RICHARD MARX: LEGENDA POP ROCK KEMBALI KE PENTAS MALAYSIA DI ARENA OF STARS
Pada malam Sabtu, 16 Ogos 2025, Resorts World Genting (RWG) telah meraikan sambutan Jubli Intan ke-60 dengan sebuah konsert eksklusif yang mengangkat legasi muzik antarabangsa — Richard Marx. Bertempat di Arena of Stars, konsert tersebut bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah perjalanan emosi merentas dekad yang menyentuh hati ribuan peminat.
Richard Marx: Legenda Pop Rock Kembali ke Pentas Malaysia
Dengan lebih 30 juta album terjual dan kerjaya muzik yang menjangkau lebih tiga dekad, Richard Marx membuktikan bahawa muzik yang tulus dan bertenaga tidak mengenal zaman. Lagu-lagu ikonik seperti "Right Here Waiting", "Now and Forever", dan "Endless Summer Nights" bergema di seluruh dewan, mencetuskan kenangan mendalam buat peminat yang membesar bersama karya beliau.
Sorotan Persembahan
Konsert bermula dengan "Believe in Me", memperkenalkan suasana intim dan penuh keikhlasan. Marx kemudiannya membawa penonton menyusuri era keemasan muzik pop dengan "Endless Summer Nights", "Take This Heart", dan "Angelia", yang disampaikan dengan vokal mantap dan penghayatan yang padu.
Lagu-lagu malar segar seperti "Hazard", "Keep Coming Back", dan "Too Late To Say Goodbye" memperlihatkan kekuatan naratif dalam muzik beliau, manakala lagu-lagu baharu seperti "Magic Hour" dan "Only a Memory" membuktikan bahawa kreativiti Marx kekal segar dan relevan.
Salah satu detik paling menyentuh hati ialah ketika beliau menyampaikan "This I Promise You", lagu ciptaannya untuk NSYNC, sebelum menggabungkan "Hold On To The Nights" dan "Now and Forever" dalam satu persembahan yang memukau.
Menjelang penghujung konsert, suasana bertukar lebih rancak dengan "Way She Loves Me", "Satisfied", dan "Should’ve Known Better". Sebelum melabuhkan tirak konsertnya, Marx mempersembahkan "Right Here Waiting", lagu yang menjadi simbol cinta dan penantian, disampaikan dengan penuh emosi dan keikhlasan.
Penutup yang Bermakna
Konsert ini bukan sahaja meraikan warisan muzik Richard Marx, tetapi juga menjadi simbol kenangan RWG yang telah mencipta pengalaman luar biasa kepada pengunjung selama enam dekad. Persembahan beliau membuktikan bahawa muzik yang datang dari hati mampu merentasi generasi, menyatukan peminat lama dan baharu dalam satu malam penuh magis dan memori.
Comments
Post a Comment