kurang bernasib baik melalui program sukan dan pendidikan.
“Kerjasama kami bersama Nicol David Organisation memperkukuh komitmen terhadap pembangunan belia melalui kemahiran hidup dan keyakinan diri, selaras dengan semangat kelestarian. Melalui inisiatif ini, kami mewujudkan masa depan mampan dengan membina generasi yang lebih sihat dan berdaya tahan,” kata Puan Nor Rejina.
Dalam kenyataan berasingan, Datuk Nicol David berkata, “Sukan bukan sekadar pertandingan — ia adalah pemangkin perubahan, alat untuk membina komuniti, memberi inspirasi dan menjana impak positif yang berkekalan. Inilah semangat utama di sebalik kerjasama ini dengan Pavilion Group, demi mencapai aspirasi ESG dan melangkah ke arah Malaysia yang lebih sihat dan bahagia.”
Sebagai ganjaran, pembeli yang berbelanja di Pavilion Kuala Lumpur sehingga 3 Ogos berpeluang menerima hadiah lestari eksklusif. Perbelanjaan minimum RM100 akan menerima botol FLOW yang boleh terurai sepenuhnya, RM500 layak menerima sarung tumbler mesra alam daripada National Geographic, dan pembelian RM2,000 ke atas akan menerima beg mini National Geographic. Semua hadiah tertakluk kepada stok yang tersedia.
Pengunjung turut diundang untuk merakam detik indah di sudut-sudut bergambar yang disusun khas di Centre Court, sebagai penghargaan terhadap kelestarian dan kreativiti.
Maklumat lanjut boleh didapati di www.pavilion-kl.com.
Comments
Post a Comment