ASTRO ORIGINALS TAMPIL BERANI DENGAN SIRI ‘GENERASI: PERFECT 10’ – KISAH GADIS MENGEJAR IMPIAN GIMNASTIK
Astro Originals kembali dengan naskhah baharu yang menyentuh jiwa dan melangkaui genre, Generasi: Perfect 10, sebuah drama berintensiti tinggi yang mengangkat kisah inspirasi seorang gadis remaja dalam dunia gimnastik profesional. Siri ini bakal menemui penonton bermula 19 September 2025, setiap hari Jumaat jam 12.00 tengah malam di On Demand dan jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) serta Astro Citra (Saluran 108).
Sebagai siri bertemakan sukan pertama dari jenama Astro Originals, Generasi: Perfect 10 membawa penonton menyelami cabaran fizikal dan emosi dalam arena gimnastik, sambil menyentuh isu sosial seperti pencarian identiti, sokongan keluarga, dan ketabahan wanita muda dalam mengejar cita-cita. Siri lapan episod ini mengikuti perjalanan Ezie (lakonan Arena Wan), seorang gadis yang nekad menyertai akademi sukan berprestij selepas kelab gimnastik sekolahnya ditutup. Di sinilah bermula perjuangan sebenar — persaingan sengit, tekanan mental, dan realiti pahit yang menguji semangatnya.
Diarahkan oleh Sling Ng dan dikendalikan oleh showrunner Nas Addina, siri ini turut dibintangi oleh Arabella Ellen, Sofia Jane, Ellyza Azizi, Daniel Fong, Sharifah Sakinah, Qi Razali dan Sherie Merlis. Penampilan istimewa legenda gimnastik negara, Farah Ann, sebagai penasihat siri menambah kredibiliti dan keaslian kepada naratif yang dibawa.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw & Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, “Siri ini menampilkan naratif yang menyentuh tema kemanusiaan dan sosial, terutamanya kepada gadis remaja dalam mengejar impian dan mencari identiti. Kami ingin mengangkat semangat atlet Malaysia dan komuniti yang membentuk mereka.”
Sebagai sebahagian daripada kempen promosi, Generasi: Perfect 10 turut menjalin kerjasama strategik bersama jenama susu tempatan Goodday Charge, yang memperkenalkan susu diperkaya dengan 10 nutrien penting. Astro Shaw turut menerbitkan video khas berdurasi 30 saat bersempena kolaborasi ini.
Penonton boleh menonton siri ini lebih awal melalui Astro GO dan aplikasi sooka bermula jam 12 tengah malam. Untuk langganan, Pek Astro One ditawarkan pada harga RM49.99 sebulan, manakala pakej penstriman bersama Astro Fibre 500Mbps dan Pek Entertainment tersedia pada RM139.99 sebulan.
Untuk maklumat lanjut dan klip eksklusif, ikuti Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X. Jangan lepaskan peluang menyaksikan Generasi: Perfect 10 — sebuah kisah tentang keberanian, ketahanan dan semangat juang yang mendefinisikan seorang juara.
Comments
Post a Comment