FILEM CEREKA SULUNG TAN CE DING, SOMEWHERE IN THE SOUTH, RAIH PERHATIAN DUNIA


Projek filem cereka Malaysia Somewhere in the South, yang ditulis dan diarahkan oleh Tan Ce Ding serta diterbitkan oleh Anthony Chen, telah terpilih ke Hong Kong–Asia Film Financing Forum (HAF), yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Mac 2026 di Hong Kong. HAF merupakan antara forum pembentangan projek filem cereka paling berprestij di Asia.

Somewhere in the South menandakan kemunculan sulung Tan Ce Ding sebagai pengarah filem cereka panjang, selepas kejayaan festival antarabangsa filem pendeknya Please Hold The Line, yang ditayangkan buat pertama kali dalam seksyen Orizzonti di Festival Filem Antarabangsa Venice, sebelum dipersembahkan di festival-festival utama termasuk Clermont-Ferrand dan Golden Horse.

Filem ini diterbitkan oleh pembikin filem terkemuka Singapura, Anthony Chen (ILO ILO, Wet Season, The Breaking Ice), pemenang anugerah Caméra d’Or di Festival Filem Cannes, serta penerima pelbagai Anugerah Golden Horse.

Turut menerbitkan filem ini ialah penerbit Malaysia, Edward Lim, yang merupakan rakan kolaborasi jangka panjang Tan Ce Ding. Lim sebelum ini menerbitkan Please Hold The Line dan pernah bekerjasama dengan Chen dalam projek-projek terdahulu, sekali gus meneruskan kerjasama kreatif mereka dalam Somewhere in the South.

Berlatarbelakangkan sebuah bandar kecil di selatan Malaysia yang sedang melalui fasa peralihan, ketika tumpuan awam meningkat buat seketika, Somewhere in the South mengisahkan seorang lelaki muda resah yang terlibat dengan sebuah kumpulan yang menjanjikan perubahan. Namun, selepas diminta mengenakan kostum maskot harimau kumpulan tersebut, dia mula kehilangan jati dirinya di sebalik samaran itu.


“Ini merupakan filem cereka sulung saya, sebuah projek yang saya usahakan sepanjang setahun lalu. Saya amat teruja akhirnya dapat mengolah sebuah subjek yang terasa sangat dekat dengan realiti Malaysia, namun masih jarang diterokai di layar perak,” kata Tan Ce Ding. “Skrip filem ini telah dibangunkan merentasi beberapa negara melalui program pembangunan antarabangsa yang berfokus, dan saya baru sahaja pulang dari Tokyo bulan lalu, di mana projek ini terus diperhalusi. Penyertaan ke HAF menandakan satu langkah penting ke hadapan, dan saya menantikan kerjasama rapat bersama Anthony ketika filem ini terus dibentuk.”

“Saya telah lama mengagumi filem-filem pendek Tan Ce Ding yang berani. CD, sebagaimana kami memanggilnya dengan penuh mesra, merupakan antara suara baharu yang paling menarik yang sedang muncul dalam landskap sinema Malaysia. Filem cereka sulungnya, dengan kejujuran dan aspirasi yang luar biasa, mencerminkan keyakinan dan keghairahan yang semakin berkembang dalam gerakan ini. Saya menantikan peluang untuk bekerjasama dengannya dalam mengangkat Somewhere in the South ke pentas antarabangsa,” kata Anthony Chen.

Kini berada dalam peringkat pembangunan skrip dan pembiayaan awal, Somewhere in the South dibangunkan sebagai sebuah filem cereka Malaysia dengan dialog dalam bahasa Cina, Melayu dan Inggeris. Projek ini akan dibentangkan di Hong Kong–Asia Film Financing Forum (HAF), di mana pasukan terpilih akan berinteraksi dengan penerbit, pembiaya dan rakan industri antarabangsa.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO ANGKAT TEMA ‘BERSAMA LAGI JADI’, BAWA BARISAN KANDUNGAN KEROHANIAN DAN DRAMA TERBAIK RAMADAN 2026

ELLA UMUM ARTIS JEMPUTAN UNTUK KONSERT MAJLIS TERTINGGI ROCKQUEEN

LULULEMON TAMPILKAN GAYA IKONIK KOLEKSI TAHUN BARU CINA 2026