VISIT MALAYSIA TRAVEL MEET 2025: PLATFORM GERGASI PROMOSI PELANCONGAN DOMESTIK MENJELANG VM2026
Sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia 2025, Tourism Malaysia melakar sejarah baharu dengan penganjuran sulung program Visit Malaysia Travel Meet 2025 (VMTM 2025). Bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC) dari 26 hingga 28 September, acara ini menjadi medan utama memacu pelancongan domestik secara besar-besaran menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Apa Itu VMTM 2025
VMTM 2025 merupakan pameran pelancongan berskala besar yang mengetengahkan dua segmen utama: B2B (Business-to-Business) melibatkan penggiat industri dan syarikat korporat, serta B2C (Business-to-Consumer) yang terbuka kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai tawaran menarik.
Lebih 180 pempamer menyertai acara ini, menawarkan pakej pelancongan eksklusif pada harga istimewa. Ia bukan sahaja menyokong pertumbuhan industri pelancongan, malah berpotensi menarik minat syarikat korporat untuk menganjurkan acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) di Malaysia.
Perasmian dan Sokongan Padu
Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, dengan kehadiran YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Penganjuran ini bertepatan dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul serta memperkenalkan kekayaan seni dan budaya negara kepada delegasi antarabangsa.
Aktiviti Menarik dan Pengalaman Unik
Pengunjung VMTM 2025 berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti kraf tangan dan seni warisan, persembahan kebudayaan dan muzik, cabutan bertuah dan persembahan artis. Pakej pelancongan yang ditawarkan merangkumi aktiviti bertemakan sukan air, alam semula jadi, taman tema dan budaya.
Matlamat utama adalah untuk merancakkan lagi pelancongan domestik merentas negeri dan dalam negeri bagi mencapai sasaran 280 juta pelawat domestik menjelang akhir tahun ini.
Penyertaan dan Kerjasama Strategik
Program ini turut disertai oleh agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti Istana Budaya, ASWARA, Lembaga Seni Visual Negara, Islamic Tourism Centre (ITC), Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia, MyCEB dan Hotel Seri Malaysia.
Turut memberi sokongan ialah badan pelancongan negeri seperti Tourism Melaka, Tourism Pahang, LADA, Tourism Perak, Tourism Johor dan Sarawak Tourism Board.
Dengan semangat VM2026 yang semakin membara, VMTM 2025 menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh pelancongan domestik dan memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Comments
Post a Comment