DUA LEGENDA, SATU PENTAS BERSEJARAH: SEARCH & XPDC DISATUKAN DALAM KONSERT FENOMENA SAMURAI
Dua nama besar dalam sejarah muzik rock Malaysia, Search dan XPDC, bakal mencipta sejarah baharu apabila bergabung dalam sebuah konsert epik yang diberi nama Konsert Fenomena Samurai. Tanpa perlu menyebut nama kugiran, hanya dengan kata “Fenomena” dan “Samurai”, peminat muzik tempatan sudah tahu siapa yang bakal menggegarkan pentas — Search dengan lagu-lagu ikonik dan XPDC dengan semangat rock yang tidak pernah padam.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 13 Disember 2025 di Stadium Sarawak, Kuching, ini menyatukan dua generasi pemuzik dan peminat dalam satu malam yang dijanjikan penuh nostalgia, intensiti dan penghargaan terhadap perjuangan muzik tanah air. XPDC tampil dengan barisan mantap Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu, manakala Search diterajui Din dan Kid — dua figura yang telah mencorak landskap rock Malaysia sejak era 80-an.
Menurut penganjur bersama, Seri Simfoni dan Bintang Batu Event, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa. Ia adalah sebuah projek seni yang dirancang rapi demi menjaga kredibiliti dua kugiran yang telah mencetak ‘cop mohor’ tersendiri dalam industri. “Kami tidak berkompromi dari segi kualiti muzik, bunyi dan persembahan. Konsert ini ada piawaian tersendiri,” ujar Ikhram, wakil penganjur.
Bagi Din dari Search, Konsert Fenomena Samurai adalah lebih daripada sekadar hiburan. “Ia adalah konsert untuk peminat yang sudah sebati dengan sepak terajang, kecintaan dan perjuangan kami. Malam itu bukan hanya tentang lagu, tetapi tentang perjalanan yang dikongsi bersama.”
Tiket ‘early bird’ kini boleh didapati bermula 5 September 2025, jam 10 pagi di fenomenasamurai.ubertickets.asia, dengan harga bermula RM90 hingga RM250. Harga biasa pula bermula RM129 hingga RM359 mengikut kategori.
Maklumat Konsert:
Artis: Search & XPDC
Acara: Konsert Fenomena Samurai
Lokasi: Stadium Sarawak, Kuching
Tarikh: 13 Disember 2025
Harga Early Bird: RM250 (VIP), RM188 (MOSH), RM104 (Free Standing), RM160 (Silver), RM90 (Bronze)
Harga Biasa: RM359 (VIP), RM269 (MOSH), RM149 (Free Standing), RM229 (Silver), RM129 (Bronze)
Pembelian Tiket: fenomenasamurai.ubertickets.asia
Penganjur: Seri Simfoni Sdn Bhd & Bintang Batu Event
Rakan Strategik: Rampage Studioworks
Rakan Penaja: Yellowhello
Untuk peminat setia Search dan XPDC, inilah malam yang tidak boleh dilepaskan. Kerana di pentas ini, gelombang fenomena bakal tercipta.
Comments
Post a Comment