TOURISM MALAYSIA BERI SOKONGAN PADU KEPADA FILEM KOMEDI ROMANTIS “WORTH THE WAIT”
Tourism Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan sokongan rasminya terhadap filem cereka yang sangat dinanti-nantikan, “Worth The Wait”. Filem komedi romantis yang menyentuh hati ini meraikan bakat Asia, percintaan rentas sempadan, dan keindahan hubungan budaya. Sokongan ini selaras dengan strategi Tourism Malaysia untuk mengintegrasikan pelancongan dengan industri filem dan hiburan, di samping mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Majlis tayangan perdana karpet merah filem ini telah diadakan di DADI Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur, menarik kira-kira 200 tetamu termasuk wakil media, pihak industri, dan tetamu kehormat. Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran istimewa barisan pelakon dan pembikin filem yang datang dari Amerika Syarikat, Kanada, Taiwan, dan Singapura. "Worth The Wait" juga menandakan debut pengarah terkenal Taiwan, Tom Shu-Yu Lin, dalam pengarahan filem berbahasa Inggeris.
Barisan pelakon handalan filem ini termasuk nama-nama besar seperti Ross Butler ("13 Reasons Why"), Lana Condor (francais "To All The Boys I’ve Loved Before"), Andrew Koji ("Black Doves"), Sung Kang (francais "Fast and The Furious"), Elodie Yung ("The Cleaning Lady"), Karena Ka-Yan Lam (pelakon Hong Kong dan Taiwan yang memenangi pelbagai Anugerah Golden Horse, membuat penampilan sulung di AS dan dalam bahasa Inggeris), Osric Chau ("Supernatural"), Kheng Hua Tan ("Crazy Rich Asians"), dan Yu-Beng Lim ("Rebel Moon").
Penggambaran filem ini sebahagiannya dilakukan di pelbagai lokasi menarik di Malaysia. Ini merupakan usaha berterusan untuk mempromosikan representasi Asia di Amerika Utara, serta menonjolkan kepelbagaian keindahan semula jadi, kekayaan budaya, dan layanan mesra Malaysia. Ciri-ciri ini terus membezakan negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, menyatakan, “Kami berharap filem yang menyentuh hati seperti 'Worth The Wait' akan memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk datang melawat dan meneroka Malaysia sendiri. Kerjasama ini adalah sebahagian daripada strategi kami yang lebih luas untuk mengintegrasikan pelancongan dengan industri filem dan hiburan. Peningkatan jumlah filem yang mempamerkan Malaysia dalam industri perfileman global membolehkan Malaysia bersinar—baik sebagai naratif yang ditampilkan mahupun sebagai lokasi penggambaran.”
Kerjasama ini menggariskan komitmen Tourism Malaysia dalam menyokong industri kreatif yang mempromosikan budaya dan pelancongan Malaysia melalui penceritaan yang menarik dan media visual. Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi nasional untuk melonjakkan sektor pelancongan menjelang kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menurut Puan Rachel Tan, penerbit dan bekas Miss Malaysia, filem "Worth The Wait" bukan sekadar hiburan, tetapi juga refleksi tentang cinta dan harapan. Beliau menjelaskan bahawa filem ini diadaptasi secara longgar daripada kisah percintaan peribadinya sendiri yang bersemi melalui hubungan jarak jauh antara Malaysia dan Amerika Syarikat. “Dan dan saya ingin mencipta sesuatu yang meraikan identiti Asia kami sambil berbicara kepada penonton di seluruh dunia—dan sambutan setakat ini sangat menggalakkan,” tambah beliau.
Filem ini menandakan pencapaian penting bagi sinema Malaysia, menjadi salah satu daripada beberapa drama romantis yang berjaya mencapai kejayaan teater dan penstriman antarabangsa. Ia telah menjadi hit penstriman asli di Hollywood, Kanada, United Kingdom, Australia, dan New Zealand, dan akan ditayangkan tidak lama lagi di pawagam seluruh Singapura dan Asia Tenggara. Di Malaysia, filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam pada bulan Ogos dan akan diedarkan oleh Astro Shaw.
"Worth The Wait" diterbitkan oleh King Street Pictures, menandakan keluaran sinematik ketujuh syarikat tersebut. King Street Pictures dikenali dengan naratifnya yang sarat emosi dan dedikasi kepada penceritaan yang pelbagai, serta terus memperjuangkan representasi Asia dalam sinema global.
Filem ini diarahkan oleh pengarah pemenang anugerah, Tom Shu-Yu Lin ("Yen and Ai-Lee" dan "The Garden of Evening Mists").
Sinopsis:
Di Seattle, sebuah perjalanan rideshare telah menyatukan empat jiwa dengan tidak disangkakan: Kai (Ross Butler), Teresa, Nathan, dan Curtis. Cinta pandang pertama mula berputik apabila Kai bertemu Leah (Lana Condor) di hospital. Namun pertemuan mereka tidak berpanjangan kerana Kai terpaksa pulang ke negara asalnya, Malaysia pada keesokan harinya. Demi cinta, mereka meneruskan hubungan jarak jauh merentas benua yang dipenuhi cabaran.
Pada masa yang sama, Teresa dan Nathan pula diuji dengan tragedi kehilangan bayi ketika dilahirkan. Dalam kesedihan, adakah mereka dapat menemui keberanian untuk mencuba mendapatkan zuriat sekali lagi?
Sementara itu, Curtis sedang bergelut membesarkan anak saudara perempuannya, Riley, yang sedang dilamun cinta dengan Blake. Pada awalnya, Curtis menentang hubungan ini, menyebabkan suasana tegang yang menguji ikatan keluarga. Mampukah Curtis membuka hatinya dan menerima perhubungan pasangan muda tersebut?
Dalam kejadian lain, seorang pelakon terkenal, Amanda, terkejut apabila mendapati pengarah baharunya adalah Scott, bekas tunangnya yang telah menghilang dari hidupnya selama sedekad. Pertemuan semula ini telah membangkitkan pelbagai persoalan tentang hubungan lama mereka.
"Worth The Wait" bukan sekadar kisah cinta. Ia adalah sebuah naratif pelbagai generasi yang berani meneroka kegembiraan, kesedihan, kehilangan, dan harapan, yang terjalin dalam perjalanan hidup yang penuh kejutan.
Comments
Post a Comment