NAJMI NIERY & ADRIANNA CINTA TAMPILKAN KELAINAN DENGAN DUET RAYA POP R&B


Lagu raya baharu berjudul Best Part of Raya membawa kelainan dengan konsep “sepucuk surat cinta dalam bentuk lagu”, hasil ciptaan bersama penyanyi-komposer muda Najmi Niery bersama Brendan Lim Seng Meng dan Amanda Gnai Song Hui daripada kumpulan produksi MFMF. Menariknya, single ini turut menggandingkan Najmi dengan penyanyi berbakat Adrianna Cinta sebagai pasangan duet, menjadikan karya Pop R&B ini lebih segar dan berbeza daripada kebiasaan lagu raya.

Majlis pelancaran dan berbuka puasa sempena pengenalan single tersebut berlangsung di AEON Mall Shah Alam, dengan kehadiran 30 anak-anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari yang turut diraikan. Duit raya disampaikan oleh wakil Sony Music Malaysia, AEON Mall serta Najmi dan Adrianna sendiri, menambahkan lagi suasana meriah dan penuh makna.


Najmi menjelaskan bahawa ilham lagu ini tercetus sekitar Oktober 2025, apabila beliau dan MFMF memutuskan untuk menulis sebuah karya berinspirasikan surat cinta di hari raya. “Ia menggambarkan luahan hati sepasang kekasih yang merindui dan menantikan detik pertemuan di Aidilfitri,” katanya. Adrianna pula menyifatkan kolaborasi ini sebagai kombinasi yang serasi kerana kedua-duanya berkongsi vibe muzik Pop R&B ala Indonesia.

Proses rakaman suara dan penggambaran visualizer dilakukan pada bulan puasa, dengan konsep retro raya yang ringkas tetapi penuh nostalgia. Najmi yakin Best Part of Raya akan menjadi antara lagu raya paling diingati tahun ini kerana tampil dengan genre yang jarang diketengahkan untuk sambutan Aidilfitri. Lagu ini diterbitkan oleh Naj&Co, Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management, dan boleh didapati di semua platform digital mulai 6 Mac 2026.

Comments

Popular posts from this blog

STARBUCKS MALAYSIA MERAIKAN RAMADAN DENGAN KEMPEN ‘KONGSI-EID FORWARD

SHOPEE 38 JUALAN HARI WANITA MENGETENGAHKAN JENAMA WANITA BERTERASKAN IMPAK