WALI BAND MAHU TEBUS KEKECEWAAN PEMINAT, BAKAL BAWAKAN KONSERT DI SABAH DAN KUALA LUMPUR
Peminat Wali Band di Malaysia bakal terubat rindu apabila kumpulan muzik asal Tangerang, Indonesia itu mengumumkan dua konsert besar yang akan berlangsung tahun ini. Selepas kekecewaan konsert yang tidak menjadi kenyataan di Kota Kinabalu pada 2024, Wali Band kini kembali dengan semangat baharu untuk menebus momen tertangguh.
Konsert Wali Live in Kota Kinabalu akan berlangsung di SICC, Sabah pada 12 April 2026, dianjurkan oleh 25th Studio & Infinity Love Creative Ventures. Seterusnya, kumpulan yang dianggotai Faank (vokalis), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) akan menggegarkan ibu negara menerusi Konsert Wali Kembali di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026.
Faank mengakui mereka sedar ramai peminat kecewa kerana tidak berpeluang menikmati persembahan penuh sebelum ini. “Kami mahu kembali menebus kekecewaan itu dengan konsert solo yang lebih padat dan menarik. Kami tidak sabar untuk beraksi di hadapan kalian semua,” katanya.
Tiket untuk konsert di Kota Kinabalu mula dijual pada 12 Februari 2026 dengan harga RM688 (VIP – Cari Jodoh), RM488 (Gold – Yank), RM288 (Baik Baik Sayang) dan RM98 (Nenekku Pahlawanku). Manakala tiket untuk konsert di Kuala Lumpur akan mula dijual pada 14 Februari 2026 dengan harga bermula RM77 hingga RM777 bergantung kategori.
Kedua-dua konsert ini mendapat sokongan Era FM Sabah, Era FM Sarawak serta Astro Gempak sebagai rakan media rasmi. Tiket boleh dibeli melalui www.ilassotickets.com dan maklumat lanjut boleh diikuti di media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.
Dengan barisan lagu hit seperti “Cari Jodoh”, “Baik Baik Sayang” dan “Yank”, Wali Band berjanji akan memberikan persembahan penuh tenaga yang bakal menjadi kenangan manis buat peminat di Malaysia.
.jpg)
.jpeg)
Comments
Post a Comment