"QIFARAH" BONGKAR WARISAN BERDARAH YANG TERPENDAM


Dunia seram tempatan bakal digegarkan dengan kemunculan Qifarah, filem sulung arahan Ghaz Abu Bakar dalam genre seram yang menjanjikan pengalaman menonton penuh misteri, ketegangan dan bayangan ghaib yang menghantui hingga ke akhir. Bermula 9 Oktober ini, bersiaplah untuk menyelami kisah warisan berdarah yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga menyentuh soal penebusan dan pengampunan.

Diterbitkan oleh Skop Productions bersama My Way Pictures dan Astro Shaw, serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanidah Imran, Rita Nadira dan Rafique Iskandar.


Kisah Seram Berakar Dari Dosa Silam

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang telah menetap di Kaherah bersama isterinya Marissa (Rita Nadira) dan anak mereka Mikhail (Rafique Iskandar). Apabila menerima berita tentang ayahnya yang sedang nazak, Yusoff pulang ke tanah air selepas 30 tahun dengan harapan dapat membantu bapanya bertaubat daripada amalan ilmu hitam yang menghantui keluarganya.

Namun, kepulangan itu membuka pintu kepada rahsia kelam yang selama ini tersembunyi. Yusoff berdepan dengan ibu tirinya Mawar (Sharifah Sakinah) yang tidak dimamah usia, dan adiknya Eykha (Liyana Jasmay) yang jiwanya kekal seperti anak kecil. Kehadiran Marissa dan Mikhail ke rumah pusaka keluarga Yusoff mengeruhkan keadaan, apabila pelbagai kejadian aneh mula berlaku. Setiap langkah mereka dibayangi misteri—adakah mereka mampu keluar dari kegelapan warisan berdarah ini?


Sinematografi Bergaya, Atmosfera Mistik

Mengangkat unsur mistik dan kuasa ghaib, Qifarah tampil dengan sinematografi bergaya yang menghidupkan suasana seram dan mendalam. Dari rekaan set, pencahayaan, prop hingga ke setiap perincian pakaian dan aksesori, semuanya dirancang teliti untuk mencipta dunia yang benar-benar mengikat emosi penonton.

“Setiap babak dirangka untuk memberi impak yang berkesan. Saya mahu penonton merasai intensiti dunia Qifarah dan pengajaran yang ingin disampaikan, dengan elemen visual dan bunyi yang meninggalkan kesan mendalam serta tidak mudah dilupakan,” ujar Ghaz Abu Bakar.


Qifarah: Seram Dengan Jiwa dan Makna

Lebih daripada sekadar filem seram, Qifarah mengajak penonton merenung erti dosa lampau dan ruang untuk penebusan. Ia adalah kisah tentang warisan yang tidak dapat dielak, tentang darah yang menyimpan rahsia, dan tentang keberanian untuk berdepan dengan bayangan silam.


Jangan lepaskan peluang untuk menonton Qifarah di pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Untuk kandungan eksklusif dan perkembangan terkini, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.


Comments

Popular posts from this blog

ASTRO KUPAS RAHSIA KELUARGA, PEREBUTAN KUASA & HARTA ‘KERANA SEORANG LELAKI’

FERNLEAF MELANCARKAN KEMPEN “KEBAIKAN NUTRISI UNTUK SETIAP GENERASI”