MAJLIS TERTINGGI ROCKQUEEN: SATUKAN 55,000 PEMINAT ELLA DALAM SEMANGAT ‘PEACE, LOVE & RINDU’
Malam 14 Februari 2026 terpahat sebagai salah satu detik bersejarah dalam industri muzik tanah air apabila 55,000 jiwa memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan “Majlis Tertinggi Rockqueen”, sebuah perhimpunan agung muzik yang didedikasikan khas buat para peminat beliau.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert berskala mega ini bukan sekadar hanya sebuah persembahan, tetapi juga adalah manifesto tentang ‘Peace, Love dan Rindu’ yang menyatukan generasi. Malam tersebut membuktikan legasi Ella terus mendominasi merentasi zaman, bukan hanya sebagai ikon, tetapi sebagai suara jiwa rakyat.
Konsert dibuka dengan penuh dramatik menerusi persembahan 30 koir kanak-kanak sebelum kemunculan Ella dengan lagu “Rama Rama” menggegarkan stadium tepat jam 8:30 malam. Sorakan gemuruh bergema seakan satu deklarasi bahawa takhta Ratu Rock Malaysia kekal utuh.
Berlangsung lebih dari tiga jam, dengan sebanyak 35 lagu dipersembahkan, termasuk deretan karya ikonik seperti “Baldu Biru”, “Dua Insan Bercinta”, “Layar Impian”, “Peace Love Rindu” dan kemuncak malam, “Standing In The Eyes Of The World” yang dinyanyikan beramai-ramai, dengan iringan piano oleh pencipta dan komposer asalnya, Dato' Wah Idris serta diiringi barisan atlet berkelas dunia tanahair— telah mencipta momen penuh emosi.
Malam bersejarah itu turut diserikan dengan penampilan istimewa barisan artis jemputan untuk berduet seperti Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta The Boys (Ella & The Boys). Kemunculan mengejut Amy Search dan Joe Flizzow mencetuskan sorakan luar biasa dan menjadi antara detik paling tular malam tersebut.
Momen paling simbolik ialah apabila Ella mengelilingi stadium menaiki trak sambil menyampaikan lagu “Standing In The Eyes Of The World”, dengan diiringi barisan atlet kebanggaan negara seperti Datuk Nicol David, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Farah Ann Abdul Hadi menjadikan malam tersebut sebuah simbol penyatuan muzik dan semangat kebangsaan.
Segmen penghormatan khas kepada legenda seperti Datuk Ramli Sarip dan Dato’ M. Nasir turut menyentuh hati, menghubungkan sejarah dengan masa depan dalam satu naratif yang penuh makna.
Lebih membanggakan, konsert ini turut membawa misi kemanusiaan apabila lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah wadah memberi dan berkongsi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, kejayaan ini adalah hasil dedikasi pasukan dan sokongan tidak berbelah bahagi para peminat. Ratu Rock Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, turut meluahkan rasa syukur atas kehadiran 55,000 penyokong yang menjadikan malam tersebut sebagai bukti nyata bahawa mesej Peace, Love & Rindu benar-benar hidup dalam hati rakyat.
Gelombang “Majlis Tertinggi Rockqueen” bakal diteruskan ke Singapura pada 9 Mei 2026 di The Star Theatre, membawa semangat yang sama ke pentas antarabangsa.
Namun di sebalik segala gemerlap produksi dan kehebatan persembahan, “Majlis Tertinggi Rockqueen” adalah untuk para peminat. 55,000 yang hadir bukan sekadar penonton, mereka adalah sebahagian daripada sejarah. Malam itu milik mereka.
Kerana akhirnya, inilah makna sebenar perhimpunan agung ini — bukan hanya meraikan seorang Ratu, tetapi meraikan sebuah keluarga besar yang disatukan oleh muzik, cinta dan rindu.
Rakan Rasmi & Sokongan Padu Industri
“Majlis Tertinggi Rockqueen” tidak mungkin direalisasikan tanpa sokongan padu rakan-rakan strategik industri. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia (Lokasi Rasmi); Era FM, Sinar FM, Mix FM, Lite FM dan Gegar FM (Radio Rasmi); Astro Gempak, Meletop dan Hlive (Media Rasmi); Ad Box, Wow Media dan Warisan Outdoor (Rakan Media Luar); Hyatt Palace Kuala Lumpur Bukit Jalil (Rakan Hotel); Sri Munura Catering (Rakan F&B); Rapid KL (Rakan Strategik); serta Fella Design dan Aideaspace (Rakan Reka Bentuk Dalaman), selain sokongan daripada Visit Malaysia 2026.
Acara ini turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, selari dengan semangat Peace, Love & Rindu yang menjadi teras “Majlis Tertinggi Rockqueen”.
Bagi sebarang maklumat lanjut, sila hubungi wakil kami di +6012-265 5783 atau emel ke concerts@hitman.group.
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment