WARNA WARNI HARI RAYA: USHERA RAYAKAN TRADISI DENGAN SENTUHAN MODEN RETRO



Penyanyi Nona Ushera atau lebih dikenali sebagai Ushera kembali memeriahkan suasana Aidilfitri dengan pelancaran lagu raya terbaharunya berjudul Warna Warni Hari Raya. Ini merupakan kali ketiga beliau tampil dengan karya khusus untuk perayaan tersebut selepas Suka Ria Raya (2017) dan Kembali (2021).

Selepas beberapa tahun tidak menghasilkan lagu raya, Ushera memilih untuk kembali dengan sentuhan segar yang menekankan tema keberagaman masyarakat Malaysia. Lagu ini turut menampilkan kerjasama dengan penerbit dan komposer Ganesh Bala, manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ushera. Muzik video yang menjalani penggambaran pada 2 Januari lalu diarahkan oleh Arnaud Blondel, dengan penampilan busana hasil rekaan pereka terkenal Syomir Izwa Gupta.

Menurut Ushera, Warna Warni Hari Raya bukan sekadar lagu perayaan, tetapi juga simbol persahabatan dan semangat majmuk yang menjadi identiti Malaysia. “Hari raya adalah masa untuk mengenepikan perbezaan lalu berkumpul bersama dan bergembira. Liriknya saya hasilkan dengan gaya bersahaja supaya mudah diingat, namun melodinya tetap segar dan menyentuh hati seluruh generasi,” katanya.


Beliau menegaskan karya ini bukan bertujuan bersaing, sebaliknya menyemarakkan lagi kemeriahan lagu raya yang kini kembali hangat dengan pelbagai genre. “Saya mahu menjadi sebahagian daripada ‘warna warni raya’ dengan karya saya, sekaligus memberi pilihan lebih variatif buat peminat,” jelasnya.

Muzik video rasmi Warna Warni Hari Raya boleh ditonton di YouTube mulai 16 Februari jam 8.30 malam, manakala lagu tersebut turut tersedia di Spotify dan Apple Music pada tarikh sama. Sebagai rekod, Ushera pernah melahirkan album Semalam Di Malaya pada 2016 yang menampilkan lagu-lagu berentak asli seperti Bunga Raya, Dunia Asmara dan Chuchi Kain Chuchi Mata.

Comments

Popular posts from this blog

SHOPEE HOUSE: BAZAR GAYA RAYA TAMPILKAN TREND BELI-BELAH RAYA BERTERASKAN KANDUNGAN DAN PERTUMBUHAN JENAMA TEMPATAN